Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Prinsip berjaga-jaga harus ada pada setiap Mukmin

May 21, 2021 | 05:30 AM



SETELAH berpuasa selama sebulan, umat Islam mula meraikan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan.



Bagaimanapun, sambutan agenda tahunan ini sedikit sebanyak telah berubah akibat kemunculan ancaman pandemik Covid-19.



Justeru, masyarakat menyambut keriangan ini dalam keadaan yang berjaga-jaga demi mengurangkan risiko penyebaran pe-nyakit tersebut.



Namun, Ustaz Mohamad Rais memberikan kata-kata semangat agar umat Islam tidak berputus asa dengan ujian Allah swt ini.



Beliau menasihatkan agar umat Islam melakukan amalan-amalan sunat dengan sedaya upaya bagi merancakkan semangat Aidilfitri dalam diri masing-masing.



Ustaz juga mengingatkan agar kita patuh di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang berkuat kuasa pada 16 Mei lalu dan perhimpunan sosial yang kini dihadkan kepada dua orang berbanding lima orang di bawah Fasa 3 sebelum ini.



Jumlah tetamu ke setiap rumah juga dikurangkan kepada dua orang.



ZIARAH BULAN SYAWAL



Ustaz menjelaskan: "Kalau boleh ziarah, maka kita cubalah untuk ziarah Raya. Rancang perjalanan anda dengan sebaiknya. Ziarah Raya tidak semestinya dilakukan pada hari pertama Syawal sahaja.



"Banyak hari-hari lain yang boleh digunakan untuk menziarahi saudara-mara atau jiran tetangga. Anggaplah Hari Raya ini berjalan sehingga akhir Syawal kerana Syawal menjadi bulan kemenangan kepada umat Islam setelah berpuasa selama sebulan.



"Jadi, raikan hari kemenangan ini pada penghujung Syawal sekali pun. Namun, harus diingatkan bahawa rakyat Singapura terbatas dengan arahan pemerintah yang tidak membenarkan jumlah lebih daripada dua orang bagi satu isi rumah untuk berkumpul. Jadi, hendaklah berjaga-jaga dalam urusan ziarah."



Seperti yang umum ketahui, penyakit yang merebak akibat Covid-19 adalah suatu penyakit yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam.



Ustaz menambah, kita wajib mengikut peraturan yang ditentukan oleh pemerintah kerana perkara ini tidak melibatkan diri sendiri sahaja, malah ia melibatkan nyawa orang lain. Maka, menjadi kewajipan buat seseorang Muslim tidak menyakiti orang lain, termasuklah orang bukan Islam.



"Lebih-lebih lagi, kita perlu menjaga nyawa dan keselamatan keluarga dan saudara sendiri. Orang yang benar-benar Mukmin akan berbaik dengan semua makhluk yang diciptakan Allah. Jangan menganiaya diri sendiri dan orang lain," pesan Ustaz.



IKUT PERATURAN PEMERINTAH



"Pengabaian terhadap langkah-langkah keselamatan akan membawa kepada risiko penyebaran penyakit. Boleh jadi, kita akan menjangkiti orang lain tanpa disedari atau orang lain menjangkiti kita.



"Dengan itu, kita harus tahu tentang bahaya yang akan merebak sekiranya kita tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Maka, kita hendaklah mengikuti keperluan seperti memakai pelitup muka, menjarakkan diri dan sebagainya.



"Saya akui bahawa benda ini agak menyusahkan. Jika diberi pilihan, sudah semestinya kita tidak mahu memakai atau mengikuti benda-benda yang memberatkan diri. Kadang-kadang rasa sesak nafas ketika pakai pelitup muka, tambah-tambah saya ini yang sudah berumur.



"Namun, ia menjadi satu keperluan bersama yang perlu dipenuhi demi menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling. Islam melarang umatnya untuk bersikap sombong atau ego. Sebaliknya, kita harus memikirkan orang lain juga."



TEKNOLOGI MEMBANTU



Kalau tidak boleh melakukan aktiviti kunjung-mengunjung, maka manfaatkan teknologi digital. Pada zaman ini, manusia sudah terdedah dengan kemudahan seperti telefon pintar, komputer riba dan sebagainya. Justeru, banyak aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, Google Meet, Zoom dan lain-lain yang boleh digunakan sebagai perantara untuk berhubung dengan sanak-saudara yang jauh di mata.



"Perayaan Aidilfitri ini hanya disambut setahun sekali sahaja. Maka, sambutan ini menjadi peluang untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan dan persahabatan antara satu sama lain.



"Gunalah apa-apa cara yang selamat untuk menjangkau insan-insan tersayang. Inilah saat penting untuk kita bermaaf-maafan atas segala kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini. Ambil kesempatan yang ada untuk saling berhubung dan mengukuhkan tali ukhuwah sesama umat Islam.



"Keadaan sekarang melarang kita untuk berbuat demikian (saling berkunjung beramai-ramai. Jadi, perbanyakkan doa sebagai usaha menggantikan amalan ziarah. Kekangan yang berlaku bukanlah bermaksud kita terhalang terus untuk melakukan kebaikan, cuma ia lebih terhad. Ingatilah mereka dengan cara yang lebih baik iaitu melalui doa," pesan ustaz.




"Keadaan sekarang melarang kita untuk berbuat demikian (saling berkunjung beramai-ramai). Jadi, perbanyakkan doa sebagai usaha menggantikan amalan ziarah. Kekangan yang berlaku bukanlah bermaksud kita terhalang terus untuk melakukan kebaikan, cuma ia lebih terhad. Ingatilah mereka dengan cara yang lebih baik iaitu melalui doa."
- Ustaz Mohamad H Rais.




BIODATA



Ustaz Mohamad H Rais ialah lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >