Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Haiwan juga berhak nikmati kehidupan

'Penyelamat kucing' berkorban masa dan wang ringgit demi selamatkan kucing terbiar dan cedera
Oct 03, 2021 | 05:30 AM



Sikap ihsan adalah antara nilai-nilai yang mencerminkan kesempurnaan Islam, kerana ia merupakan asas kepada kehidupan setiap insan. Rasulullah pernah ditanya, "Apakah Ihsan itu?" Baginda menjawab: "Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Umat Islam digalak menyerlahkan semangat ihsan kepada setiap ciptaan Tuhan. Dalam Hidayah minggu ini, BERITA MINGGU (BM) memaparkan kisah seorang srikandi yang sanggup mengorbankan keselesaan diri sendiri bagi menyelamatkan serta menempatkan kucing-kucing yang sakit dan terbiar.



SETIAP haiwan berhak mendapat peluang untuk meneruskan kehidupan mereka dan perlu diberi layanan yang sama seperti manusia.



Ia tidak seharusnya diabaikan atau dibiarkan menderita begitu sahaja jika ia mengalami sebarang kesakitan.



Inilah pendirian Cik Nasha 'Feline', yang aktif menjadi 'penyelamat kucing' sukarela sejak awal 2010.



"Haiwan juga makhluk ciptaan Tuhan dan mereka berhak mendapat peluang yang sama dalam kehidupan seperti kita," tegasnya.



Sikap ihsan dan cinta terhadap haiwan, terutama kucing, telah dipupuk sejak Cik Nasha, 40 tahun, masih kecil lagi.



Membesar dalam keluarga pencinta kucing, beliau sering melihat bapanya membawa pulang kucing terbiar dan akan memberi makanan serta membersihkannya.



Di samping itu, bapanya juga akan memastikan setiap kucing-kucing tersebut mendapat penjagaan yang sempurna di tempat tinggal baru mereka.



"Inilah yang beliau lakukan hampir setiap hari dan sikap ini menjadi sebahagian daripada diri saya hingga ke hari ini.



"Saya juga diajar untuk menghormati dan menjaga haiwan sebagai makhluk yang hidup di dunia ini," kata beliau.



Namun begitu, keputusan untuk menjadi 'penyelamat kucing' sukarela hanya diambil selepas seekor kucing masyarakat yang beliau sering berikan makanan, mengalami kecederaan.



Kucing tersebut menjadi mangsa mata kail yang tertusuk pada bibirnya.



Mata kail itu mungkin milik seorang pemancing yang memancing di kawasan kolam air yang terdapat di Pasir Ris.



"Jadi pada masa itu, saya tahu saya harus melakukan sesuatu untuk membantu kucing tersebut kerana selama ini saya telah menjaganya, walaupun ia seekor kucing masyarakat.



"Saya memutuskan untuk membawanya ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan segera.



"Sejak itu, setiap kali saya melihat kucing yang cedera atau dibiarkan begitu sahaja di luar, saya secara automatik akan pastikan saya membawanya ke tempat yang lebih selamat dan mendapatkan rawatan doktor haiwan jika diperlukan.



"Kemudian baru saya akan mencarikan rumah dan pemilik baru untuk kucing itu, dan memastikan mereka diberi peluang untuk hidup di tempat yang lebih selamat," ujarnya yang menetapkan syarat terhadap mereka yang berminat untuk mengambil kucing daripadanya dan menjadi penjaga kucing.



Antaranya termasuk, memastikan rumah mereka dilengkapi pengadang, sedia melakukan lawatan ke klinik haiwan dan mematuhi penjagaan makanan.



Dalam melakukan usaha murni ini, Cik Nasha telah banyak mengorbankan masa dan wang bagi membantu menyelamatkan sekitar 300-350 ekor kucing.



Menurut beliau hampir $40 ribu telah dibelanjakan untuk rawatan haiwan-haiwan itu, namun sumbangan orang ramai yang sedia membantu merawat kucing-kucing yang teraniaya atau sakit telah meringankan beban perbelanjaan tersebut.



Meskipun sering mendapat mesej daripada pengikutnya di media sosial seperti Facebook dan Instagram tentang kejadian kucing teraniaya atau terbiar, Cik Nasha berkata beliau hanya akan memberi respons terhadap kes yang serius.



"Sebenarnya banyak mesej dan panggilan yang saya terima daripada orang ramai, tetapi itulah tidak semua yang boleh saya bantu dan saya hanya akan menumpukan perhatian terhadap kes yang lebih serius seperti jika kucing itu mengalami kecederaan yang membahayakan nyawanya," tambah beliau.



Sepanjang penglibatan sebagai 'penyelamat kucing', Cik Nasha, telah melihat banyak kejadian memilukan yang terjadi kepada kucing, termasuk kucing peliharaan.



Antara perkara yang menjadi keprihatinan beliau adalah apabila kucing peliharaan diabaikan dan tidak dijaga dengan sebaiknya.



Beliau berpendapat sikap dan mentaliti sesetengah penjaga kucing perlu diubah.



"Perkara ini memang biasa saya lihat dan banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita sendiri.



"Mungkin mereka mempunyai pemikiran seperti masa di kampung dahulu, di mana kucing-kucing bebas berkeliaran di luar.



"Namun, jika kucing peliharaan itu tidak dikembirikan, ia boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan kucing itu sendiri.



"Oleh itu, saya ingin menggalak penjaga kucing untuk memastikan kucing mereka dikembirikan dan menjaganya dengan sebaik mungkin, seperti ahli keluarga kita sendiri jika kita benar-benar mencintainya," ujar beliau lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >