Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BICARA MUFTI

Ikut pesanan Nabi sebagai tanda cinta

Dec 10, 2017 | 05:30 AM



MASYARAKAT Islam setempat kini sedang giat menganjurkan maulud Nabi sebagai memperingati keputeraan Nabi Muhammad saw pada 12 Rabiulawal.



Sedang kita melahirkan rasa cinta kita kepada Baginda dengan membanyakkan berselawat, kita sebaiknya dapat mengimbas juga satu lagi peristiwa penting yang berlaku pada bulan Rabiulawal, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.



Selain keputeraan Nabi, menurut sebahagian besar ulama, tarikh 12 Rabiulawal juga ialah hari kewafatan Nabi.



"Apabila kita berada dalam bulan Rabiulawal, kita kenang kelahiran Nabi tetapi satu perkara yang kita perlu fahami ialah bulan itu juga bulan Nabi wafat.



"Kita bukan menyambut kewafatan Nabi tetapi jangan sampai kita lupa seperti mana kita mensyukuri keputeraan Nabi yang diutus bagi membawa rahmah, kewafatannya juga patut memberi kesan ke atas umat.



"Kalau boleh kita ingat sekali peristiwa yang berlaku pada hujung-hujung hayat Nabi... sebab Nabi saw sampai hujung hidupnya pun, Baginda tidak putus-putus ingatkan kebaikan untuk umatnya," kata Mufti dalam kuliah tafsir mingguannya di Masjid Darul Makmur Ahad lalu.



KHUTBAH TERAKHIR NABI



Menurut Mufti, 10 tahun selepas Nabi berhijrah ke Madinah, Baginda merancang mengerjakan ibadah haji.



Haji itu kini lebih dikenali sebagai haji Wada' iaitu haji selamat tinggal kerana 80 hari selepas menunaikan haji itu, Baginda meninggal dunia.



Nabi bergerak dari Madinah dengan disertai juga para sahabat.



Semasa Nabi mengerjakan haji ini, Baginda telah menyampaikan khutbah di Arafah yang benar-benar diperhatikan oleh sahabat.



Di padang Arafah itulah Allah swt menurunkan ayat Al-Quran yang bermaksud:



"Pada hari ini telah Kusempurnakan untukmu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Kuredai Islam itu sebagai agamamu."



Sayidina Abu Bakar mula rasa khuatir apabila mendengar ayat itu kerana jika tugas Nabi sudah selesai menjalankan dakwah, apakah yang akan berlaku selepas itu.



Antara pesanan penting Nabi dalam khutbah terakhirnya di Arafah ialah haram "menceroboh" nyawa orang lain dan juga mengambil harta orang lain yang bukan hak.



Nabi juga berpesan bahawa amalan yang diwarisi semasa zaman jahiliyah tidak patut lagi diteruskan.



Antaranya ialah membalas dendam secara keterlaluan misalnya sehingga membunuh keluarga orang yang didendam sehingga beberapa keturunan.



Turut dilarang ialah riba jahiliyah.



"Pada zaman itu, jika tidak mampu bayar hutang, dirampas rumahya, kebunnya, isterinya, dan orang yang berhutang itu sendiri dirampas jadi hamba," kata Mufti.



Menurut Mufti, Nabi saw juga berpesan kepada kaum lelaki agar jaga kaum wanita dengan baik dan jangan salah gunakan kuasa sebagai lelaki.



Nabi saw semasa mengerjakan haji, masanya diisi dengan memberi peringatan dan memberi pesanan kepada para sahabat.



Antara pesanan kepada sahabat semasa berada di Mina ialah menggesa mereka supaya tidak bergaduh sesama sendiri jika Baginda sudah tiada lagi di samping mereka.



Kata Mufti:



"Kalau boleh kita patut ingat sekali peristiwa yang berlaku pada hujung-hujung hayat Nabi.



"Sekarang ini, yang mengaku umat Islam, ramai di antara mereka yang sudah lupa ajaran Nabi sedangkan ini pesanan terakhir.



"Orang Islam malah tidak rasa bersalah bunuh orang lain padahal mereka sedang solat di masjid."



LAKSANA TANGGUNGJAWAB SEHINGGA KE AKHIR HAYAT



Selepas Nabi selesai menunaikan haji, Baginda bersiap pulang ke Madinah.



Mengapa Nabi mahu tetap pulang ke Madinah walaupun Makkah sudah berada di bawah kuasa orang Islam dan anggota keluarga Baginda juga ramai berada di kota itu?



"Nabi sudah tahu tempoh hayatnya tidak lama. Antara sebab Nabi pulang ke Madinah ialah kerana Baginda ingin meneruskan tugas dan tanggungjawab selagi ada hayat. Nabi nak tunjukkan perlu adanya kesetiaan. Nabi setia pada orang Ansar.



"Di Madinah, Nabi sempat bentuk satu lagi pasukan tentera baru bagi menentang tentera Rom," kata Mufti.



Namun, Nabi jatuh sakit sebelum pasukan itu keluar berperang.



Apabila Nabi semakin uzur, Baginda minta dirawat di rumah isteri bernama Sayidatina Aisyah.



Dalam keadaan Baginda yang uzur dan tidak kuat ke masjid, Baginda telah menyuruh Sayidina Abu Bakar agar menjadi imam.



Ada masanya Nabi minta dipapah ke masjid dan Saiyidina Abu Bakar menjadi imam.



Pada hari terakhir sebelum Nabi wafat, ketika solat subuh, Baginda tidak lagi kuat ke masjid.



Rasulullah minta dipapah ke pintu yang ada tirai dan Baginda berdiri di situ dan minta diselakkan tirai itu, kata Mufti.



Baginda melihat para sahabat sedang mendirikan solat dengan Sayidina Abu Bakar menjadi imam, Nabi lalu tersenyum dan ketawa sendiri sebelum menutup tirai.



"Saat-saat seperti ini harus kita kenang dan ingat selalu. Nabi nak melihat gambaran yang terakhir - umatnya berada di saf yang sama mengabdikan diri di hadapan Allah.



"Jadikan ini sebagai peringatan kepada kita. Dalam kita hendak meneruskan cinta kita kepada Nabi, mahukan ganjaran dengan berselawat, Nabi mahu kita benar-benar hidup sebagai umatnya yang bersaudara," kata Mufti.



Selepas itu, Nabi kemudian baring di pangkuan Aisyah.



Pada ketika itu, Nabi nampak siwak yang dipegang oleh abang sulung Aisyah dan minta diberi kepadanya agar Baginda dapat menggosok giginya.



"Selepas gigi digosok, di tepi Nabi ada bekas air, lalu direndamkan tangannya dalam air, lalu Nabi sapu wajahnya," cerita Mufti.



Nabi kemudian berkata:



"Sesungguhnya, mati ini ada sakaratnya (iaitu ada kesakitannya apabila berpisah roh daripada jasad)."



Nabi bersandar di pangkuan Aisyah dan ketika itu Baginda menuturkan kalimah yang bermaksud:



"Ya Allah, di samping-Mu, Kau Tuhan yang Maha Tinggi."



Jelas Mufti:



"Ketika itu, Nabi sebenarnya disuruh membuat pilihan, mahu dunia atau balik di samping Allah. Nabi pilih untuk kembali kepada Allah. Tidak lama selepas itu, Rasulullah pergi meninggalkan dunia yang fana ini."



JANJI BERTEMU DI TELAGA NABI



Menurut Mufti, diharapkan dengan berselawat ke atas Nabi dalam musim maulud pada bulan Rabiulawal ini, amalan tersebut akan menyuburkan cinta kita kepada Rasulullah.



"Mudah-mudahan Allah swt pandang kita sebagai umat Nabi. Nabi pernah menziarahi kubur dan pernah berkata kepada ahli kubur: 'Kamu sudah pergi dulu. Kami akan datang menyusul tapi jangan lupa janji kita untuk bertemu di sisi telaga Nabi'.



"Agak-agak sampai saatnya, apakah kita akan berada di sisi telaga Nabi dan bertemu dengan Nabi seperti yang diinginkan Rasulullah?



"Apakah pada saat itu berduyun-duyun umat Nabi yang dapat rahmat Allah? Apakah kita ini akan dicampak jauh dihalang oleh Allah sebab kita tidak pernah suburkan cinta kita kepada Nabi dan tiada kesungguhan untuk ikut jejak Nabi?



"Mudah-mudahan kita tidak kecewa apabila sampai masanya. Mintalah dengan Allah perlindungan-Nya dan kesempatan agar bertemu dengan Rasulullah," kata Mufti.




"Agak-agak sampai saatnya, apakah kita akan berada di sisi telaga Nabi dan bertemu dengan Nabi seperti yang diinginkan Rasulullah? Apakah pada saat itu berduyun-duyun umat Nabi yang dapat rahmat Allah? Apakah kita ini akan dicampak jauh dihalang oleh Allah sebab kita tidak pernah suburkan cinta kita kepada Nabi dan tiada kesungguhan untuk ikut jejak Nabi? Mudah-mudahan kita tidak kecewa apabila sampai masanya. Mintalah dengan Allah perlindungan-Nya dan kesempatan agar bertemu dengan Rasulullah."
– Mufti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >