DENGAN masuknya tahun 2022 ini, maka ia menjadi petanda bahawa umur manusia di dunia juga sudah semakin berkurangan. Hal ini kerana semakin bertambah waktu, semakin dekat masa untuk menghadap Allah swt.
Pendakwah mapan, Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, atau lebih dikenali sebagai Ustaz TM Fouzy, menerangkan perubahan masa yang berlalu bukanlah hanya membuka ruang untuk bergembira sahaja, malah ia harus menjadi penyuntik bagi seorang Mukmin mengadakan persediaan yang lebih rapi untuk kembali kepada Allah swt.
Tambah beliau:
"Setiap insan yang bernyawa pasti akan menghadapi kematian. Namun, seorang manusia akan menemui kerugian, jika mereka tidak sempat berbuat baik ketika masih hidup.
"Apatah lagi, jika mereka hanya ingin bertaubat pada saat-saat akhir di ambang kematian. Maka, pada waktu itu, sudah terlambat untuk manusia mengumpul amalan kebaikan kerana kita sudah pun mencapai masa terakhir dalam kehidupan.
"Oleh itu, gunalah peluang dan masa yang ada untuk menebus dosa yang pernah dilakukan. Sememangnya, setiap manusia tidak terlepas daripada kesalahan dan kelalaian. Tetapi, dosa itu boleh ditebus dengan melakukan amalan kebaikan, selagi seseorang itu masih lagi bernyawa," jelas Ustaz TM Fouzy.
Beliau berharap masyarakat Islam menghayati sebuah hadis tentang menghargai segala kesempatan dan nikmat kurniaan Allah. Daripada Ibnu Abbas, dengan Rasulullah saw pernah bersabda:
"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Berdasarkan hadis itu, Ustaz TM Fouzy menyebut:
"Masa yang dikurniakan oleh Allah swt sangat berharga. Hargai setiap saat selagi kita masih hidup, sihat, kaya, lapang, dan muda. Apabila kita terlepas lima perkara ini, agak sukar dan mustahil melakukan sesuatu kebaikan.
"Contohnya, apabila kita sudah berada di ambang kematian, sudah tiada ruang untuk kita mengumpul amal ibadah. Sebab itu, kita perlu menghargai setiap rezeki dan nikmat yang dikurniakan Allah swt. Justeru, gunakan rezeki yang ada sebagai persiapan hari akhirat."
Seperti firman Allah swt dalam Surah Al-Qasas yang bermaksud:
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (28: 77)
Sehubungan itu, Ustaz TM Fouzy mengajak masyarakat Islam agar menggunakan sebahagian rezeki ke jalan Allah swt bagi mengumpul saham yang akan membantu memudahkan perjalanan ke akhirat.
Beliau berpesan:
"Buatlah seberapa banyak amal jariah yang mampu seperti bersedekah kepada masjid, membantu anak yatim, membangunkan madrasah dan lain-lain. Hal ini kerana amalan inilah yang akan menjadi bekalan pada hari akhirat nanti. Oleh itu, ambillah kesempatan yang ada dengan membantu meningkatkan dana pembangunan masjid seperti yang boleh dilakukan di Masjid Al-Amin.
"Untuk pengetahuan umum, Masjid Al-Amin sedang mengusahakan projek 'Mahar Ke Syurga' sebagai daya usaha terakhir untuk mengumpul dana projek peningkatan Masjid Al-Amin. Marilah bersama-sama menyemarakkan usaha membantu perkembangan Masjid Al-Amin sebagai sebuah pusat kegiatan dakwah dan pendidikan Islam.
"Segala sokongan masyarakat Islam terhadap projek peningkatan Masjid Al-Amin sangat dihargai dan kami dahului dengan ucapan terima kasih.
"Mudah-mudahan, para dermawan akan memperolehi pahala yang berterusan, sekali gus mengukuhkan saham kehidupan di akhirat kelak," jelasnya lagi.
CARA HULUR DERMA
Derma boleh dilakukan melalui pemindahan wang kepada akaun semasa DBS dengan nombor 012-009859-6; atau PayNow UEN No: S91MQ0008B001.
Anggota masyarakat juga boleh menghulur derma secara langsung ke masjid (waktu pejabat); atau dari rumah dengan menghubungi talian 6272-5309.
Sila lungsuri laman https://alaminmosque.mimbar.sg/organization/168?p=infaq untuk menghulurkan infak atau wakaf anda kepada Masjid Al-Amin.