Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BERSAMA

Hayati Hijrah dari lensa berbeza

Aug 06, 2021 | 05:30 AM



TANGGAL 10 Ogos 2021, umat Islam khususnya di Singapura akan menyambut kedatangan 1 Muharam 1443 Hijriah.



Apabila menyebut tentang Hijrah, tentunya ramai yang mengingati kisah penghijrahan junjungan mulia Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi yang merupakan detik permulaan kalendar bagi umat Islam.



Sewaktu Rasulullah saw diperintahkan oleh Allah swt supaya berhijrah kerana ruang perjuangan dakwah di Makkah terlalu sempit dan membahayakan, Baginda tidak hanya berserah dan berdoa tetapi bersikap positif, mengubah strategi dan sanggup menempuh laluan sukar supaya dakwah terus tersebar ke pelosok dunia yang berbeza.



Perjalanan yang ditempuh bukan sekadar meletihkan malah sangat berisiko dengan pelbagai ancaman daripada pihak musuh.



Maka sudah tentu ia menuntut pengorbanan yang tinggi, mujahadah yang konsisten dan kecekalan hati yang ampuh.



Ternyata ia tidak sia-sia kerana Hijrah tersebut akhirnya mencetuskan kejayaan hebat dalam sejarah perkembangan Islam.



Namun bagaimana dengan masyarakat Islam hari ini?



Seperti yang kita sedia maklum, tiada lagi Hijrah selepas pembukaan kota Makkah.



Sabda Nabi saw: "Tiada lagi Hijrah sesudah pembukaan kota Makkah tetapi hijrah yang tetap ada adalah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil berjihad hendaklah kamu bersiap sedia." (Hadis riwayat Al-Bukhari)



Berpandukan hadis tersebut, Hijrah kini boleh difahami dalam dimensi berbeza.



Jika pada zaman Nabi saw ia menuntut perjalanan jauh yang melelahkan, Hijrah kita pada waktu ini pula mengekang dan membataskan kebebasan untuk terus melangkah jauh.



Ia disebabkan seluruh dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang membimbangkan dengan kadar jangkitan dan kematian yang semakin meningkat dan tidak terjangka.



Justeru, Hijrah dan perubahan yang boleh dilakukan hari ini berbentuk transformasi minda dan jiwa.



Ia menjurus kepada roh Islam yang perlu disemarakkan semula dalam kehidupan harian.



Bermula dengan niat yang baik, ubah diri menjadi individu yang bertanggungjawab dan prihatin serta cakna dengan kesihatan dan arahan pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan negara.



Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan (suasana, pegangan dan cara hidup) yang dilarang oleh Allah kepada yang diperintahkan oleh Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari)



Perubahan dalam bentuk norma baru menuntut kita berkorban daripada kebiasaan yang selesa kepada kesederhanaan dan realiti yang tidak terduga.



Ada yang diuji dengan kekurangan sumber pendapatan, kemurungan dan kehilangan orang tersayang namun biarpun ujian yang ditanggung agak berat, kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah swt usah sesekali pudar.



HIJRAH DALAM KEHIDUPAN SOSIAL



Islam telah menetapkan garis panduan dalam menjaga batas pergaulan sebagai cerminan bahawa Islam itu indah, mudah malah disenangi dan sesuai dengan fitrah semula jadi.



Ia boleh dipraktikkan dengan menjaga jarak sosial dengan memakai pelitup muka dan mengelakkan sentuhan seperti berjabat tangan, juga menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan dan menggunakan sanitizer.



Sentiasa bersikap jujur dan dapatkan rawatan jika perlu supaya tidak memudaratkan orang di sekeliling.



Buktikan Islam itu pembawa rahmat kerana ini hanya satu pengorbanan kecil yang boleh membantu memperlahankan penularan dan menyelamatkan nyawa.



Selain itu, banyak juga perancangan dan program yang perlu disusun atur semula dan disesuaikan mengikut SOP.



Ia mungkin agak sukar pada peringkat permulaan tetapi menjadi lebih mudah jika dapat menyesuaikan diri. Lakukan perubahan dan cari alternatif. Sebagai contoh, jika sukar mendapatkan solat berjemaah di masjid, 'pindahkan' fungsi masjid ke rumah.



Anggaplah rumah sebagai masjid dengan membawa suasana damai tersebut dengan berjemaah bersama keluarga. Inilah masanya untuk merealisasikan slogan 'rumahku syurgaku'.



Dalam erti kata lain, jadikan rumah sebagai syurga dan tempat ibadah yang diberkati dan dirahmati.



HIJRAH DALAM URUSAN REZEKI



Rezeki setiap daripada kita memang sudah ditetapkan sejak awal kelahiran sehingga akhir hajat.



Jika kita diuji dengan kekurangan rezeki dan sumber pendapatan, tingkatkan kesabaran dan ketakwaan.



Mungkin Allah swt tidak memberi rezeki berbentuk wang tunai tetapi dikirimkan pula insan yang prihatin yang tidak jemu membantu dan menggembirakan.



Bertakwa, bertahan dan kuatkan diri dengan penghijrahan ini.



Dengan izin Allah swt, pasti akan muncul rezeki, bantuan dan sokongan tanpa disangka.



Firman Allah swt: "Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Al-Talaq,65: 2-3)



HIJRAH DENGAN PEMIKIRAN POSITIF



Hakikatnya, bukan mudah untuk mengumpul segala kekuatan dan berubah secara menyeluruh.



Oleh itu, bina imej positif terhadap diri sendiri supaya segala gerak hati, perbuatan dan hasil akan turut menjadi positif malah beroleh ketenangan dan ganjaran syurga daripada Allah swt.



Ingatlah firman Allah swt dalam surah At-Taghaabun (64:11) yang bermaksud: "Tidak ada kesusahan yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada-Nya maka Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."



HIJRAH DENGAN MUJAHADAH



Kunci kesempurnaan Hijrah adalah mujahadah. Lestarikan semangat ini dengan memulakan langkah pertama.



Usaha melawan dan menawan nafsu dengan mengerjakan ketaatan.



Gandakan peranan sebagai ibu dan ayah dalam menyuntik maksud serta amalan Hijrah kepada anak-anak. Ia amat penting agar mereka jelas menyusun langkah sebagai 'output' hijrah yang sebenar.



Yakinlah, ia seterusnya akan beralih kepada masyarakat yang sentiasa membudayakan proses memperbaiki diri menuju kejayaan dan kebaikan dunia akhirat.



Demikianlah cetusan hikmah dan pengajaran yang dapat diambil daripada semangat Hijrah.



Sentiasa berusaha mencari dan meneroka jalan hidayah supaya Allah swt luaskan dan lapangkan pula laluan kita untuk terus berhijrah menuju reda-Nya.



Kekata pujangga menyatakan: "Daripada kita sibuk menghitung nikmat rasa yang Allah kurniakan, lebih baik kita bersyukur yang Allah tidak menghilangkan nikmat merasa dalam hidup."



Salam Hijrah, menuju reda Allah!



  • Penulis ialah Pengurus Masjid An-Nur dan Setiausaha Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >