Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Israk & Mikraj bantu pertingkat rasa cinta pada Rasulullah

Ustaz Muhammed Faheem perjelas pengajaran daripada perjalanan penuh mukjizat dan pelajaran yang boleh dijadikan iktibar
Feb 25, 2022 | 07:04 AM



SETIAP Muslim dibesarkan dengan mengetahui bahawa mereka harus mencintai Nabi Muhammad saw tetapi bagaimana menyemai dan menyuburkan rasa cinta terhadap Baginda?



Apa pula kaitan meningkatkan rasa cinta kepada Rasulullah saw dengan peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dan diperingati pada malam 27 Rejab yang bakal menjelang?



Mengupas persoalan ini dengan Berita Harian, Ustaz Muhammed Faheem Abdul Khalil, Ketua Darul Tafsir dan Jabatan Dakwah Masjid Al-Khair, berkata sebagai seorang yang beriman, mencintai Rasulullah saw adalah satu perasaan semula jadi yang mengalir dalam diri setiap Muslim.



"Tetapi cinta yang mendalam tidak terbetik daripada emosi yang dipaksa. Oleh itu, antara cara bagi kita meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah saw adalah dengan mempelajari sejarah hidup Baginda yang membawa pengajaran yang besar.



"Dan, antara iktibar terbesar yang dapat kita pelajari adalah daripada perjalanan penuh mukjizat Nabi saw dalam peristiwa Israk dan Mikraj," jelas beliau.



"Peristiwa ini penting dalam sejarah Islam kerana ia mempunyai kesan langsung ke atas kehidupan setiap Muslim.



"Nabi saw memulakan perjalanan ke Masjidil Aqsa dari Masjidilharam sebelum naik ke langit, untuk menerima anugerah solat lima waktu secara langsung daripada Allah swt. Ia kemudiannya menjadi rukun Islam yang penting. Semuanya berlaku dalam satu malam."



Menurut Ustaz Muhammed Faheem, valediktorian kohort pertama program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang diusahakan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), selain perintah mendirikan solat lima waktu, terdapat juga pelajaran besar yang boleh kita pelajari daripada peristiwa ini.



JANGAN PERNAH PUTUS ASA KEPADA ALLAH



Sebelum peristiwa Israk dan Mikraj berlaku, terang beliau, Nabi saw baru kehilangan dua tunggak dalam hidup Baginda iaitu bapa saudaranya dan isterinya tercinta. Puak dan para sahabat Baginda pula diboikot puak lain yang mengakibatkan mereka mengalami kelaparan.



Menurut Al Qadhi Abu Bakar ibn Arabi, Rasulullah saw kemudian pergi ke Taif untuk mendapatkan sokongan tetapi ditolak.



"Pada ketika itu, Nabi saw sedang mengalami kegawatan besar. Baginda saw menghadapi tekanan demi tekanan, kesukaran dan ujian selepas 10 tahun kenabian.



"Orang-orang yang Baginda saw cintai meninggal dunia, nama baiknya tercemar, puaknya diboikot dan tidak ada negeri mahu menyokongnya, seolah-olah seluruh dunia telah runtuh menimpa Baginda.



"Dalam keadaan sunyi, terluka dan ditinggalkan itu, Allah swt menghiburkan Rasul-Nya dengan perjalanan Israk dan Mikraj," ujar Ustaz Muhammed Faheem, yang memiliki ijazah sarjana muda kelas pertama Perundangan Islam daripada Universiti Islam Madinah, di Arab Saudi, dan sedang menyambung pengajian bagi ijazah sarjana Tafsir dan Ulum Quran daripada Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU) di Malaysia.



Di sini, kata beliau, kita boleh belajar bahawa walau betapa sukar dugaan hidup, jangan pernah putus harapan.



"Kekasih kita Rasulullah saw tidak pernah berputus harapan kepada Allah walaupun dalam saat-saat paling sukar dalam hidup Baginda.



"Maka Allah mengangkat Baginda daripada kesusahan dan menguatkannya untuk menghadapi fasa kenabiannya yang mencabar," kata beliau.



Hal ini dijelaskan dalam Surah At-Talaq, ayat 2 dan 3 yang bermaksud: "Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya.



"Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."



Oleh itu, Ustaz Muhammed Faheem menambah, perkara yang mungkin kelihatan sukar atau menyakitkan hari ini boleh menjadi pengalaman hidup yang berkat esok. Maka jangan berputus asa kepada Allah, katanya.



NILAI SOLAT



Jika disingkap sejarah, beliau menerangkan bahawa kita akan dapati setiap perintah yang datang kepada Nabi saw dibawa oleh Malaikat Jibrail as. Sedekah, haji, dan banyak lagi wahyu, datang melalui Jibril as.



Tetapi khusus untuk solat, Allah swt bukan sahaja menurunkannya dalam ayat-ayat Al-Quran melalui Jibrail as, malah Allah swt menjemput Nabi saw ke hadrat-Nya dan memberikan hadiah solat kepada Nabi saw secara langsung.



"Subhanallah lihatlah betapa seriusnya Allah menitikberatkan nilai anugerah ini.



"Ketika Nabi saw sedang melalui kepayahan dan cabaran hidup, Allah memberi anugerah solat untuk membantu Baginda saw maju ke hadapan - komunikasi secara langsung dengan Allah swt meluahkan segala hajat dan keperluan kita," kata beliau lagi.



"Terdapat hadis dalam Sahih Muslim yang menyatakan: "Seorang hamba itu paling dekat dengan Tuhannya ketika sujud, maka perbanyaklah berdoa".



"Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mencari Allah dalam semua masalah kita kerana Dia mengetahui perjuangan dan masalah kita, maka Dia tahu huraian terbaik bagi kita."



PERSAHABATAN



Rasulullah saw memberitahu kisah perjalanan Baginda kepada penduduk Makkah, tetapi mereka tidak mempercayainya. Namun, Sayidina Abu Bakar ra mempercayai setiap perkataan yang diucapkan Rasulullah saw tanpa ragu-ragu.



Baginya, jika beliau meyakini bahawa Nabi saw menerima wahyu secara langsung daripada Allah swt, maka perjalanan Baginda naik ke langit ketujuh dan kembali dalam satu malam adalah tidak mustahil



"Subhanallah. Sayidina Abu Bakar ra menunjukkan kepada kita erti persahabatan sebenar dan bagaimana beriman kepada Allah dan Rasul-Nya merangkumi perkara yang mustahil atau tidak, sama ada ia dapat dilihat atau ghaib," tambah beliau.



Kepentingan persahabatan ini dikuatkan dengan hadis sahih dalam Sunan At-Tirmidzi: "Seseorang itu berada di atas agama sahabatnya, maka hendaklah salah seorang di antara kamu melihat kepada siapa dia berkawan."



SATU KEMUDAHAN BUKAN BEBANAN



Ketika Rasulullah saw menerima anugerah solat daripada Allah swt, pada mulanya ia sebanyak 50 kali sehari, cerita Ustaz Muhammed Faheem.



Nabi saw mendengar nasihat Nabi Musa as dan naik lagi bertemu Allah untuk mengurangkan jumlah solat bagi umat Baginda.



"Ketika aku kembali kepada Musa, dia berkata, 'Apakah yang diperintahkan kepadamu?' Aku menjawab, 'Aku diperintahkan untuk melaksanakan solat lima waktu.' Dia berkata, 'Umatmu tidak dapat melaksanakan solat lima waktu, dan pastinya, aku telah memperoleh pengalaman daripada orang-orang sebelum kamu, dan aku telah berusaha sebaik-baiknya dengan Bani Israil, maka kembalilah kepada Allah dan mintalah dikurangkan untuk meringankan beban pengikutmu.' Aku berkata, 'Aku telah memohon begitu banyak kepada Allah hinggakan aku berasa malu, tetapi aku reda dan berserah kepada perintah Allah.' Ketika aku pergi, aku mendengar suara berkata, 'Aku telah menunaikan perintah-Ku dan telah meringankan beban hamba-hamba-Ku." (Sahih Al-Bukhari).



"Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan tujuan Allah swt menyukarkan atau membebankan kita," terang beliau.



"Solat lima waktu sebenarnya satu cara yang membolehkan kita berkomunikasi secara langsung dengan Allah dan hanya bertujuan memberi manfaat kepada kita. Ia bukan sahaja satu jalan keluar bagi semua kesukaran dan masalah kita, malah panggilan menuju kejayaan lima kali sehari."



PERJALANAN KEIMANAN



Menurut Ustaz Muhammed Faheem, Israk dan Mikraj sememangnya satu perjalanan keimanan. Rasulullah saw naik ke langit dan bercakap secara langsung dengan Allah.



Nabi saw melihat ramai malaikat dan melihat Jibrail as dalam bentuk asalnya. Rasulullah saw juga bertemu dengan semua nabi lain dan bercakap dengan mereka tentang tanda-tanda hari kiamat, katanya.



Baginda juga melihat syurga dan neraka dan hakikat qadar. Jadi, perjalanan penuh mukjizat Israk dan Mikraj ini bukan sekadar mendapat anugerah solat, malah satu perjalanan menuju keimanan.



"Ia hadiah peribadi daripada Allah swt kepada Rasul-Nya bagi menghiburkan Baginda daripada kesedihan dan meningkatkan keimanan Baginda sambil mengurniakan umat ini anugerah berhubung terus dengan Allah.



"Perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai iktibar penting yang relevan dan tepat pada masanya untuk dihayati dan diamalkan.



"Pelajaran yang telah kita perolehi hari ini bukan sahaja membantu meningkatkan iman kita, malah menunjukkan kemurahan dan belas kasihan Allah swt yang tidak terhingga kepada ciptaan-Nya.



"Oleh itu, marilah kita meluangkan beberapa minit setiap hari untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan mengambil kesempatan ini untuk bercakap dengan-Nya tentang kehendak dan keperluan kita," ujarnya.




PERKARA YANG MUNGKIN KELIHATAN SUKAR HARI INI BOLEH JADI PENGALAMAN HIDUP BERKAT ESOK



"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya.

Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."

- Surah At-Talaq, ayat 2 dan 3).




SEKILAS BIODATA



Ustaz Muhammed Faheem Abdul Khalil ialah Ketua Darul Tafsir dan Jabatan Dakwah Masjid Al-Khair. Beliau valediktorian kohort pertama program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang diusahakan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Beliau memiliki ijazah sarjana muda kelas pertama Perundangan Islam daripada Universiti Islam Madinah dan sedang menyambung pengajian bagi ijazah Sarjana Tafsir dan Ulum Quran daripada Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >