Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Erti pengorbanan luas, tidak terhad pada penyembelihan sahaja

Sambutan Aidiladha semalam tidak kurang bermakna meskipun di tengah-tengah pandemik. Malah, erti pengorbanan yang harus dipupuk menerusi sambutan Aidiladha semakin menyerlah sedang umat Islam perlu melakukan pengorbanan dalam kehidupan beragama - termasuk ibadah haji - demi keselamatan semua. Dalam rencana berikut, kami mengupas erti sebenar pengorbanan dan juga keindahan ibadah haji.
Jul 21, 2021 | 05:30 AM



PADA Hari Raya Aidiladha, umat Islam sentiasa ditekankan untuk menghayati erti pengorbanan yang sebenar dalam Islam.



Namun, penghayatan ini tidak sepatutnya mekar hanya ketika musim perayaan sahaja.



Sebaliknya, ia perlu menyelami maksud korban ini dalam konteks yang lebih besar melibatkan diri, keluarga dan masyarakat.



Dalam konteks kemasyarakatan pula, ia menuntut pengorbanan lebih besar daripada setiap individu.



Malah sikap ingin berkorban itu tidak seharusnya terhenti pada bulan Zulhijah, akan tetapi perlu berterusan sepanjang masa kerana konsep pengorbanan begitu luas ertinya.



Islam menyarankan supaya antara sesama umat perlu saling bantu-membantu.



Rasulullah saw menunjukkan contoh terbaik bagaimana sikap kebersamaan itu perlu ada pada setiap diri umat Islam.



Contoh itulah membuatkan Islam dipandang tinggi oleh umat lain dan pengorbanan adalah suatu ujian daripada Allah swt untuk menguji sejauh mana hamba-Nya bersyukur dan berterima kasih di atas segala nikmat kurniaan-Nya.



Korban perlu menjadi sebahagian daripada kekuatan dalam memupuk keimanan yang tinggi pada diri seseorang.



KONTEKS PENGORBANAN LUAS



Merungkai pengertian korban ini, Ustaz Dr Firdaus Yahya memberitahu ibadah korban yang khusus adalah korban binatang yang dibenarkan pada hari-hari tertentu iaitu bermula dari 10 Zulhijah hingga sebelum tenggelamnya matahari pada 13 Zulhijah.



"Tetapi, apa jua ibadah yang dilakukan untuk mendekatkan diri pada Allah swt adalah satu pengorbanan. Banyak ibadah korban lain yang boleh dilakukan dan tidak terhad kepada sembelih kambing sahaja.



"Bersedekah dan membantu orang sakit yang memerlukan wang untuk pembedahan juga satu bentuk pengorbanan. Ketentuan bilangan pahala pula adalah rahsia dan ia terserah kepada Allah swt.



"Penilaian Allah swt bukan bergantung kepada jumlah yang dikeluarkan, tetapi ia bergantung kepada keikhlasan, niat dan tujuan dalam hati," ujar Ustaz Firdaus.



HARGAI PENGORBANAN RASULULLAH



Tambah Ustaz Dr Firdaus, kita perlu menghargai pengorbanan yang dilakukan Rasulullah saw.



Kata beliau pengorbanan Rasulullah saw melebihi rasul-rasul yang lain dan umat manusia.



Tiada siapa yang dapat menandingi pengorbanan Baginda saw yang banyak menanggung derita dan kesusahan untuk umatnya.



"Baginda pernah mendapat tentangan hebat dan diboikot oleh orang Quraisy Makkah, ketiadaan makanan dan minuman. Baginda juga berjalan jauh ke Thaif untuk menyampaikan dakwah tetapi dilontar batu sehingga berdarah dahinya.



"Atas pengorbanan yang begitu banyak, Rasulullah saw memperolehi tempat yang paling tinggi di sisi Allah swt. Kekasih Allah juga diuji, apatah lagi kita manusia biasa? Sudah pasti Allah swt akan menguji untuk melihat pengorbanan dan kesabaran kita.



"Jika kita berjaya menghadapi ujian dengan sabar, sudah pasti kedudukan kita akan ditingkatkan oleh Allah swt," kata Ustaz Firdaus.



KORBAN YANG DISAYANGI



Pandangan lain tentang pengorbanan turut diberikan oleh Pegawai Dakwah Masjid Al-Firdaus, Ustaz Ruknuddin Zainor.



Katanya, pengajaran korban boleh dilihat melalui kisah Nabi Ibrahim as dan anaknya, Nabi Ismail as.



Lihat pada peristiwa Nabi Ibrahim diuji untuk mengorbankan sesuatu yang sangat disayangi oleh beliau.



"Mungkin ujian bagi kita adalah sesuatu yang kita sayang iaitu harta. Sanggupkah kita mengorbankan harta dan wang ringgit atas nama amal kebajikan?



"Pada hari Raya Aidiladha, kita dapat melaksanakan ibadah korban yang dibuat ikhlas kerana Allah swt.



"Daging korban akan diagihkan kepada fakir miskin dan kita memperolehi pahala daripada pengorbanan harta tersebut.



"Itulah amalan korban yang paling penting semasa perayaan Aidiladha pada setiap tahun," terang Ustaz Ruknuddin.



BAIKI NIAT MASING-MASING



Pendakwah bebas Ustaz Muhammad Hafiizh Rapiee juga menerangkan korban boleh dikaitkan dengan kisah Habil dan Qabil.



Mereka mempersembahkan korban terhadap Allah swt, tetapi hanya sembahan Habil diterima manakala sembahan Qabil ditolak.



"Secara zahirnya, cara Allah swt menerima ibadah kita adalah melalui niat. Ia perlu dilakukan dengan hati yang suci dan ikhlas. Islam mengajar supaya manusia fokus kepada apa yang kita buat dan bukannya pada apa yang manusia lain buat.



"Ibadah korban ini lebih 'cantik' kalau dilakukan pada setiap tahun. Ia bukanlah wajib, tetapi kita dapat jadikan korban sebagai motivasi untuk beribadah. Sebagai tanda bersyukur, kita melestarikan ibadah untuk rahmat Allah swt dengan berkongsi makan dan sebagainya.



"Apabila berkorban, kita akan rasa lebih senang hati. Walaupun tidak seberapa, tetapi kita ingin lahirkan semangat dan ketakwaan dalam jiwa seseorang melalui ibadah korban."



  • Ustaz Dr Firdaus Yahya Al Hafiz memiliki PhD (Doktor Falsafah) dalam jurusan Sains Islam dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau merupakan pengurus Pusat Pendidikan Darul Huffaz.

  • Ustaz Muhammad Hafiizh Rapiee pemegang ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Hadis & Pengetahuan Islam dari Universiti Islam Madinah.

  • Ustaz Ruknuddin Zainor merupakan pegawai agama Masjid Al-Firdaus dan mempunyai ijazah muda dalam jurusan Syariah dari Universiti Insaniah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >