Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Semai benih amal pada bulan Rejab

Jan 27, 2023 | 05:30 AM



BULAN Rejab yang baru sahaja tiba merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah.



Bulan ini merupakan salah satu Bulan Haram (yang dimuliakan) yang disebut dalam Al-Quran dan hadis Baginda saw. Empat Bulan Haram itu adalah seperti yang disabdakan Rasulullah saw yang bermaksud:



"Setahun terdiri daripada 12 bulan dan daripadanya terdapat empat bulan yang haram. Tiga bulan yang mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam manakala yang keempat adalah Rejab Mudar terletak antara Jamadil Akhir serta Syaaban." (Hadis Riwayat Bukhari)



Bulan ini mempunyai keutamaan dalam Islam disebabkan beberapa peristiwa penting yang berlaku di dalamnya.



Digelar bulan Mikraj, bulan ini menyaksikan peristiwa agung Israk Mikraj di mana Rasulullah saw diangkat ke langit dan bertemu dengan Sang Pencipta.



Ketibaan Rejab yang mulia ini menandakan tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak yang semakin hampir.



Justeru, umat Islam digalakkan menghidupkan bulan Rejab dengan amal-amal soleh yang dituntut oleh agama.



Seorang soleh bernama Abu Bakar al-Warraq pernah berkata: "Rejab ialah bulan bercucuk tanam, Syaaban pula ialah bulan menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan memungut hasil."




ERTI REJAB



Rejab membawa erti “membesarkan” atau “mengagungkan”. Menurut Al-Mu’jam Al-Wasit, bulan suci ini juga bermaksud kebesaran, rahmat, kebajikan dan kerohanian.



Rejab digelar Bulan Haram kerana orang Arab pada zaman jahiliah dilarang berperang pada bulan ini. Namun, Islam memuliakan Rejab dan memberi ganjaran berlipat ganda kepada sesiapa yang berusaha dalam amalan dan ibadah mereka pada bulan ini.



Ia merupakan bulan yang penting bagi seseorang mempertingkatkan diri serta amalannya kerana ini akan membantu kepada pembentukan takwa dirinya menjelang Ramadan.




HIDAYAH KEISTIMEWAAN, PERISTIWA & AMALAN BULAN REJAB



KEISTIMEWAAN BULAN REJAB



  • Bulan Haram:

Seperti yang dikatakan, Rejab merupakan satu  daripada empat Bulan Haram yang mulia lagi dihormati. Firman Allah swt yang bermaksud:



 “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum)  Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) di dalam  kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, daripadanya terdapat empat bulan yang  haram. Itulah agama yang benar maka janganlah  kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan  perangilah kaum musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa.” (Surah At-Taubah ayat 36)



Maka daripada ayat ini, kita dapat lihat bahawa apabila bulan Rejab tiba pada zaman dahulu,  peperangan akan ditangguhkan manakala amal  ibadah diberi perhatian serta dipertingkatkan. 



  • Pahala/dosa dilipat ganda:

Menurut Imam Ibn Kathir ra dalam tafsirnya,  beliau menukil daripada Ibnu Abbas ra bahawa setiap amal kebajikan yang dilakukan pada bulan ini  lebih besar pahala berbanding bulan-bulan yang  lain.  



Justeru, begitu juga kemungkaran yang dilakukan akan mengundang dosa lebih besar berbanding bulan lain.



  • Padanya satu malam istimewa:

Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu’  menukil bahawa Imam As-Syafii berkata:  “Telah sampai kepada kami, sesungguhnya  dikatakan: “Bahawasanya doa dikabulkan pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha,  malam Aidilfitri, malam pertama Rejab dan  malam nisfu Syaaban.”



PERISTIWA BULAN REJAB



  • Peristiwa Israk Mikraj:  

Umat Islam meraikan peristiwa luar biasa  dalam sejarah Islam pada 27 Rejab di mana terjadinya Israk Mikraj – pengembaraan agung Baginda Muhammad saw dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestine (Israk) dan ke langit untuk bertemu dengan Allah swt (Mikraj) hanya dalam tempoh sebahagian malam. Kewajipan solat lima waktu juga diperintahkan oleh Allah swt pada malam  tersebut.



  • Hijrah pertama ke Habsyah:

Pada satu ketika, para sahabat mengadu kepada Baginda saw atas kecaman musyrikin Makkah  terhadap mereka. Maka Rasulullah saw menyarankan umatnya berhijrah ke wilayah Habsyah buat  pertama kali. Walaupun Raja di wilayah tersebut  bukanlah seorang Muslim, beliau merupakan seorang yang jujur dan memastikan keselamatan umat  Islam di sana. 



  • Perang Tabuk:  

Perang selama 50 hari ini mula pada bulan Rejab tahun kesembilan Hijrah dan berakhir pada Ramadan. Ia merupakan perang penuh sejarah, juga  perang terakhir Baginda saw di mana tentera Muslim melawan empayar Romawi. 



  • Pembebasan Baitulmakdis:  

Salahuddin Al-Ayyubi, pemimpin tentera Islam pada ketika itu, berjaya menawan kembali  tanah suci ketiga Islam pada bulan Rejab tahun  583 Hijrah. Tentera Islam berjaya menewaskan  tentera Salib yang telah menjajah kawasan tersebut selepas pembukaan pertama oleh Sayidina  Umar Al-Khattab ra.



AMALAN BULAN REJAB



Walau tiada dalil yang kukuh akan amalanamalan wajib di bulan Rejab, terdapat beberapa  amalan yang boleh kita laksanakan dan cuba  tingkatkan pada bulan ini dengan niat mempersiapkan diri bertemu Ramadan.



 Ia termasuk memperbanyakkan sedekah dan  puasa pada siang hari – terutamanya menyelesaikan hutang puasa pada tahun-tahun sebelumnya.



Umat Islam juga digalakkan menghidupkan  malam-malam pada bulan ini dengan mengamalkan qiamullail, membaca dan tadabbur Al-Quran,  serta melazimi istighfar dan taubat.



Justeru, kita harus memanfaatkan kesempatan  ini untuk meningkatkan amal ibadah, memperbaiki hubungan dengan Allah azzawajalla dan memperbanyakkan doa supaya dapat bertemu dengan  bulan Ramadan kelak.  



Di antara doa yang boleh dilazimi ialah:



Allahuma baariklanaa fi Rajab wa Sya’ban  wa ballighnaa Ramadhan



Yang bermaksud: Ya Allah, Berkatkanlah kami  pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah  kami ke bulan Ramadan.



Sesungguhnya bulan Rejab diibaratkan batu  loncatan untuk kita persiapkan diri dengan lebih  baik, mewujudkan momentum rohani supaya sedia memanfaatkan kelebihan bulan suci Ramadan.



Maka dengan memahami keutamaan bulan Rejab, kita harus berusaha meraih istiqamah atau  kelaziman dalam ibadah pada bulan suci ini.  



Semoga kita tergolong di antara mereka yang  meraih kelebihan bulan Rejab dan dikurniakan  rezeki bertemu bulan-bulan suci yang akan datang, ameen insya-Allah. 



  • Penulis bertugas sebagai penyunting  kandungan di Berita Harian/ Berita Minggu.  Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda bidang  tafsir dan usuluddin. Beliau telah mengikuti  program Sijil Possiswazah Islam dalam  Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang  dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura  (Muis) dan tersenarai di bawah Skim  Pengiktirafan Asatizah (ARS). Beliau mantan  eksekutif kurikulum dan ustazah di pusat  pendidikan Nadi Quran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >