Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:07

Meraikan kelahiran Nabi saw atas dasar cinta, penghargaan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Hidayah
32
0

MENYAMBUT KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW

Meraikan kelahiran Nabi saw atas dasar cinta, penghargaan

Oct 25, 2020 | 05:30 AM

BULAN Rabiulawal sinonim dengan kelahiran Nabi Muhammad saw.

Itulah kebiasaan anggapan dan amalan kita dalam kehidupan kita sebagai umat Islam.

Kebanyakan ahli sejarah, jika bukan semuanya, bersepakat bahawa kelahiran Baginda ialah dalam bulan ini.

Mereka juga bersepakat bahawa hari Isnin adalah hari kelahirannya. Tetapi, mereka tidak bersepakat mengenai tarikh satu dari hari-hari bulan tersebut.

Sebahagian besar berpendapat hari bulan kelahirannya ialah 12 Rabiulawal.

Bulan Rabiulawal ialah bulan ketiga dalam takwim Islam. Rabi' bermakna musim bunga. Ia terbahagi dua - satu musim bunga pertama dan kedua musim bunga kedua (Rabiulawal dan Rabi'us Sani atau Akhir).

TIADA TOLOK BANDING

Baginda adalah seorang yang paling mulia di dunia ini.

Tiada seorang manusia pun yang boleh menandinginya. Bahkan Baginda terbaik di seluruh alam maya ini.

Sebab itulah kita patut menyambut kelahirannya dan kehadirannya. Kita mesti merasai kegembiraan kerana kelahirannya itu.

Menyambut kelahirannya itu bukanlah bermakna kita melakukannya sebagai kewajipan agama. Tidak sekali-kali.

Tetapi, kita melakukannya sebagai manusia yang mengetahui jasa-jasanya kepada sekalian manusia.

Kita menyambutnya kerana Baginda datang bukan dengan tangan kosong. Sebaliknya kehadirannya ke dunia ini membawa suatu hadiah yang tidak ternilai dengan segala isi dunia ini.

Hadiahnya kepada sekalian insan ialah agama Islam yang menjadi agama untuk sekalian manusia di alam maya ini.

RISALAH GLOBAL

Sejak di Makkah lagi apabila Baginda menerima wahyu-wahyu Allah, Baginda dipertanggungjawab- kan membawa ugama Islam yang menjadi agama untuk sekalian makhluk di dunia ini.

Sebagai bukti ialah surah Al-Fatihah yang turun di Makkah dalam ayat pertama atau kedua, jika basmalah dikira termasuk ayat yang pertama.

Ayat yang pertama selepas basmalah ialah (Alhamdu lillahi rabbil aalamin) dengan makna 'segala pujian ialah hanya untuk Tuhan yang memiliki seluruh alam'.

Jelas sekali bahawa agama Islam ini adalah agama untuk semua manusia.

Apabila Baginda berhijrah maka diperluas lagi risalah global Islam. Banyak ayat yang diturunkan di Madinah menunjuk kepada keadaan ini.

Agama Islam ialah agama yang satu-satunya merupakan pegangan untuk semua manusia, untuk semua tempat dan sesuai sehingga ke akhir zaman.

Ia agama yang Allah swt menganugerahkan kepada kita semua di setiap masa, tempat dan semua bangsa manusia.

Dahulunya (agama terdahulu) hanya terbatas dan sesuai kepada tempat dan masanya sebelum digantikan dengan Islam yang dibawa oleh nabi kesayangan kita.

Agama ini agama yang terbuka untuk semua. Ia memadam agama Islam yang terdahulu kerana ia menyempurnakan kekurangan agama Islam yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang dilahirkan sebelum Nabi Muhammad saw.

Islam ialah agama yang Allah sempurnakan sebagai nikmat yang terbesar untuk manusia.

Allah menekankan dan mengesahkan hal ini dengan firmannya:

"Hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu dan Aku sempurnakan atas kamu nikmat-Ku" - ayat 3, surah Al-Maedah.

NIKMAT SEORANG MUSLIM

Kesempurnaan agama ini bermakna ia satu-satunya agama yang sempurna, berbanding agama-agama yang terdahulu yang belum sempurna.

Ia juga membawa erti bahawa tiada lagi agama untuk manusia selain Islam.

Ia juga memberi makna bahawa nikmat manusia yang tertinggi bukanlah keselesaan kehidupan di dunia ini dengan permainan, makanan, minuman, harta benda, keselesaan tempat tinggal dan sebagainya.

Sebaliknya, nikmat yang sebenar ialah kenikmatan melakukan amalan-alaman yang dituntut oleh agama Islam. Maka nikmat sebenar ialah nikmat menjadi seorang Muslim

Benarlah ekspresi para ulama, penyair, penulis, pemikir dan manusia Muslim bahawa Nabi Muhammad saw ialah Baginda ibarat matahari dan bulan purnama (anta symsun anta badrun) kerana alam ini tidak bermakna jika kedua-dua mahkluk yang besar ini tidak wujud.

Bayangkan apa akan terjadi jika kedua-duanya tidak terbit, tidak muncul di dunia itni. Begitulah juga ibarat agama Islam untuk manusia.

Sebagaimana kita memerlukan matahari dan bulan, begitulah juga kita perlukan agama Islam yang dibawa oleh Nabi kesayangan kita.

Kerana itulah kita patut (bukan kewajipan agama), menyambut kedatangan dan kelahiran Baginda.

Kita bertindak demikian kerana kita mencintainya, menyayanginya, menghargainya. Kita hanya menyambut kelahirannya.

Kita menyambutnya kerana Baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah wujud dalam dunia ini dan sentiasa hidup dalam hati sekalian pengikutnya hingga ke hari kiamat.

Kita menyambut kelahirannya kerana kita sayangkan dan cintakanAllah yang menjadikan alam ini. Orang yang mencintai Allah pasti wajib mencintai rasul-Nya, iaitu rasul yang terakhir kerana Baginda telah menyelamatkan mausia daripada kegelapan yang membahayakan dan menakutkan kepada cahaya yang menerangkan mata kepala mereka dan mata hati mereka. Allah berfirman:

"Jika kamu mencintai Allah maka ikutlah aku nescaya Allah akan mencintaimu." - ayat 31 surah Aali Imran.

Jelas ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa untuk mendapatkan cinta daripada Allah ialah mencintai rasul-Nya.

Salah satu tanda-tanda mencintai Baginda ialah dengan mengingatinya setiap masa, seperti sambutan kelahirannya serta melakukan contoh-contoh yang baik daripadanya.

Kita mengingatinya kerana kita mencintai Allah.

Mencintai Allah maknanya kita mengikut rasul-Nya.

Maksud mencintai Allah ialah dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan mentaati segala suruhanNya.

Demikian juga mencintai rasul-Nya ialah dengan mengikut dan mentaati segala arahan, pengajaran, perintah dan kata-kata-Nya.

Oleh itu sambutan kelahirannya bukan sesuatu yang baharu.

Para sahabatnya telah menyambutnya sewaktu Baginda berhijrah bersama sahabat karibnya Abu Bakar (ra).

Mereka waktu itu terlalu gembira, lantas seolah-olah mereka dipancari oleh cahaya matahari yang menyilaukan mata mereka, seolah-olah mereka diselimuti oleh sinaran bulan pada malam yang kelam.

Lantas, mereka bernasyid atau berkasidah sambil memukul rebana, baik yang lelaki mahupun yang wanita. Nyanyian atau nasyid mereka berbunyi:

(Terbitlah bulan purnama kepada kami dari Saniah Wadaii. Selama itulah penyeru melaungkan seruan untuk Allah. Kami wajib bersyukur. Kedatanganmu dengan membawa urusan sambutan maulid yang ditaati).

Kegembiraan mereka tidak dapat digambarkan ketika itu.

Pertama kali kota Madinah digegar dengan seorang yang dikenal dengan Muhammad Bin Abdullah saw yang diumpamakan laksana bulan penuh menerangi kegelapan di hati mereka iaitu kegelapan kesesatan kerana tiada pedoman agama yang benar.

Dari situlah terbentuk Islam itu laksana matahari dan bulan. Manusia sangat memerlukannya.

Manusia tidak akan hidup tanpa matahari dan bulan. Oleh kerana semua manusia daripada pelbagai bangsa perlukan matahari dan bulan, begitulah juga mereka memerlukan Islam. Nabi Muhammad saw diutus untuk semua manusia dalam alam ini.


"Menyambut kelahirannya itu bukanlah bermakna kita melakukannya sebagai kewajipan agama. Tidak sekali-kali.
Tetapi, kita melakukannya sebagai manusia yang mengetahui jasa-jasanya kepada sekalian manusia.
Kita menyambutnya kerana Baginda datang bukan dengan tangan kosong. Sebaliknya kehadirannya ke dunia ini membawa suatu hadiah yang tidak ternilai dengan segala isi dunia ini.
Hadiahnya kepada sekalian insan ialah agama Islam yang menjadi agama untuk sekalian manusia di alam maya ini."

- Ustaz Mohamad H. Rais.


  • Ustaz Mohamad H. Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3