Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Hidayah

KOMUNITI KITA

Biasiswa ke pendidikan posmenengah dorong penghuni RKM perbaiki diri

Oct 16, 2020 | 05:30 AM

MENYUSULI satu kajian penilaian Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), peluang melanjutkan pendidikan posmenengah, seperti di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau politeknik, memberi dorong kepada penghuni RKM terus memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu mereka.

Atas dasar ini, tertubuhnya Anugerah Biasiswa Al-Fatih pada 2013 yang menawarkan bantuan kewangan kepada bekas penghuni RKM yang mahu dan sedang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat pos menengah.

Ketika itu, sebanyak $7,500 diperuntukkan bagi biasiswa tersebut.

Biasiswa tahunan tersebut boleh digunakan bagi membiayai perbelanjaan pendidikan mereka seperti pembayaran yuran sekolah dan pembelian bahan-bahan pembelajaran.

Penerima biasiswa dipilih selepas menjalani satu sesi wawancara terperinci oleh panel yang terdiri daripada sukarelawan dan kakitangan RKM, diketuai oleh anggota Jawantankuasa Pentadbir rumah kebajikan itu.

Pada tahun ini, 12 bekas penghuni RKM dipilih untuk menerima anugerah Biasiswa Al-Fatih RKM.

Penerima biasiswa itu ditawarkan $1,300 setiap seorang di antara tempoh Julai dengan Disember tahun ini.

Sebanyak $300 akan dibayar pada bulan pertama, manakala $200 lagi dalam lima bulan selanjutnya.

Sejumlah $16,900 diagihkan bagi biasiswa tersebut tahun ini.

Empat daripada 12 penerima Biasiswa Al-Fatih turut ditawarkan Anugerah Budi Luhur (Virtuous Cycle Award) berdasarkan prestasi akademik dan kelakuan positif mereka sepanjang tahun.

Tahun lalu, sejumlah $25,900 diagihkan kepada 15 penerima biasiswa RKM itu.

Menurut Pengarah Unit Sumber dan Komunikasi Korporat RKM, Cik Rubiah Abdul Latip, melalui pemberian Biasiswa Al-Fatih ini, ia mampu membantu penerima biasiswa memberi tumpuan pada pelajaran mereka supaya mereka tidak perlu khuatir tentang perbelanjaan pendidikan mereka.

Ia juga bertujuan memberi pengaruh positif terhadap penghuni RKM yang lain supaya mereka dapat menyemai tekad mahu berjaya dalam pelajaran mereka.

Kini, RKM mempunyai 32 penghuni lelaki berusia antara 12 tahun dengan 18 tahun.

Setiap penghuni RKM menghadapi cabaran masing-masing, antaranya dari segi masalah keluarga, kewangan, sosial atau emosi.

Lantaran itu, pendidikan adalah kunci bagi pembangunan kehidupan penghuni RKM.

Sejak RKM ditubuhkan pada 1989 di Mountbatten Road, ia telah menganjurkan pelbagai program pendidikan holistik serta sesi kaunseling dan kekeluargaan buat penghuninya.

Justeru, semasa tempoh Pemutus Litar, biarpun pergerakan penghuni dan pembimbing RKM tersekat dan mereka mempunyai kegiatan terhad akibat tidak boleh melakukan kegiatan secara berkumpulan, penghuni masih mempunyai sesi tuisyen dan pembelajaran agama melalui sesi video di dalam talian.

Kini, pada fasa kedua, sesi tuisyen masih dijalankan melalui dalam talian tetapi mereka sudah kembali melakukan beberapa kegiatan di luar darjah mengikuti langkah jarak selamat.

Usaha membimbing penghuni RKM dalam pendidikan akademik dan penerapan nilai-nilai murni akan diteruskan apabila rumah kebajikan itu berpindah di kawasan baru di Pasir Ris Road nanti.

Mereka terpaksa berpindah ke di tempat baru itu kerana tempoh pajakan bagi bangunannya di Bedok North Street 3 kini akan tamat, setelah bertempat di situ selama 10 tahun.

Sebelum itu, RKM bertapak selama 21 tahun di Mountbatten Road.

Namun, rancangan berpindah ke tapak baru RKM pada akhir tahun ini terpaksa ditunda apabila kerja-kerja ubah elok di bangunan baru dihentikan semasa tempoh Pemutus Litar.

Kerja ubah elok bermula kembali bulan lalu dan pihak RKM berharap penghuni dapat berpindah ke bangunan baru pada musim cuti sekolah Jun 2021.

Secara keseluruhan, kos peningkatan semula RKM di tapak baru berjumlah $400,000.

Menurut Cik Rubiah, sejauh ini, RKM berjaya mengumpul dana sebanyak $250,000.

Namun, ia masih memerlukan dana sebanyak $150,000.

Katanya, apabila rumah kebajikan baru itu siap kelak, ia boleh menempatkan sekitar 70 penghuni.

Bangunan baru itu bakal lengkap dengan pelbagai kemudahan riadah seperti gelanggang futsal, ruang kaunseling, galeri seni, taman terapi dan hab-hab pembelajaran.

"Salah satu perubahan baru di rumah kebajikan baru itu ialah cara tinggal penghuni.

Sekarang, mereka tinggal berdasarkan konsep dormitori tetapi di tempat baru nanti, mereka bakal tinggal seunit sebagai sebuah keluarga dengan tertubuhnya 'living space'.

"Di 'living space' ini yang menyerupai sebuah unit perumahan, bakal mempunyai ruang dewan untuk belajar, ruang makan dan bilik tidur.

"Di samping itu, bangunan baru RKM bakal dilengkapi dengan teknologi digital baru yang boleh meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan serta khidmat yang lebih bermutu buat penghuni dan kakitangan RKM," kata Cik Rubiah.

Dalam pada itu, pendidikan penghuni akan tetap menjadi keutamaan.

"Pendidikan merupakan aspek penting buat rehabilitasi dan pembangunan anak-anak RKM. Kami berharap tempat baru ini bakal memberikan anak-anak kami nafas segar bagi tingkatkan tahap pembelajaran mereka dan pada masa yang sama menjadi insan yang lebih maju dan menyumbang bakti,'' kata Pengerusi Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman.

Justeru, pihak RKM mengalu-alukan sumbangan dana bagi mengendalikan kerja-kerja peningkatan buat bangunan baru RKM.

Sumbangan dana buat kerja-kerja peningkatan RKM antaranya akan digunakan untuk membeli perkakas keperluan penghuni seperti katil, perabot, mesin pencuci pakaian, kipas, kabinet dan sebagainya.

Ternyata, penghuni RKM ghairah berpindah ke tempat baru yang juga akan lebih dekat dengan pantai Pasir Ris.

"Saya sudah menjadi penghuni RKM selama enam tahun dan saya ghairah berpindah ke bangunan baru kerana kami akan mempunyai pemandangan lebih baik kerana ia berdekatan dengan pantai. Saya juga berharap kami dapat melakukan lebih banyak kegiatan di luar darjah bersama kawan-kawan dan pegawai di RKM," kata Fir (bukan nama sebenar).


CARA MENDERMA

Orang ramai boleh memberi sumbangan

- menerusi cek silang atas nama 'MWH',

- pemindahan wang antara bank kepada akaun: DBS Autosave A/C No: 017-010046-7.

Sumbangan juga boleh dilakukan melalui

- laman tinyurl.com/giveMWH.

- bagi derma secara PayNow, penderma boleh menggunakan nombor identiti UEN: S58SS0020CMWH.

Setelah membuat sumbangan, penderma hendaklah mengirimkan butiran diri kepada tinyurl.com/mwhdonorform

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian