Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Islam tidak restu unsur pengganasan

Nov 15, 2020 | 05:30 AM



KONSEP pengganasan dilihat semakin menular dalam kalangan puak-puak yang melampaui batas akibat sebuah pendirian yang berpaksikan nafsu amarah semata-mata.



Bagaimanapun, Islam sama sekali tidak membenarkan unsur pengganasan kerana ia sangat bertentangan dengan konsep keamanan yang dianjurkan dalam Islam.



Carilah cabang atau saluran lain yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian kerana orang Islam yang sebenar ialah mereka yang berusaha untuk menjaga diri dan masyarakat demi kesejahteraan bersama.



Oleh itu, kita hendaklah mengelak daripada melakukan tindakan jahat yang boleh meruntuhkan sesebuah perpaduan.



Rasulullah saw menyatakan sabda baginda:



"Seorang Muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya." (HR Al-Bukhari)



GUGAT KEHARMONIAN



Ustaz Mohamad Rais dalam sesi Zoom bersama Berita Minggu (BM) memberitahu:



"Hendak melepas geram terhadap kesalahan yang dilakukan orang lain adalah salah satu godaan syaitan. Allah swt larang kita daripada masuk ke dalam belenggu dan tipu daya dunia kerana syaitan tidak akan pernah berhenti membisikkan kata-kata jahat.



"Sebenarnya, masalah yang berlaku di Perancis adalah satu masalah yang bersifat terasing, persendirian atau individu. Ia tidak mewakili masalah rasmi untuk mana-mana ajaran, khususnya agama Islam itu sendiri.



"Barangkali, itu adalah sebuah pandangan peribadi yang diterjemahkan dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Mungkin, jiwa muda yang memberontak itu merasa geram untuk mempertahankan sesuatu perkara, tanpa memandang kepada kesan yang bakal berlaku akibat tindakannya.



"Perbuatan ganas atau membunuh orang yang tidak bersalah ini tidak masuk akal sama sekali. Bak kata pepatah, 'kerana nyamuk, kelambu dibakar'.



"Jadi, ia jelas menjadi satu perbuatan yang tidak betul kerana tindakan ini sudah berada di luar pemikiran agama. Islam mengangkat kepentingan sesebuah kebahagiaan atau ketenteraman secara menyeluruh. Oleh itu, jangan melakukan tindakan yang boleh mengancam keharmonian sesuatu kaum atau masyarakat."



HORMATI UNDANG-UNDANG



Ustaz Mohamad Rais menambah lagi:



"Dalam Islam, kita tidak dibenarkan untuk melakukan pemberontakan seperti ini, terutamanya bagi kita yang berada dalam negara, yang sebahagian besarnya adalah bukan Islam.



"Seharusnya, kita menghormati undang-undang dan menjaga apa yang terkandung dalam undang-undang negara tersebut.



"Walaupun kita tidak menerima tindakan orang lain, namun kita tidak melaksanakan perkara yang berlawanan dengan undang-undang negara kerana kita dikuasai oleh orang-orang bukan Islam.



"Bukanlah bermakna kita ini pengecut atau penakut, tetapi ia lebih kepada sikap menghormati dalam masyarakat.



"Malahan, kita perlu taat kepada pemerintah yang tidak menjurus ke arah perbuatan dosa dan undang-undang yang membawa kepada kebajikan."



Seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis:



"(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat." (HR Al-Bukhari)



TIDAK BOLEH HUKUM ORANG LAIN



"Hal ini dinyatakan demikian kerana, agama Islam tidak membenarkan seseorang mengambil hukum berdasarkan pendapat masing-masing.



"Jika seseorang melakukan kesalahan, maka kita harus membawanya ke muka pengadilan untuk dibicarakan oleh hakim. Selepas disabit kesalahan, barulah mereka akan dihukum dengan kadar hukuman yang sepatutnya.



"Namun, setiap individu tetap tidak mempunyai hak untuk menghukum orang lain atas sebarang kesalahan yang dilakukannya. Sikap mengambil keputusan sendiri sebegini adalah salah satu sifat yang melampaui batas," kata ustaz.



GUNAKAN SALURAN SEPATUTNYA



"Pasti ada saluran-saluran yang benar untuk apa jua jenis kekejaman. Kita menyaksikan pelbagai kekejaman di luar sana. Namun, tiada apa yang dapat kita lakukan selain berdoa.



"Melalui permohonan doa itu, kita memohon agar Allah swt memberikan petunjuk kepada kedua-dua pihak yang bertelagah kerana Allah swt memberi khabar gembira buat hamba-Nya yang berdoa."



Melalui firman Allah swt dalam surah Ghaafir yang bermaksud:



"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (40:60)



"Dalam keadaan ini, kita hendaklah banyak berdoa supaya kita dikurniakan keamanan berterusan tanpa sebarang konflik yang akan menjerat masyarakat ke arah ketegangan," nyata ustaz.



  • Ustaz Mohamad H Rais berkelulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.


Sebenarnya, masalah yang berlaku di Perancis (seorang guru dipenggal kepala akibat tunjukkan karikatur Nabi Muhammad saw) adalah satu masalah yang bersifat terasing, persendirian atau individu. Ia tidak mewakili masalah rasmi untuk mana-mana ajaran, khususnya agama Islam itu sendiri. Barangkali, itu adalah sebuah pandangan peribadi yang diterjemahkan dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Mungkin, jiwa muda yang memberontak itu merasa geram untuk mempertahankan sesuatu perkara, tanpa memandang kepada kesan yang bakal berlaku akibat tindakannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >