Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

MENGHADAPI TAHUN BARU HIJRAH

Hidup insan satu kompilasi pelbagai perjalanan

Ustaz Muhammad Abdul Mateen jelaskan akan sentiasa terdapat permulaan dan peluang baru perbetul kesilapan, capai apa yang terlepas
Jul 29, 2022 | 05:30 AM



ESOK (atau lebih tepat mulai malam ini), kita akan menyambut tahun baru 1444 Hijrah.



Kalau hendak direnung kembali, apa agaknya yang telah kita capai tahun lalu dan apa pula yang kita terlepas?



Bagi tahun baru ini pula, apa yang kita hajatkan untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna?



Yalah, bak kata orang, hidup ini bagai tidak bermakna jika tanpa arah dan tujuan.



Perkara ini dijelaskan Ustaz Muhammad Abdul Mateen Hisham, editor platform media dalam talian Muslim.Sg, tatkala membincangkan makna perjalanan hidup sempena Maal Hijrah.



"Mencari makna adalah penting dalam kehidupan seorang Muslim dan sebagai insan secara umum.



"Apa yang paling penting kita lakukan sebagai pelajar, pekerja, anak, ketua dan insan biasa secara umumnya? Apa yang kita cari? Apa yang kita mahu lakukan dalam hidup?



"Sebagai pelajar, misalnya, kita mahu meraih manfaat daripada ilmu yang kita pelajari.



"Atau, mungkin sebagai pekerja, kita mahu mengusahakan prestasi yang terbaik, menjalankan amanah yang diberi dan direzekikan kejayaan dalam kerjaya ke peringkat paling tinggi.



"Yang penting, kita perlu jelas, apakah objektif atau kejayaan-kejayaan ini membawa kita menuju matlamat hidup yang kita cari," terang Ustaz Muhammad Abdul Mateen kepada Berita Harian.



Malah, beliau menambah, kesemua enam rukun iman sudah tersedia untuk membantu kita mencapai akidah yang mantap.



Sebagai permulaan, Ustaz Muhammad Abdul Mateen mengajak kita memahami erti kehidupan dalam paradigma Islam.



Menurutnya, kita sering mengaitkan istilah 'perjalanan' dengan lawatan dan wisata yang kita lakukan sekali-sekala. Ini sebenarnya hanya satu aspek makna dalam erti kata 'perjalanan' yang lebih luas yang bakal kita tempuhi.



Jika direnungkan, beliau berkata perkataan 'perjalanan' ini boleh membawa pelbagai makna, iaitu:



1. Kemajuan: Selagi ada kemajuan, terdapat perjalanan dari satu titik ke titik yang lain.



2. Tujuan: Sentiasa ada destinasi atau sasaran.



3. Penemuan: Perjalanan juga merupakan tindakan meneroka atau bergerak ke tempat yang tidak diketahui.



"Jika direnung kembali semua makna 'perjalanan' ini, kita pasti akan dapat menyimpulkan bahawa kehidupan ini sebenarnya adalah satu perjalanan yang menawarkan banyak pengalaman.



"Setiap detik membawa makna. Ada permulaan dan akhirnya. Di setiap sudut, kita akan menemui erti kehidupan dan tujuannya," terang beliau.



Berkongsi pandangannya dalam rencana bertajuk Reflections On Moving Forward in Life (Merenung Langkah Ke Hadapan Dalam Kehidupan) di Muslim.Sg, beliau berkata kehidupan di dunia ini sebenarnya bukanlah objektif.



Malah, terdapat tujuan yang lebih tinggi untuk setiap pengalaman.



Menurut beliau, ini sesuai dengan pesanan Rasulullah saw yang bermaksud:



"Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah orang asing atau pengembara." (Sahih Al-Bukhari).



Tetapi, di titik mana dalam kehidupan kita adalah permulaannya dan di mana pula akhirnya?



PERMULAAN DI TITIK AKHIR



Menjelaskan, Ustaz Muhammad Abdul Mateen berkata:



"Setiap hari yang berlalu menandakan satu kemajuan. Akan sentiasa ada penghujung hari atau fasa tertentu sebelum sesuatu yang lain bermula.



"Ini bermakna selepas setiap pengakhiran, akan sentiasa ada permulaan yang baru. Sebenarnya, hidup bukan hanya satu perjalanan. Kehidupan, sebenarnya, adalah kompilasi pelbagai perjalanan.



"Akan sentiasa ada permulaan baru dan peluang baru untuk membetulkan apa yang salah atau untuk mencapai apa yang telah hilang. Inilah pegangan yang menjadi harapan seorang Mukmin."



Nabi saw pernah menyebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:



"Seandainya hari kiamat telah ditakdirkan sedangkan di tangannya ada anak benih, maka hendaklah ia menanamnya." (Musnad Ahmad).



Syeikh Amru Al-Wirdani, seorang ulama terkenal dari Mesir, mengulas hadis ini dengan mengatakan bahawa Nabi saw mengajar kita supaya tidak bersikap pesimis, seolah-olah mengharapkan natijah buruk atau pengakhiran pada sesuatu, bahkan kita disuruh supaya sentiasa mencari permulaan dan harapan baru.



Hari kiamat adalah pengakhiran yang jelas bagi kehidupan di dunia ini. Walaupun begitu, kita diajar supaya menanam anak benih sekiranya ada peluang berbuat demikian. Mengembara atau bergerak ke hadapan adalah bahagian penting dalam kehidupan.



MENCARI TUJUAN DALAM HIDUP



Menurut Syeikh Amru Al-Wirdani, seseorang itu menghadapi kecenderungan berputus asa apabila dia kehilangan matlamat atau objektif.



Jika seseorang hidup tanpa tujuan, ia seolah-olah dia tidak bermaya walaupun dia masih bernafas.



Seseorang itu cenderung mempunyai lebih banyak kesabaran apabila dia mempunyai pandangan yang lebih jelas tentang akhir atau objektif.



"Oleh itu, kita perlu tahu bila untuk berhenti atau bila untuk meneruskan perjuangan. Tak semua perkara perlu dicapai.



"Namun, jika sesuatu perkara itu benar-benar menuntut tumpuan kita, kita mesti berusaha mencapainya sebaik mungkin.



"Jadi, untuk bergerak ke hadapan, kita perlu mencari tujuan kita. Tetapi bagaimana pula jika kita tidak dapat mencari objektif atau tujuan hidup kita?" tanya Ustaz Muhammad Abdul Mateen.



BERGERAK KE HADAPAN SELANGKAH DEMI SELANGKAH



"Seorang ustaz yang saya hormati, Ustaz Nasrullah Refa'i, pernah berkongsi dengan saya bahawa dalam mencari tujuan atau keyakinan yang lebih kuat dalam hidup, kita harus berjalan dan melihat alam ciptaan Allah swt yang luar biasa serta memperbanyak bersedekah. Insya-Allah, kita akan dapat melihat jalan untuk maju ke hadapan.



"Apa kaitan amalan ini dengan mencari tujuan? Mari kita renungkan hadis ini," tambahnya.



"Barangsiapa yang beramal dengan apa yang dia ketahui, maka Allah akan memberikan kepadanya pengetahuan tentang apa yang belum diketahuinya." (HR Abu Nu'aim).



Hadis ini turut bersesuaian dengan maksud firmam Allah swt: "Dan orang-orang yang berusaha (bersungguh-sungguh), Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang- orang yang berbuat baik." (Surah Al-'Ankabut, 29:69)



"Dalam erti kata lain, kita harus bermula dengan sesuatu yang kecil. Matlamat yang lebih kecil dan boleh dicapai boleh membantu membuka jalan ke hadapan dan secara beransur-ansur membuka lebih banyak cerapan untuk melihat gambaran lebih besar.



"Kita juga harus berusaha sebaik mungkin semampu kita sambil memohon agar Allah swt terus membimbing dan membawa kita ke tempat yang lebih baik.



"Daripada semua ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa hidup ini bermakna bergerak ke hadapan dalam perjalanan kita masing-masing, sambil kita cuba menutup jarak antara objektif dengan tujuan kita," kata Ustaz Muhammad Abdul Mateen lagi.



KESIMPULAN



Oleh yang demikian, sambung beliau, kehidupan bukanlah mengenai berapa cepat kita sampai ke destinasi perjalanan kita, tetapi sejauh mana kita mampu menempuh perjalanan itu.



"Kehidupan, menurut Islam, adalah kedua-dua hidup di dunia dan di akhirat.



"Ia adalah keseluruhan perjalanan dari titik penciptaan kita ke titik kembalinya kita kepada Sang Pencipta.



"Oleh itu, dunia ini adalah sebahagian daripada kehidupan yang kita hadapi. Mengabaikan kehidupan ini adalah mengabaikan fabrik ciptaan Allah.



"Namun, hidup di dunia ini hanya perjalanan kecil dalam satu perjalanan lebih besar," katanya sambil menyelitkan firman Allah yang bermaksud:



"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah Al-'Ankabut, 29:64).




"Setiap hari yang berlalu menandakan satu kemajuan. Akan sentiasa ada penghujung hari atau fasa tertentu sebelum sesuatu yang lain bermula.

Ini bermakna selepas setiap pengakhiran, akan sentiasa ada permulaan yang baru. Sebenarnya, hidup bukan hanya satu perjalanan. Kehidupan, sebenarnya, adalah kompilasi pelbagai perjalanan.

Akan sentiasa ada permulaan baru dan peluang baru untuk membetulkan apa yang salah atau untuk mencapai apa yang telah hilang. Inilah pegangan yang menjadi harapan seorang Mukmin."

- Ustaz Muhammad Abdul Mateen Hisham, editor portal dalam talian Muslim.Sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >