Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Hidayah0

KORONAVIRUS

Iktibar daripada wabak Covid-19

Mar 20, 2020 | 05:30 AM

BARU-BARU ini, dunia dikejutkan dengan satu virus baru yang melanda dunia secara mengejut.

Ujian ini sedikit sebanyak memberikan impak kepada pelbagai lapisan masyarakat secara umum dan asatizah secara khusus.

Garis pandu yang dikongsikan daripada beberapa agensi bermula daripada Kementerian Kesihatan kepada asatizah, ini tidak lain dan tidak bukan mereka melakukannya untuk maslahat awam.

Virus yang melanda dunia sekarang ini merupakan suatu ujian buat manusia secara umum tanpa mengira bangsa dan agama.

Ujian ini boleh terkena kepada semua orang tanpa melihat kepada bangsa dan agama, dan tanpa mengira yang tua mahupun yang muda.

ADAB BERSIN

Adanya virus ini, ia membuatkan orang ramai sedar dan pentingnya seseorang untuk menjaga kebersihan baik ketika seseorang itu bersendirian mahupun kebersihan ketika bersama orang lain.

Al-Imam Al-Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad saw jika bersin akan menutup mukanya dengan tangannya atau dengan bajunya dan memperlahankan suaranya.

Hadis ini menunjukkan kita bahawa adab yang diajarkan oleh Rasulullah merupakan adab yang penting, selain mempunyai akhlak dan adab baginda.

Perbuatan baginda ini juga menunjukkan untuk mengelakkan dari mengeraskan suara ketika bersin membuatkan seseorang itu dihormati.

Ini kerana pengalaman mengajarkan bahawa seseorang jika mengeraskan suaranya ketika bersin boleh mengganggu orang lain, ini boleh membuatkan mereka mempunyai sangka buruk kepada orang yang mengeraskan suara ketika bersin.

Tambahan pada masa kini di mana ramai mula tidak senang untuk bersama dengan seseorang yang mempunyai simptom-simpton virus ini.

Selain itu, baginda juga mengajarkan untuk menutup muka dengan tangan atau kain ketika seseorang itu bersin.

Ia menunjukkan jika seseorang tidak menjaga perkara yang asas seperti ini membuatkan virus ini tersebar terkena kepada orang lain dengan mudah.

Secara realitinya, walaupun perkara sebegini merupakan asas dalam kehidupan, namun ianya juga dilalaikan.

Kita dapati ada beberapa individu masih lagi tidak bertanggungjawab ketika mereka menghadapi penyakit yang berjangkit.

Oleh kerana itulah Nabi mengajarkan adab-adab ini.

Adab memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan dan mengelakkan berlakunya penyakit berjangkit.

APABILA DITIMPA MUSIBAH

Dari Anas bin Malik, sesungguhnya Rasullullah berjumpa dengan seorang wanita yang menangis kerana kematian anaknya.

Nabi mengatakan kepada wanita tersebut:

"Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah, maka wanita tersebut mengatakan: apa yang engkau peduli terhadap musibah yang terkena kepadaku?

"Maka Nabi pun pergi meninggalkannya, kemudian (seseorang) memberitahu kepada wanita tersebut, bahawa yang (tadi menegur kamu) itu Rasulullah, dan wanita itu pun pergi berjumpa Nabi di rumah baginda, akan tetapi dia mendapati rumah baginda tidak mempunyai pintu.

"Dan wanita tersebut mengatakan: wahai Rasulullah! (sebelum ini) Aku tidak mengenal engkau, maka Nabi mengatakan: sesesungguhnya sabar itu pada hentakkan yang pertama (sabar itu dikira ketika musibah awal-awal berlaku). - Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim.

Jelas di sini kita dapati setiap seorang dari kita akan mengetahui akhlak dan sikapnya yang sebenar ketika musibah.

Kita dapati bahawa wanita itu cuba memperbaiki hubungannya dengan Rasulullah, setelah beliau menyebutkan perkataan (sedemikian) pada Nabi. Beliau mula sedar dan memperbaiki sikapnya kepada kekasih Allah itu.

Jelas di sini pengalaman sekali lagi mengajar kita untuk mengetahui sikap kita yang sebenar dan perbaiki sikap jika tidak sesuai dengan kehendak agama.

Ketika adanya musibah dan ujian, kita perlu untuk merubah sikap dan akhlak kita sama ada terhadap diri sendiri atau kepada orang yang lain.

NABI TIDAK BERSALAM

Jika dilihat dari situasi apa yang berlaku kini, kita dapati bahawa ujian yang menimpa umat hari ini membuatkan masyarakat yang hidup zaman ini perlu berusaha untuk memperbaiki keadaan yang dihadapi.

Ini supaya masalah atau ujian yang ada, tidak akan membesar sehingga mendatangkan kerosakan kepada dunia secara umum.

Apabila munculnya virus ini, kita dapati para saintis seluruh dunia cuba menghasilkan ubat yang dapat melawan virus ini.

Pada masa yang sama, agamawan memberikan sumbangan dari segi pandangan agama mengenai masalah kita hari ini.

Kita ambil sahaja masalah bersalaman (atau dipanggil 'musafahah' di dalam bahasa Arab).

Nabi sendiri tidak musafahah dengan orang yang berpenyakit kusta (Hadis Nabi berkenaan perwakilan Bani Thaqif berjumpa baginda dan diantara mereka ada yang terkena penyakit kusta. Nabi hanya menerima janji setia mereka tanpa musafahah dengan lelaki tersebut).

Al-Imam Abu al-Abbas al-Qurtubiy ketika menerangkan hadis ini mengatakan bahawa Nabi tidak bersalaman kerana dikhuatiri ia akan menyakiti baginda dan sahabat-sahabat baginda.

Pandangan agama seperti ini wujud di dalam buku-buku para ulama.

KUARANTIN

Al-Imam al-Nawawiy turut menyebutkan tentang masalah kuarantin - hukum seseorang bercampur dengan orang yang dijangkiti ketika menghadapi penyakit kusta.

Beliau turut menyebutkan pandangan al-Qadiy Iyadh berkenaan larangan seseorang yang pergi ke masjid ketika menghidapi penyakit tersebut.

Semua masalah-masalah ini dibincangkan oleh para ulama hampir 700 tahun dahulu, dan ilmu ini tidak akan diketahui jika tidak ada masalah sebegini.

Oleh kerana ada masalah inilah barulah kita sedar bahawa maklumat dan ilmu-ilmu sebegini wujud di dalam buku para ulama silam.

Dengan adanya ujian seperti ini akan mematangkan lagi masyarakat, baik orang awam mahupun agamawam.

  • Penulis kini menyambung pengajian Sarjana di Universiti King Saud, Riyadh, Arab Saudi. Beliau juga memiliki Sarjana Muda Hadis dan Pengajian Islam dari Universiti Islam Madinah.

Al-Imam al-Nawawiy turut menyebutkan tentang masalah kuarantin - hukum seseorang bercampur dengan orang yang dijangkiti ketika menghadapi penyakit kusta.

Beliau turut menyebutkan pandangan al-Qadiy Iyadh berkenaan larangan seseorang yang pergi ke masjid ketika menghidapi penyakit tersebut.

Semua masalah-masalah ini dibincangkan oleh para ulama hampir 700 tahun dahulu, dan ilmu ini tidak akan diketahui jika tidak ada masalah sebegini.

Oleh kerana ada masalah inilah barulah kita sedar bahawa maklumat dan ilmu-ilmu sebegini wujud di dalam buku para ulama silam.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian