Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Buang kepercayaan kononnya Safar bulan turun bala

Sep 13, 2020 | 05:30 AM



BULAN Safar ialah bulan kedua selepas bulan Muharam. dikuti bulan Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.



Itulah bulan- bulan yang digunakan oleh masyarakat zaman Jahiliah sebelum Islam dan diteruskan penggunaannya hingga ke era Islam.



TERDAPAT 12 BULAN



Allah berfirman: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan yang dalam ketetapan Allah pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Di antaranya empat bulan-bulan suci". (Surah AtTaubah: 36).



Ayat ini menjelaskan bahawa bilangan bulan di sisi Allah ialah 12s bulan.



Bilangan bulan itu terjadi sejak ciptaan langit dan bumi. Maknanya sejak dunia ini dicipta, Allah telah menetapkan bilangan itu. Empat bulan daripadanya ialah bulan-bulan suci iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.



Orang-orang Arab tidak akan berperang sesama sendiri dalam bulan-bulan suci itu.



BULAN SAFAR DAN PANDANGAN JAHILIAH



Orang Arab menamakan bulan Safar dengan makna 'Peniaga' atau 'Saudagar'.



Mereka juga mengenali bulan safar itu daripada makna asalnya - 'kosong', kuning dan penyakit.



Sejak zaman Jahiliah, Safar dikenali dengan bulan yang membawa sial, bala dan bencana.



Kepercayaan negatif ini berterusan walaupun selepas kedatangan Islam, iaitu walaupun selepas orang-orang Arab keluar daripada kejahilan mereka.



BULAN SAFAR DAN PANDANGAN NUSANTARA



Dalam masyarakat Islam di Nusantara, terdapat kepercayaan tentang bulan Safar sebagai bulan yang membawa bencana, bala dan kecelakaan, khasnya pada hari Rabu terakhir di bulan itu.



Kepercayaan ini mereka warisi daripada orang-orang Arab Jahiliah.



Saya teringat waktu zaman remaja dahulu orang-orang kampung merayakan bulan Safar, terutama di Rabu terakhir bulan itu, dengan melakukan doa tertentu.



Bukan itu sahaja. Mereka bahkan menulis ayat-ayat tolak bala. Mereka rendam doa-doa yang ditulis dan airnya diminum atau mereka campakannya ke dalam perigi, sungai atau laut dan mereka mandi di tempat itu.



Mereka anggap sebagai pesta mandi Safar. Hari itu laksana pesta atau pemujaan kepada bulan Safar.



Kejadian semacam ini berlaku dalam tahun 1940-an, '50-an dan akhir '60-an. Saya tidak menyimpan doa-doa yang tertulis di kertas-kertas itu.



Hingga ke saat ini pun masih ada orang-orang Islam di Nusantara ini, termasuk di negara kita, yang mengelakkan diri mereka untuk membuat sesuatu pekerjaan di bulan Safar.



Umpamanya masih ada orang-orang kita yang tidak mahu membuat majlis akad nikah di bulan ini.



Mereka berbuat demikian kerana mereka bersikap pesimis jika membuat sesuatu majlis di bulan ini.



Perbuatan ini adalah salah dalam agama Islam kerana ia mengarah kepada syirik.



Akidah yang sebenar ialah tiada sebarang makhluk mampu memberi bekas atas kejadian di dunia ini. Hanya Allah yang memberi bekas atas segala-galanya.



PERBEZAAN BULAN-BULAN HIJRIAH



Begitu juga tiada bulan atau tahun berbeza di antara satu sama lain di sisi Allah kerana kesemuanya makhluk Allah.



Kepercayaan bulan Safar sebagai bulan sial atau bulan yang mendatangkan bala dan bencana adalah batil, tidak benar sama sekali.



Setiap Muslim yang beriman dengan adanya qada dan qadar Allah pasti memahami bahawa kuasa mendatangkan kebaikan atau kejahatan, kebahagiaan atau kesedihan hanya pada Allah yang Maha Berkuasa.



Siang, malam, bulan dan tahun semuanya sama di sisi Allah.



Perbezaan bulan-bulan Hijirah itu ialah untuk manusia beramal di dalamnya, bukan membanding-bandingkan di antara satu dengan yang lain.



Rasulullah saw menyatakan bahawa bulan Ramadan itu lebih mulia daripada bulan-bulan lain kerana di dalamnya ada malam al-qadar atau 'Lailatulqadar'.



Ramadan juga bulan Al-Quran diturunkan dan Ramadan ialah bulan diwajibkan berpuasa.



Itu kelebihan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.



Tetapi ia bukan bererti bulan itu mempunyai kekuasaan menentukan sesuatu kepada keadaan alam ini, seperti mengadakan nahas, bala atau bencana, atau sebaliknya boleh mendatangkan nasib yang baik seperti membanyakkan rezeki atau menyempurnakan hajat seseorang dan sebagainya.



Tidak sekali-kali orang yang beriman menyimpan kepercayaan atau iktikad dan keyakinan seperti ini (bulan bala) kerana kepercayaan sedemikian membawa kepada kufur, nauzubillah.



Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, Rasululah saw bersabda:



"Tiada wabak dan tiada keburukan binatang terbang dan tiada kesialan bulan Safar dan larilah (jauhkan diri) daripada penyakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari seekor singa".



Dari hadis nabi ini jelas bahawa Baginda menafikan adanya sial, nasib buruk, kecelakaan atau wabak penyakit di bulan Safar.



Sekali gus hadis ini tidak membenarkan kepercayaan orang-orang Jahiliah yang percaya bahawa Safar itu bulan sial atau bulan yang membawa penyakit.



Kita wajib mempunyai akidah yang kuat bahawa sebarang musibah itu tidak akan mengenai sesiapa kecuali Allah yang menentukannya, yakni tiada sebarang makhluk berkuasa mendatangkan musibah atas seseorang lain atau sesuatu kecuali diizinkan Allah. Pendeknya, hanya Allah sahaja yang berkuasa.



Jadi, Safar tidak mempunyai kuasa apa-apa. Allah berfirman dalam ayat 51 surah at Taubah:



"Katakanlah (wahai Muhammad) 'Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami, Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan - dengan kepercayaan itu - maka kepada Allah jua hendakmya orang yang beriman bertawakal''.



Jelas daripada ayat ini bahawa hanya Allah yang boleh mengenakan sebarang musibah.



JAUHI KHURAFAT



Hanya Allah yang boleh melindungi makhluk-Nya daripada sebarang mala petaka. Setiap orang yang beriman wajib bertawakal kepada Allah.



Kepercayaan takut berlaku kesialan atau kecelakaan jika mengadakan majlis akad perkahwinan atau pernikahan masih melekat dalam sebahagian anggota masyarakat kita.



Kalau orang bukan daripada golongan orang beriman percaya bahawa angka '13' mengundang sial, maka itu adalah kepercayaan karut.



Sebagaia orang yang beriman, kita wajib membuang kepercayaan seperti itu.



Begitulah juga halnya mengenai bulan Safar.



Jika kita sama dengan orang yang mempercayai 'khurafat' seperti itu, akan ada orang yang berkata bahawa 'orang Islam juga ada khurafatnya', sedangkan kita wajib menyucikan keimanan kita daripada perkara khurafat yang ditegah oleh Allah dan Rasul-Nya.



Nabi kita tidak memilih bulan-bulan tertentu atau masa-masa khusus apabila ingin melakukan sesuatu, membuat sesuatu pekerjaan atau menjawab sesuatu soalan daripada sahabat-sahabatnya .



Baginda menunggu wahyu Allah.



Sebaik sahaja mendapat wahyu, barulah Baginda melakukan pekerjaan yang ingin dilakukan tanpa mengira waktu-waktu terentu, atau hari khusus atau bulan tertentu.



Beliau juga tidak memerintahkan umatnya supaya memilih sesuatu bulan apabila mereka ingin musafir, bernikah, mendirikan rumah, berniaga dan sebagainya.



Kecuali dari segi ibadat, umpamanya wajib berpuasa di bulan Ramadan, wajib mengerjakan haji di bulan Zulhijah, menetapkan waktu-waktu solat, mengutamakan waktu tengah malam untuk berkhalwat dengan Allah dan sebagainya.



Nabi pernah keluar memerangi musuh-musuhnya di bulan Safar, seperti peperangan pertamanya (ghazwahnya) terjadi di bulan Safar. Ada peristiwa dalam sejarah bahawa Baginda menerima kedatangan puak-puak daripada orang Arab dalam bulan Safar dan mereka memeluk Islam dalam bulan ini, selepas pertemuan dengan Baginda.



Sekarang kita wajib yakin bahawa mala petaka, sial, keburukan dan lain-lain perkara yang tidak kita ingini boleh berlaku pada sebarang masa, tidak semestinya dalam bulan Safar.



Apa yang patut kita lakukan ialah memanjatkan doa supaya Allah memberkati segala pekerjaan kita dan supaya Allah menolak bala yang boleh mendatangi kita.



Masukkanlah doa kita semasa qunut dalam solat Subuh setiap pagi atau setiap selesai sembahyang.



Buangkanlah keyakinan bahawa bulan safar, terutama hari Rabu minggu terakhir, mendatangkan sial.



Usah bimbang melakukan majlis seperti pernikahan dalam bulan ini jika sudah ada tekad melakukannya.



Buangkan apa sahaja keyakinan tentang berlakunya sesuatu kecelakaan di masa-masa tertentu.



Berserahlah kepada Allah kerana Allah sahaja yang boleh mengadakan apa yang dikehendaki-Nya dan makhluk tidak boleh menerima atau menolak kehendak-Nya.



  • Penulis lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >