Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Akhlak & Adab diletak pada kedudukan tinggi

Kededuanya menjadi tuntutan agama, wajar dipraktikkan dalam kehidupan harian, jelas Ustaz Muhammad Syafiee
Nov 11, 2022 | 05:30 AM



"Dan engkau wahai Muhammad sentiasa berada pada akhlak yang tertinggi." Surah Al-Qalam: 4. Pujian Allah swt kepada Rasulullah saw sebagai makhluk terbaik disebabkan akhlak Baginda. Rasulullah saw bersabda: "Seberat-berat perkara yang diletakkan pada timbangan seorang hamba pada hari kiamat adalah akhlak yang baik." (HR Tirmizi) 



AGAMA Islam amat menitikberatkan akhlak yang mulia dalam setiap individu Muslim.



Allah swt sendiri memuji Rasulullah saw dan memberitahu bahawa Baginda adalah makhluk terbaik disebabkan akhlak Baginda saw.



Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud "seberat-berat perkara yang diletakkan pada timbangan seorang hamba pada hari kiamat adalah akhlak yang baik". (HR Tirmizi)



Bahkan, akhlak yang baik juga dapat menandingi pahala orang yang berpuasa dan mereka yang menunaikan solat malam.



Malah, mereka yang menghiasi diri dengan akhlak yang baik pada setiap masa akan dimasukkan dalam syurga Allah swt, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah saw.



Tetapi adakah akhlak yang mulia yang ditekankan oleh agama sama dengan adab yang yang dijunjung tinggi masyarakat Melayu?



ADAKAH AKHLAK DAN ADAB BERBEZA?



Menjawab persoalan ini dalam satu sesi perbincangan dengan Berita Harian, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin, menjelaskan:



"Jika diperhatikan perkataan akhlak dan adab mengikut bahasa Melayu, akhlak itu adalah budi pekerti, tabiat, ataupun watak seseorang, sementara adab pula adalah tingkah laku dan tutur kata yang sopan.



"Namun, apabila kita teliti menurut lensa agama, kita akan dapati bahawa ulama berbeza pendapat ketika membincangkan perbezaan antara adab dengan akhlak."



Menurut Ustaz Muhammad Syafiee, yang memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin, Aqidah Falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, ada ulama yang menyamakan adab dengan akhlak yang terpuji.



"Bagi mereka adab adalah akhlak dan akhlak adalah adab.



"Namun, ada juga yang membezakannya. Mereka berkata adab adalah sesuatu tabiat atau tingkah laku yang mencerminkan akhlak seseorang, dan akhlak, mengikut mereka, lebih bersifat umum daripada adab.



"Sebagai contoh, antara akhlak terpuji adalah "al-ithar" iaitu mengutamakan keperluan saudara kita.



"Adab yang mencerminkan akhlak "al-ithar ini" adalah memulakan salam. Maka itu, timbullah istilah adab tetamu, adab seorang guru, adab seorang pelajar, adab memberi salam, adab menziarahi rumah orang dan lain-lain," terang beliau.



Ringkasnya, tambah Ustaz Muhammad Syafiee, walau apa pun pendapat ulama mengenai hakikat adab - sama ada ia sama atau berbeza dengan akhlak - mereka tetap sepakat bahawa adab telah menjadi salah satu tuntutan agama seperti mana akhlak terpuji.



Justeru, katanya lagi, dapat kita perhatikan ada ulama yang mengkhususkan buku untuk membincangkan mengenai adab, antaranya termasuk Imam Al-Ghazali, yang membincangkannya dalam kitab Ihya Ulumuddin; dan Imam Bukhari dalam kitab adab Al-Mufrad.



Beliau menukil kata-kata Ibn Abbas, yang disebutkan oleh Asbahani: "Tuntutlah ilmu tentang adab, kerana ia menambah kecerdasan, juga membawa kepada maruah yang terpuji."



Seorang lagi ulama, Ibn Mubarak, berkata: "Seseorang lelaki itu tidak akan dapat dimuliakan dengan ilmunya selagi mana ilmunya itu tidak memberi kesan pada adabnya."



Bahkan, menurut Ustaz Muhammad Syafiee, dinukilkan oleh Ibn Mubarak, daripada kitab Risalah Qusyairiah, bahawa "sedikit adab lebih diperlukan oleh kami daripada ilmu yang banyak".



"Oleh itu, mari kita cuba perbaiki adab kita dalam rutin harian, seperti dalam kehidupan berkeluarga, ketika menegur seseorang atau ketika kita berkomukiasi dalam media sosial," ujar beliau.



KESIMPULAN



Mengakhiri penjelasannya, Ustaz Muhammad Syafiee memetik sepotong hadis riwayat Imam Hakim.



"Sesungguhnya kamu tidak akan mampu menggembirakan dan menyenangkan manusia dengan harta kamu, akan tetapi hendaklah kamu menyenangkan mereka dengan wajah riang dan akhlak yang baik."



"Adab menambah maruah dan nilai seseorang. Tidak kira masa dan tempat. Bahkan, dengan adab dan akhlak yang mulia, seseorang itu dapat kemuliaan di sisi manusia dan dimasukkan ke dalam syurga Allah swt di akhirat kelak," ujar Ustaz Muhammad Syafiee.




"Sesungguhnya kamu tidak akan mampu menggembirakan dan menyenangkan manusia dengan harta kamu, akan tetapi hendaklah kamu menyenangkan mereka dengan wajah riang dan akhlak yang baik."
- HR Imam Hakim.




"Adab menambah maruah dan nilai seseorang. Tidak kira masa dan tempat. Bahkan, dengan adab dan akhlak yang mulia, seseorang itu dapat kemuliaan di sisi manusia dan dimasukkan ke dalam syurga Allah swt di akhirat kelak."
- Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin.




SEKILAS BIODATA



■ Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan ialah Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin, Aqidah Falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >