'Imam muda' Singapura pimpin tarawih masjid di Australia

PAGI Raya Aidilfitri ini, Encik Muhammad Farhan Shapandi pulang ke Singapura dengan satu kemenangan.

Pada usia baru 20 tahun, beliau berjaya menjadi - buat julung-julung kali - imam bagi solat tarawih di sebuah masjid sepanjang Ramadan.

Bahkan, tugas itu dilaksanakannya bukan di tanah air, tetapi di negara asing, Australia - pertama kali dia menjejak kaki di negara kanggaru itu.

Bekas pelajar Madrasah Aljunied itu menerima undangan tersebut ketika beliau menceburi pengajian dan penghafazan Al-Quran secara intensif selama dua tahun di Madrasatul Quran Kubang Bujuk di Terengganu.

Undangan tersebut dihulurkan oleh imam tetap masjid di Australia itu - Masjid Ar-Rukun di Attwood Way, Rockingham, berdekatan Perth di Australia Barat.

Ini bukan pertama kali masjid tersebut mengundang pemuda berpotensi dari Singapura menjadi imam bulan Ramadan. Ia bermula sekurang-kurangnya dua tahun lalu,

Masjid tersebut menaja segala urusan Encik Muhammad Farhan sepanjang Ramadan - termasuk penginapan dan makan minumnya,

"Mereka mahukan seseorang yang komited menjadi imam sepanjang Ramadan, boleh membaca setengah juz Al-Quran pada setiap tarawih dan boleh berbahasa dalam bahasa Inggeris," jelas Encik Muhammad Farhan.

Sungguhpun terkejut mengenai cuaca musim sejuk di negara tersebut, dengan suhunya jatuh serendah 8 darjah Celsius, beliau menjalankan tugasnya dengan tabah.

Menurutnya, biasanya kira- kira 70 jemaah menghadiri solat tarawih setiap malam di masjid itu.

"Sekitar 95 peratus jemaah adalah warga asing dari Maghribi, Mesir, Nigeria, Ghana, Malaysia, Indonesia, England dan Singapura. Kira-kira 60 peratus jemaah adalah Melayu, 20 peratus warga Afrika dan 15 peratus dari Timur Tengah. Masjid itu boleh menampung sekitar 500 jemaah," katanya.

Pengalaman itu sedikit sebanyak membuka mata Encik Muhammad Farhan tentang pentingnya hidup bersatu padu di kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

"Pertama kali saya melihat masjid itu, saya khuatir juga jika kami akan mengalami tindak balas daripada masyarakat bukan Islam di situ. Ini kerana masjid itu terletak di sebelah tiga gereja dan menghadap sebuah taman lungsur papan," katanya.

Masjid Ar-Rukun yang dibuka pada 1998 pernah menjadi sasaran vandalisme pada 2014 yang disifatkan polis sebagai serangan ke atas masyarakat Islam di sana.

"Tetapi, saya mendapati sebaliknya. Warga di sana begitu mesra dan alhamdulillah, tiada apa-apa yang berlaku semasa saya di sana," ujar Encik Muhammad Farhan, anak bongsu daripada lima adik-beradik.

Apakah jadual hariannya semasa di sana?

"Saya akan bermula mengulang kaji penghafazan Al-Quran saya dari sebelum fajar hinggalah asar. Kalau ada masa istirahat, saya akan jalan-jalan makan angin di tepi pantai atau menunggang basikal sekeliling taman.

"Pada hujung minggu, anggota jawatankuasa masjid akan membawa saya ke tempat menarik di Perth, seperti Taman Haiwan Liar Caversham, Akuarium Australia Barat dan King's Park.

"Selepas asar, saya akan mengajar kanak-kanak di sebuah madrasah di sana," katanya.

Encik Muhammad Farhan berharap pengalamannya akan menjadi inspirasi kepada belia lain untuk mendalami Al-Quran, kerana menerusi bidang itulah beliau mendapat tawaran tersebut.

Beliau pulang ke Singapura untuk beraya berbekalkan pengalaman sangat berharga, bukan sebagai imam muda sahaja.