Iman perlu diserta dengan amal soleh, Berita Hidayah - BeritaHarian.sg
Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Hidayah0

Iman perlu diserta dengan amal soleh

Dec 14, 2018 | 05:30 AM

APABILA disebut perkataan iman, kita pasti akan kaitkan dengan Islam.

Apabila ditanya tentang definasi atau bilangan rukun iman pula, ramai yang boleh senaraikannya dengan mudah kerana mungkin diajar sejak kecil dan dipaksa menghafalnya.

Namun, adakah kita tahu apa yang dimaksudkan daripada setiap rukun iman dan lalu benar-benar beriman?

Mengutarakan persoalan itu, Ustaz Mohd Haffiz Zakaria menukil firman Allah swt yang bermaksud:

"Sesungguhnya Agama (yang benar) di sisi Allah adalah Islam." (Surah Ali-Imran: 19)

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Menerusi ayat Al-Quran di atas, Allah swt mengkhabarkan bahawa agama yang diredai dan diterima sebagai agama bagi hamba-Nya adalah Islam, kata Ustaz Mohd Haffiz yang juga Pegawai Dakwah Ekesekutif, Pembangunan Belia dan Ketua Unit Pendidikan di Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau.

"Dan agama seseorang itu tidak mungkin dapat diterima dan diredai Allah melainkan dengan disertakan pembenaran di dalam hati dan amal perbuatan.

"Kerana itulah yang boleh membezakan manusia yang beragama dan boleh juga seseorang yang beragama Islam dan yang beriman," tambah beliau.

ERTI IMAN

Ustaz Mohd Haffiz berkata iman ertinya kepercayaan atau tasdiq (bahasa arab).

"Iman merangkumi tiga elemen iaitu percaya dalam hati, mengaku dengan lidah serta beramal (perbuatan) dengan segala rukun dan perintah.

"Dengan yang demikian, orang yang beriman adalah orang yang beramal kerana amal membuktikan keimanannya.

"Jika tidak, maka imannya adalah mainan perasaan serta fantasi yang hanya menjadi cita-cita sahaja," kata beliau.

Menukil Imam al-Hasan al-Basri ra yang bermaksud:

"Bukanlah iman itu dengan perhiasan dan cita-cita akan tetapi iman itu ialah apa yang teguh dalam hati dan dibenarkan oleh amal (perbuatan). Barang siapa berkata (ikrar/mengaku) baik padahal ia mengerjakan amal yang tidak baik, nescaya Allah menolak perkataannya. Dan barang siapa berkata dan berbuat baik, nescaya mengangkat akan amalnya."

Ustaz Mohd Haffiz berkata:

"Cuba kita tanya pada diri kita, apakah kita ini benar-benar beriman pada Allah?"

Beliau turut mengajak supaya renungkan firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Dan tuhan kamu itu Tuhan yang satu. Tiada tuhan melainkan Dia, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan." (Surah Al-Baqarah: 163 - 164)

Menurut Ustaz Mohd Haffiz lagi, kalau ditinjau secara lebih mendalam isyarat atau petunjuk ayat tersebut, ternyata bahawa ada dua perkara yang menjadi unsur utama bagi kehidupan manusia iaitu:

1. Beriman akan wujudnya Allah.

Kepercayaan ini adalah menjadi tunggak utama dan asas kehidupan manusia; kepercayaan bahawa Allah itu wujud.

Ini merupakan dasar utama bagi orang yang beriman, kata Ustaz Mohd Haffiz.

2. Berfikir.

Menurutnya lagi, Allah swt telah memperlihatkan manusia akan kekuasaan-Nya menjadikan langit, bumi, siang dan malam yang pastinya setiap manusia dapat berfikir.

"Semua ini dimaksudkan agar manusia dapat berubah  daripada tidak tahu menjadi tahu, dengan tahu dia berbuat, dengan berbuat dia beramal bagi kehidupan.

"Ketika Adam diciptakan dan kemudian Allah mengajarkan nama-nama, pada dasarnya mengindikasikan bahawa Adam (manusia) merupakan makhluk yang boleh berfikir dan berpengetahuan dan dengan pengetahuan itu Adam dapat melanjutkan kehidupannya di dunia.

"Dengan berfikir manusia mampu mengolah pengetahuan, dengan pengolahan manusia mengajarkan dan mengembangkan.

"Berbekalkan iman dengan kewujudan dan kekuasaan Allah, manusia yang berfikir mampu mengamalkan serta mengaplikasikannya bagi melakukan perubahan dan peningkatan ke arah kehidupan yang lebih baik," kata Ustaz Mohd Haffiz.

IMAN PUNCA KETENANGAN

Menurut beliau lagi, ketenangan dan kebahagiaan bukan pada tumpukan harta yang melimpah.

"Orang yang mengukur kebahagiaan daripada harta benda akan berusaha keras mengejar dan mencari harta sebanyak mungkin.

"Malangnya, masih ada mereka yang punya harta dengan hati yang gundah-gulana, manakala yang sederhana terus bahagia dengan apa yang ada. Apa yang membezakan mereka?" tanya Ustaz Mohd Haffiz.

Beliau turut menukil Nabi saw yang bersabda:

"Barangsiapa akhirat menjadi tujuannya maka Allah akan menjadikan kekayaan dalam hatinya, mengumpulkan kekuatan baginya dan dunia akan datang kepadanya dengan mudah. Dan barangsiapa dunia menjadi tujuannya maka Allah akan menjadikan kemiskinan di hadapan matanya, melemahkan kekuatannya dan dunia tidak datang kepadanya kecuali apa yang telah ditetapkan baginya." (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut Ustaz Mohd Haffiz, seorang ahli Al-Quran pernah menyebut:

"Tidak ada yang muncul setelah panggilan ini kecuali perintah dan larangan."

Seakan Allah swt ingin menjaga hambaNya daripada bahaya dan menghantarkannya menuju kebahagiaan, kata Ustaz Mohd Haffiz.

Lalu mengapa banyak orang yang lari dan melawan?

Menurut beliau, Ibnu Mas'ud pernah berkata:

"Bila engkau mendengar firman Allah swt dalam Al-Quran yang didahului dengan panggilan maka fokuskanlah pendengaranmu karena pasti di baliknya ada kebaikan yang diperintahkan atau keburukan yang dilarang." 

Ustaz Mohd Haffiz menjelaskan:

"Sebagai masyarakat Islam yang hidup di dalam negara berbilang kaum, adat dan agama, pastinya akan rasa tercabar dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

"Seakan semuanya tidak sepadan dengan selera kepercayaan kita."

Menurutnya, Nabi saw bersabda yang bermaksud:

"Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka dan itu ada hanya pada orang beriman. Jika mendapat kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan."

Ustaz Mohd Haffiz berkata apa yang perlu dilihat adalah sikap kita apabila berhadapan dengannya.

"Iman tidak hanya setakat beriman bahawa ada Tuhan yang menguasai alam tetapi dengan mengetahui kesuciannya dan keamanan di dalamnya, seharusnya melahirkan kesan daripada keimanan itu dengan sikap berdaya tahan dan akhlak yang mencerminkan diri, bukan hanya daripada ketinggian inci kopiah atau tebalnya sejadah itu.

"Kesimpulannya, iman mesti disertakan dengan amal soleh. Amal soleh bererti melaksanakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan larangan-Nya.

"Tiada guna iman tanpa amal dan tidak akan ada amal tanpa iman. Apa guna mengaku jika tidak beriman, apa guna beriman jika tidak rasa bertuhan.

"Maka jelaslah bahawa kombinasi Islam dan Iman akan membentuk seorang Muslim sejati yang tunduk dan patuh kepada Allah swt secara zahir dan batin," kata Ustaz Mohd Haffiz.


"Kesimpulannya, iman mesti disertakan dengan amal soleh. Amal soleh bererti melaksanakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan larangan-Nya. Tiada guna iman tanpa amal dan tidak akan ada amal tanpa iman. Apa guna mengaku jika tidak beriman, apa guna beriman jika tidak rasa bertuhan. Maka jelaslah bahawa kombinasi Islam dan Iman akan membentuk seorang Muslim sejati yang tunduk dan patuh kepada Allah swt secara zahir dan batin."
- Ustaz Mohd Haffiz Zakaria.


BIODATA

Nama: Mohd Haffiz Zakaria

Umur: 31 tahun

Pendidikan: Madrasah Al-Junied Al-Islamiah

Universiti: Universiti Insaniah

Jawatan: Pegawai Dakwah Ekesekutif, Pembangunan Belia dan Ketua Unit Pendidikan, Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map