Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

LAPORAN KHAS HIDAYAH

Bersyukur, guna peluang sebaiknya jadi 'Duyufurrahman'

Ustaz Abdul Manaf terangkan maksud panggilan 'Tetamu Allah' dan kepentingan ibadah haji
May 19, 2023 | 05:30 AM



Sebagai menyambut musim haji akan datang - bermula dengan Muzakarah Haji pada 20 Mei dan Taklimat Pra-Keberangkatan Haji pada 27 Mei - BERITA HARIAN/BERITA MINGGU akan menyajikan satu siri Laporan Khas bermula dengan ruangan Hidayah hari ini dan dalam Berita Minggu pada 21 Mei yang akan menyentuh pelbagai aspek persiapan, panduan perjalanan dan berita terkini mengenai urusan haji setempat dan di Arab Saudi untuk dijadikan rujukan bagi bakal jemaah dan pembaca. Ruangan Hidayah hari ini akan menyentuh persiapan bagi jemaah, manakala dalam Berita Minggu lusa, kami akan menyajikan panduan mudah secara A-Z 'Perjalanan Haji Jemaah Singapura' secara umum bermula daripada ketibaan mereka di Makkah hinggalah ke Hari Tasyrik terakhir 13 Zulhijah sebagai penamat ibadah haji.



ORANG-ORANG yang melaksanakan ibadah haji diberi gelaran istimewa oleh Allah swt dengan gelaran 'Duyufurrahman' atau 'Tetamu-Tetamu Allah' dan seharusnya bersyukur dipilih mendapat kedudukan istimewa itu selain menggunakan sepenuhnya peluang menunaikan rukun Islam yang kelima ini sebaik-baik dan sesempurna mungkin.



Memberikan nasihat itu dalam satu temu ramah khas dengan Berita Harian, Pegawai Kanan Keagamaan Masjid Al-Taqua, Ustaz Abdul Manaf Rahmat, yang juga salah seorang penasihat mapan atau 'masyaikh' Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Anggota Kumpulan Pemulihan Agama (RRG), berkata:



"Kepada bakal jemaah yang akan berangkat pada tahun ini, pertama sekali saya kira, mereka harus bersyukur kerana dipilih oleh Allah swt untuk menunaikan ibadah haji.



"Di samping itu, mereka harus menggunakan sepenuhnya peluang dipilih untuk melakukan ibadah tersebut dengan sebaik mungkin dalam rangka menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu."



Ustaz Abdul Manaf, yang juga salah seorang anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), menambah, ini kerana peluang menunaikan haji, bagi jemaah Singapura yang perlu mengikuti sistem kuota dan yang dahulu didahulukan, adalah satu peluang "hanya sekali seumur hidup".



"Mereka yang berpeluang menunaikan haji ini memang golongan yang istimewa kerana mereka mendapat gelaran 'Duyufurrahman' yang bermaksud 'Tetamu Allah'.



"Ini adalah satu panggilan istimewa yang Allah swt berikan kepada mereka yang menunaikan ibadah haji.



"Malah, lebih istimewa lagi, istilah yang akan kita temui dalam hadis Nabi saw bagi jemaah haji adalah panggilan 'Wafdun' yang maknanya 'Duta' atau 'Utusan Yang Terhormat'," jelas Ustaz Abdul Manaf.



Menurut beliau, dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda: "Orang-orang yang mengerjakan haji, dan orang-orang yang mengerjakan umrah, merupakan duta-duta Allah. Maka jika mereka memohon kepada-Nya , pastilah dikabulkan-Nya, dan jika mereka memohon ampun, pastilah diampuni-Nya." (HR Imam Nasa'i dan Ibnu Majah).



Kedudukan yang sangat istimewa ini, kata Ustaz Abdul Manaf, hendaklah digunakan sepenuhnya oleh bakal jemaah haji untuk menjiwai ibadah haji itu sebagai 'tetamu' dan 'duta-duta' Allah.



KEPENTINGAN DAN FADILAH HAJI



Ibadah haji, tambah Ustaz Abdul Manaf, merupakan satu kewajipan ke atas umat Islam sekali dalam seumur hidup.



"Oleh itu, sudah pasti dalam melaksanakan ibadah ini, begitu banyak fadilatnya.



"Ini terutamanya sekali dari sudut pengampunan dosa. Kita dapat lihat dalam firman Allah dan hadis bahawa bagi orang yang melaksanakan ibadah haji, dosanya akan diampunkan oleh Allah swt asalkan dalam dia melaksanakan ibadah hajinya, dia tidak mengucapkan kata-kata kotor dan membuat yang fasik," kata beliau.



Ada satu lagi hadis Nabi saw yang menyebut "sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasik, maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan ibunya (iaitu dalam keadaan suci daripada dosa)". (HR Bukhari).



"Maka dengan penerangan fadilat daripada hadis-hadis ini, bakal jemaah haji haruslah, sekali lagi saya tekankan, menjiwai dan menghayati setiap aspek ibadah yang berkaitan dengan haji, seperti tawafnya, sainya, wukufnya, dengan betul sehinggakan apabila mereka pulang nanti, mereka dapat menjadi apa yang disebutkan oleh Nabi saw itu.



LUASKAN RANGKAIAN PERSAUDARAAN



Haji juga, tambah Ustaz Abdul Manaf, bukan sahaja ibadah yang memberi peluang kepada bakal jemaah menyahut panggilan dan mendekatkan diri kepada Allah swt, malah mengerat dan meluaskan rangkaian persaudaraan sesama umat Islam.



"Jadi, gunakan peluang ini untuk menambah rangkaian kenalan anda sesama saudara Islam kita di seluruh dunia. Ini satu perkara yang saya rasa perlu diberi perhatian juga," ujar beliau mengakhiri bicaranya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >