Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HARI RAYA perayaan agama bukan pesta

Ustaz Ahmad Dahri turut jelaskan adab dan tatacara sambut Aidilfitri
May 06, 2022 | 05:30 AM



SERONOK beraya 'bang? Eh 'akak pun tak kurang bergaya. Anak-anak pula ceria dan gembira menyambut Hari Raya.



Begitulah kita umumnya menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kemeriahan.



Namun, menyambut Hari Raya ada adab dan tatacaranya memandangkan ia adalah suatu perayaan agama, pesan pensyarah bebas, Ustaz Drs Ahmad Dahri.



Menjelaskan demikian dalam kuliah subuh terakhir dalam siri kuliah bertemakan 'Mutiara Ramadan' di Masjid Yusof Ishak Sabtu lalu, beliau menjelaskan:



"Sekarang kita sedang menumpukan perhatian kita untuk berhari raya dan ini adalah perkara yang wajar sebab Nabi Muhammad saw telah menyebut dalam hadis Baginda yang bermaksud "bagi yang berpuasa itu ada dua kegembiraannya".



"Yang pertama kegembiraan semasa dia hidup di dunia ini iaitu berbuka/berhari raya, kemudian kedua kegembiraannya nanti pada hari akhirat, yakni dia akan bertemu dengan Allah swt". (HR Muslim).



"Semoga sahaja kebahagiaan ini dapat kita raih di dunia demikian juga di hari akhirat nanti."



Dalam membicarakan sambutan Hari Raya, Ustaz Ahmad Dahri menerangkan:



"Hari Raya dalam Islam jelas adalah hari perayaan keagamaan, bukan hari kita berpesta, bersuka ria, demi sesungguhnya Hari Raya tersebut adalah Hari Raya perayaan agama sebab kita meraikan puasa yang kita laksanakan sebulan tersebut (Ramadan). Itulah Hari Raya.



"Jadi, memandangkan ia merupakan perayaan keagamaan, justeru meraikannya adalah ibadah, dan memandangkan ia ibadah, hendaklah kita laksanakan mengikut tatatertibnya. Tidak boleh sembrono (sembarangan).



"Ibadah harus diikuti mengikut tatacara atau tatatertib. Mirip macam kita solat. Solat ni kan ibadah, maka kita harus melaksanakan mengikut syarat dan rukunnya. Jika solat tidak memenuhi syarat dan rukunnya, maka ibadah solat itu nyata tidak sah di sisi Allah swt.



"Jadi demikian juga meraikan Hari Raya ini, hendaklah mengikut tatatertib sebab ia adalah ibadah di sisi agama Islam.



"Justeru menyambutnya adalah satu simbol kemenangan bagi yang lulus melaksanakan puasa Ramadan dengan sempurna."



SIAPA YANG LULUS?



Menjelaskan perkara ini, Ustaz Ahmad Dahri berkata itulah sebabnya Ramadan juga disebut sebagai bulan imtihan (peperiksaan).



"Yang dinamakan ujian itu ada yang lulus dan ada yang tidak.



"Ini kerana Nabi saw pernah menyebut yang demikian (dalam hadisnya yang bermaksud): "Ya Tuhanku sememangnya ramai umatku dan hamba-Mu yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa pun daripada puasanya itu terkecuali yang didapatinya hanya lapar dan dahaga".



"Itu makanya kita minta pada Allah swt dalam doa yang bermaksud: "Ya Allah jadikan kami orang yang lulus dalam Ramadan ini, jangan jadikan kami orang yang tidak lulus, tertolak di sisimu."



CARA RAIKAN HARI RAYA



Dalam rangka kita meraikan perayaan keagamaan, yang disebut dengan istilah Hari Raya Aidilfitri atau Lebaran ini, Ustaz Ahmad Dahri juga berkata kita harus memahami hakikatnya dan melaksanakannya ikuti tatacara pelaksanaannya.



Antara adab meraikan Hari Raya yang telah kita lakukan pada malam Aidilfitri lalu, termasuk:



  • Bertakbir pada malam dan pagi 1 Syawal.

Ini sesuai dengan firman Allah iaitu "hendaklah kamu bertakbir", maknanya membesarkan, mengagungkan Allah swt.



Waktunya adalah sejak terbenam matahari pada akhir Ramadan hingga selesai solat Hari Raya Aidilfitri tersebut atau dikenali sebagi takbir mursal.



  • Menghidupkan malam Hari Raya dengan ibadah dan amal soleh khususnya dengan bertakbir, kemudian yang lain-lain, termasuklah solat, berzikir, berdoa, baca Al-Quran dan bersedekah dalam bentuk kebajikan dan kebaikan seperti yang dianjurkan Nabi saw.

Rasulullah saw menyebutkan "sesiapa yang menghidupkan dua malam Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kerana Allah, nescaya hatinya tidak akan mati pada hari yang mati segala hati." (HR Ibnu Majah).



  • Disunatkan mandi pada pagi Hari Raya dengan tujuan mahu pergi menunaikan solat Hari Raya

  • Disunatkan juga memakai pakaian yang baru, kalau ada.

"Baru ini sifatnya umum, mungkin baru dicuci, baru digosok, baru dikeluarkan almari dan baru-baru lainnya, tidak semestinya baru dibeli di kedai.



"Kalau memang ada, boleh. Tujuannya jangan sampai pinjam orang punya atau sampai berhutang untuk meraikan Hari Raya. Ini dilarang.



"Kalau dalam bahasa kita, pakailah apa yang ada, kalau ada yang baru, bagus yang baru, kalau tidak ada, pakai apa yang ada," tambah Ustaz Ahmad Dahri.



Beliau menukil satu syair Arab yang mengatakan "Hari Raya itu megah indah bukan kerana berpakaian kasut baru dan baju baru dan 'baru-baru' yang lainnya, melainkan kegembiraan itu adalah di mana kita pagi itu menjadi manusia baru".



Nabi saw juga, terang beliau, ada menyebutkan bahawa "barangsiapa yang berpuasa imannya kepada Allah, dia mengharapkan keredaan Allah, bersihlah dosa-dosanya seperti dia baru dilahirkan dari perut ibunya".



"...(Inilah) Baru. Maka alangkah relevannya kalau dia orang baru, memakai pakaian yang baru," ujar Ustaz Ahmad Dahri lagi.



  • Disunatkan memakai wangi-wangian, itu pun juga kalau ada.

  • Makmum (jemaah) disunatkan pergi ke tempat solat Raya lebih awal, sementara imam pula disunatkan datang lewat iaitu ketika hendak mendirikan solat.

Jika datang awal, hendaklah datang di saf pertama kerana begitu banyak nilai ganjarannya.



  • Makan sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri, seperti memakan beberapa biji kurma; tidak pada sunat Hari Raya Aidiladha.

  • Sunat pergi solat melalui jalan lain dan pulang ke rumah semula selepas solat ikut jalan lain pula.

Tujuannya untuk meraikan hari kebesaran tersebut dan berjumpa orang ramai, seperti yang dilakukan Nabi saw untuk mengucapkan tahniah.



  • Bagi yang mampu adalah lebih baik pergi solat dengan cara berjalan kaki.

"Kalau naik kenderaan pun berhati-hati, jangan sampai kerana kita nak solat, lalu kereta diletakkan tak kisah di perhentian bas... (Ini) tak boleh (hingga sampai mengganggu orang lain).



"Solat itu mendidik diri kita menjadi manusia baik. Solat itu sendiri fungsinya mencegah diri kita daripada membuat kerja-kerja keji dan mungkar. Tidak boleh ibadah kita mengganggu orang lain. Ini harus diambil perhatian," pesan Ustaz Ahmad Dahri.



  • Memberi kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan untuk (menyambut) Hari Raya untuk menampak perbezaan antara Hari Raya dengan hari yang tidak Raya.

  • Menzahirkan keceriaan dan sunat mengucapkan kata-kata "taqabbalallahu minna wa minkum" yang maknanya "semoga Allah menerima amalan dan ibadah kita semua" atau tahniah atas kejayaannya.

  • Solat Hari Raya dua rakaat dan dua khutbah, dengan solat Hari Raya mendahului khutbah.

"Ini perlu difahami. Maksudnya jangan sampai solat ikut, khutbahnya cabut.



"Solat anda ini tidak sah (kalau tinggalkan khutbah) sebab dua rakaat, dua khutbah. Jadi kalau hanya ikut solat tak ikut khutbah bermakna tak sempurna. Bagaikan orang berwuduk - basuh muka tapi tak basuh dua kaki, apakah sah wuduknya? Tak sah (sebab) tak sempurna," kata Ustaz Ahmad Dahri mengingatkan.



Mendengar isi khutbah Hari Raya begitu penting hinggakan Nabi saw menganjurkan solat Hari Raya diadakan di tanah lapang agar lebih ramai orang dapat mendengar khutbah, jelas beliau.



  • Beradab semasa ziarah kubur. Ziarah dalam Islam sudah diatur, contohnya pada Isnin dan Khamis.

Cara berpakaian ketika ziarah kubur juga diatur, khususnya bagi kaum wanita, supaya berpakaian yang sopan dan melambangkan keinsafan.



Perlu juga dielak suasana pesta dan makan minum di atas kubur.



  • Dalam rangka meraikan Hari Raya, beliau menekankan perlunya kita menjaga akhlak.

"Akhlak ini paling penting sekali, seperti menjaga aurat dengan yang bukan mahram.



"Ini bukan 'pesta kumpul kepo'. Orang Indonesia bilang 'kumpul kepo' sebenarnya tak bagus... tak menghiraukan pantang larang dan halal haram, main bedal terus.



"Ingat, (Hari Raya) adalah perayaan keagamaan, ada peraturannya, seperti menjaga akhlak, aurat dengan bukan mahram dan menjaga perkataan," kata Ustaz Ahmad Dahri.



SOAL BERSALAMAN



Beliau menjelaskan bahawa bersalaman dan memberi salam ada perbezaannya.



"Kalau beri salam kepada setiap lapisan manusia, orang lelaki boleh beri salam pada orang perempuan, dan orang perempuan pun boleh beri salam pada lelaki.



"Tetapi berjabat tangan ada undang-undang, jangan sampai kita melakukan hal yang boleh mendatangkan fitnah dan dosa, yakni seperti berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Ini perlu dijaga," kata beliau.



Ustaz Ahmad Dahri jug amenjelaskan bahawa perayaan dalam Islam bukan sekadar hari yang diwarnai dengan kegembiraan semata-mata, malah bertujuan menuntut umat Islam kembali kepada Allah swt dalam setiap urusan duniawi dan ukhrawi.



"Jadi benar-benar kita meraikan Hari Raya berdasarkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah untuk membangkitkan semangat syukur kita kepada Allah dengan harapan Ramadan kali ini tidak hanya sampai di sini, malah kita mahu Ramadan berikutnya," ujarnya.




DUA KEGEMBIRAAN BAGI ORANG YANG BERPUASA



"Bagi yang berpuasa itu ada dua kegembiraannya. Yang pertama kegembiraan semasa dia hidup di dunia ini iaitu berbuka/berhari raya, kemudian kedua kegembiraannya nanti pada hari akhirat, yakni dia akan bertemu dengan Allah swt."
- Hadis riwayat Muslim).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >