Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Boleh ikut rai dengan hati-hati TAHUN BARU CINA

Bagi jaga hubungan tapi elak perkara makruh, haram

Feb 12, 2021 | 05:30 AM



WALAUPUN berbeza agama dan bangsa, ramai individu menyambut Tahun Baru Cina bagi berkongsi keseronokan perayaan hari tersebut bersama rakan masing-masing.



Bagaimana perspektif Islam mengenai Muslim yang meraikan Tahun Baru Cina?



Ketika wawancara bersama Ustaz Mohamad Rais, beliau berkongsi pandangannya mengenai perkara ini.



RAIKAN RAKAN



Beliau berkata: "Anggaplah orang bukan Islam sebagai jiran atau kawan kita. Berteraskan anggapan sedemikian, maka kita wajib mencerminkan akhlak yang sepatutnya, tanpa mengira agama.



"Berilah hak kepada mereka dengan melayan mereka dengan baik."



Ustaz Mohamad Rais berkata kita tidak menyambut perayaan Tahun Baru Cina sebagaimana mereka sambut.



"Jika ada kawan bukan Islam mengajak ke rumahnya untuk menyambut Tahun Baru Cina, ia tidak menjadi suatu kesalahan kerana kita ingin meraikannya sebagai seorang kawan atau rakan sekerja," jelasnya.



BENTUK KEHARMONIAN



Ustaz Mohamad Rais menambah, kita dibenarkan makan bersama-sama dan melahirkan ucapan yang baik.



Namun, ucapan yang dilafazkan biarlah sekadar untuk menjaga hubungan antara kenalan.



"Niat asal kita adalah untuk mengeratkan tali ikatan antara Islam dan bukan Islam bagi mengelakkan permusuhan atau kebencian antara satu sama lain.



"Lagipun, Allah swt memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada semua manusia. Secara ringkas, tidak salah untuk meraikan kawan-kawan bukan Islam," tambah Ustaz Mohamad Rais.



JAGA AKIDAH



Sebagai umat Islam, Ustaz Mohamad Rais turut menasihatkan agar menjaga akidah dengan mengelakkan perkara makruh atau haram.



Jika ada upacara yang melibatkan pemujaan atau sebagainya, maka jangan ikut.



"Bimbang timbul fitnah pada agama. Apa yang lebih merisaukan, seseorang boleh terpesong akidah atau keluar daripada landasan agama sehingga menimbulkan isu yang lebih besar," kata ustaz.



SAMBUTAN BUDAYA BUKAN AGAMA



Menjelaskan lebih lanjut, Ustaz Mohamad Rais berkata bahawa dalam memenuhi undangan sambutan Tahun Baru Cina oleh rakan bukan Islam, kita perlu menjaga iktikad.



"Kita tidak dibenarkan beriktikad atau yakin bahawa ia adalah sambutan keagamaan. Sebab, sambutan jenis keagamaan lain adalah dilarang sama sekali.



"Sebaliknya, kita perlu menaruh kepercayaan bahawa sambutan mereka hanyalah berbentuk kebudayaan semata-mata. Yakini bahawa sambutan mereka itu adalah satu bentuk adat dalam sesuatu bangsa sahaja.



"Dengan kepercayaan itu, maka tidak salah menyambut sambutan ini dengan rakan-rakan bukan Islam.



"Namun, janganlah ikut serta dalam melakukan perbuatan yang ditegah dalam agama seperti berjudi, minum arak, makan makanan haram dan sebagainya."



SAMBUTAN AGAMA DALAM ISLAM



Ustaz Mohamad Rais menjelaskan bahawa Islam hanya meletakkan dua acara keagamaan yang boleh diraikan iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha."



Dalam satu hadis, ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, Baginda dapati penduduk Madinah telah menyambut dua hari raya.



Maka, Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha." (Hadis riwayat Imam Ahmad)



"Sambutan seperti Hari Lahir, Hari Bapa, Hari Ibu atau Hari Guru pula adalah sambutan berbentuk kebiasaan. Jika ia hanya sekadar adat dan bukan kehendak agama lain, maka dibolehkan."



TOLAK PERKARA HARAM



Ustaz menyatakan bahawa umat Islam perlu bijak membezakan antara perkara yang halal dengan yang haram dalam kehidupan.



"Elakkan perkara yang dilarang kerana segala perbuatan haram adalah berdosa di sisi Islam. Banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan bersama rakan-rakan anda seperti makan buah-buahan (oren).



"Bagaimanapun, jangan makan makanan yang menjadi bahan sembahan mereka. Sekiranya mereka menghidang buah-buahan yang dikhususkan untuk sembahan dalam upacara keagamaan, maka kita tidak boleh memakannya.



"Jika kita ragu tentang sumber makanan tersebut, tolaklah dengan cara baik dengan meminta maaf dan terangkan kepada mereka tentang kepercayaan kita," terangnya.



ELAK UNSUR SYUBHAH



Pada masa yang sama, Ustaz Mohamad Rais juga menasihatkan agar masyarakat Islam mengelakkan unsur was-was atau diragui, atau syubhah.



Unsur ini, jelasnya, dikaitkan dengan situasi kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dengan haram.



Sabda Rasulullah saw dalam hadisnya: "Sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan perkara yang berada antara halal dengan haram itu adalah perkara syubhah yang tidak ramai manusia mengetahuinya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).



"Ketika menziarahi mereka, mungkin kita bimbang sekiranya tuan rumah akan terkesan hati dengan penolakan kita, terutama soal makanan.



"Kita cuba menolak pelawaan mereka dengan cara yang baik. Jika diyakini halal, maka tidak mengapa," jelas Ustaz Mohamad Rais lagi.




"Banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan bersama rakan-rakan anda seperti makan buah-buahan (oren). Bagaimanapun, jangan makan makanan yang menjadi bahan sembahan mereka. Sekiranya mereka menghidang buah-buahan yang dikhususkan untuk sembahan dalam upacara keagamaan, maka kita tidak boleh memakannya. Niat asal kita adalah untuk mengeratkan tali ikatan antara Islam dan bukan Islam bagi mengelakkan permusuhan atau kebencian antara satu sama lain. Lagipun, Allah swt memerintahkan kita agar berbuat baik kepada semua manusia. Secara ringkasnya, tidak salah untuk meraikan kawan-kawan bukan Islam.''
- Ustaz Mohamad Rais.




BIODATA



Ustaz Mohamad Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >