Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Gigihlah mengejar lailatulqadar

Jun 26, 2016 | 05:30 AM



MINGGU berganti minggu, hari berganti hari, tetamu kita, Ramadan yang dinanti, kian 'melangkah kaki' untuk meninggalkan kita sekali lagi.



Sebelum tibanya Ramadan, sejak di bulan Rejab dan Syaaban, lidah-lidah kita basah, memohon agar Allah swt memberi kita izin untuk bertemu dan bertamukan Ramadan.



Tetamu yang dinanti itu kini, berminggu sudah bersama kita. Namun, selama keberadaannya bersama kita, bagaimanakah kita 'melayannya'?



Apakah kita hanya membiarkannya duduk di pelosok tanpa kita mengendahkannya atau melayannya sebentar dan sibuk menantikan dan menyiapkan diri untuk bertamukan Syawal pula?



Sedang alunan lebaran bergema berkumandang di corong-corong, seakan membuat kita lupa dan alpa, tetamu itu masih bersama kita.



Saudara sekalian, begitulah kalau dapat saya gambarkan Ramadan yang datang bertandang ke rumah kita.



Syukur ke hadrat Ilahi yang masih lagi meminjamkan kita setiap hela nafas untuk kita mengambil peluang di setiap detik Ramadan ini.



LAILATULQADAR



Dalam sibuk mencari keperluan Syawal, marilah kita sibukkan juga diri kita dengan sepuluh malam terakhir ini, mudah-mudahan kita diberikan lailatulqadar.



Saya yakin, ramai antara kita yang tahu kehebatan malam tersebut. Bahkan di dalam Al-Quran itu sendiri ada surah yang dinamakan sebagai Al-Qadr.



Dari surah tersebut Allah ada menerangkan kehebatan malam itu. Maksud firman-Nya daripada Surah Al-Qadr itu: "Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka."



Demikianlah lailatulqadar yang disifatkan sebagai malam seribu bulan. Yang mana jika kita menghitungnya semula, ia adalah bersamaan kurang lebih 83 tahun.



Alangkah ruginya, andai lailatulqadar itu tiba sedang kita lalai alpa sedangkan kita tidak mengetahui apakah masih ada Ramadan untuk kita pada tahun hadapan.



MANFAATKAN MASA



Marilah sama-sama kita kejar malam yang mana amalan kita dilipatgandakan.



Janganlah ada sifat 'lokek' untuk beribadah hinggakan berfikir mahu beribadah hanya pada malam-malam ganjil. Teringat sebuah iklan televisyen, "Tuah anda, siapa yang tahu?"



Saya yakin, antara kita pasti akan lebih sibuk dengan 'Lailatul Bazar' atau bermalam di bazar mencari keperluan lebaran.



Namun, jangan jadikannya alasan untuk tidak kita lakukan sebarang amalan. Lebih buruk lagi, melakukan kemaksiatan pada malam-malam tersebut.



Kalau sepuluh malam terakhir itu kita boleh bangun untuk buat kuih, untuk cat rumah, mengapa tidak sambil-sambil menunggu kuih itu siap, atau sambil menunggu cat kering, kita ketepikan sebentar masa untuk beribadah tidak kiralah apa jua ibadah. Sama ada membaca Al-Quran, mendirikan solat malam dan sebagainya.



BERDOA



Ada masanya, sewaktu kita berada di atas tikar sejadah, kita mahu berdoa. Namun, kita tak tahu apa yang ingin kita doakan.



Dari itu, saya sarankan, mengapa tidak sewaktu kita ada masa lapang, sedang berehat mungkin, kita catatkan apa yang mahu kita doakan agar apabila tibanya masa yang kita rasa hendak berdoa, kita tidak tertinggalkan doa tersebut.



Dalam berdoa juga, janganlah kita bersikap pentingkan diri sendiri. Janganlah hanya doakan diri sendiri. Doakanlah ibu bapa kita, rakan dan sahabat taulan, guru kita dan kenalan kita semua.



Jangan pula kita lupa mendoakan nasib mereka yang tertindas, mudah-mudahan diberikan pertolongan Allah.



Dari hadis riwayat Muslim, sabda Rasulullah saw: "Tidak ada seorang Muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama Muslim) tanpa pengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, 'dan bagimu juga kebaikan yang sama'."



Dari itu, ikhlaskanlah hati kita agar turut mendoakan orang lain.



HAYATI APA YANG DIBACA



Bagaimana hendak menghayati kalau tidak memahami. Bertahun mungkin dibaca doa tertentu atau surah tertentu, tetapi apakah yang dibaca itu benar-benar dihayati?



Dalam kita membaca doa atau potongan ayat, adalah baik juga untuk kita cuba memahami apa yang hendak kita sampaikan atau apa yang dimaksudkan daripada bacaan tertentu.



Saya fikir dengan cara yang demikian, yakni dengan memahami apa yang dibaca, kita akan dapat lebih menghayati apa yang ingin disampikan Ilahi daripada potongan ayat suci. Carilah makna atau terjemahannya atau tanyakanlah asatizah yang ada.



Sekurang-kurangnya, ambillah tekad cuba memahami apa yang kita baca dalam setiap pergerakan solat kita kerana pada akhirnya, ia adalah suatu ibadah yang kita lakukan seharian. Tentu sekali apabila kita sudah berjaya memahami makna setiap sebutan dalam solat kita, kita akan lebih khusyuk dalam mengabdikan diri pada-Nya.



Menjelang Hari Raya, pastinya kehangatannya kian terasa. Tidak salah menyambut kedatangan lebaran. Namun, janganlah kita biarkan sisa-sisa Ramadan yang masih lagi ada dipersiakan.



Umur kita tak panjang. Pastinya, ada dalam kalangan kita yang bahkan tidak sempat bertemu Ramadan tahun ini.



Janganlah kita sangka tahun depan masih ada. Kesempatan yang ada, ambillah, selagi diberi peluang.



  • Penulis pegawai di Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >