Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Jadikan Syaaban tangga dekati Tuhan

Mar 11, 2022 | 05:30 AM



SUDAH seminggu kita memasuki Syaaban, bulan yang menjadi "peringatan" bahawa kita hanya menghitung hari sebelum menyambut Ramadan.



Bagi yang masih berhutang puasa tahun lalu, pada bulan inilah mereka akan tergesa-gesa membayar puasa yang masih berbaki.



Bagi sesetengah masyarakat, bulan ini dilihat sebagai masa untuk membuat persiapan bagi segala keperluan Ramadan, seperti mengatur keperluan juadah buka puasa, dan seterusnya bagi keperluan menyambut Syawal.



Disebabkan "kesibukan" persiapan puasa dan Hari Raya, ramai orang terlepas pandang keistimewaan sebenar Syaaban dan amalan-amalan dalam bulan ini yang dianjurkan Nabi Muhammad saw.



Ketika diminta pandangannya mengenai amalan yang baik direbut pada Syaaban, pendakwah mapan Ustaz Mohamad Haji Rais mengungkap semula pandangan Mukmin terhadap empat bulan suci yang dimaklumi - Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam.



"Pada bulan-bulan ini, para Mukmin digalak menghormatinya, mengagungkannya, perbanyakkan ibadah, menjauhkan diri daripada melakukan kejahatan dan kezaliman," kata beliau.



Ustaz Mohamad Haji Rais menambah bahawa Allah mengharamkan berperang dalam bulan-bulan tersebut.



Firman Allah: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah 'peperangan dalam bulan itu berdosa besar..." (Al Baqarah ayat 217).



Justeru, tidaklah hairan jika orang Islam terlepas pandang bahawa Syaaban, bulan kelapan dalam kalendar Hijrah, terletak di antara dua buan mulia, iaitu Rejab dan Ramadan, kata beliau.



"Rejab mendapat kemuliaaan kerana ia bulan suci dan bulan peristiwa Israk Mikraj terjadi. Zulkaedah ialah bulan yang menjadikan orang Islam sibuk untuk persediaan mengerjakan ibadah haji.



"Zulhijah pula ialah kemuncak ibadah haji dan di situ terdapat Hari Raya Aidiladha dan dan hari-hari tasyrik (hari ke-11, ke-12 dan ke-13 Zulhijah yang disunatkan melakukan korban, selain pada Aidiladha).



"Muharam pula ialah bulan yang disunatkan berpuasa pada hari ke-10-nya sempena peristiwa Nabi Musa as bersama kaumnya menyelamatkan diri mereka daripada cengkaman Firaun. Hari ke-10 itu dikenali dengan hari Asyura".



Justeru apa harus dikejarkan dalam Syaaban?



Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw perbanyakkan berpuasa sunat supaya kaum Mukminin tersedar daripada perhatian mereka kepada hanya bulan sebelum dan selepas Syaaban.



"Kita bersyukur kepada Allah swt jika kita ditetapkan oleh-Nya akan menemui bulan Ramadan tahun ini.



"Jika kita sampai ke bulan Ramadan, ini bererti Allah swt memuliakan kita kerana kita diberi kesempatan mengecapi nikmat beribadat pada bulan yang mulia ini.



"Dalam bulan ini kita mendapat layanan Allah swt yang menyediakan wadah untuk bertaubat dan membanyakkan ibadat, seperti sembahyang malam dan sembahyang tarawih, membaca Al-Quran, berzikir dan berwirid di samping berpuasa," kata beliau.



Ramadan adalah bulan yang Allah swt membuka pintu-pintu syurga dan membelenggu syaitan. Ramadan menggalak kita supaya bermuhasabah diri dan mengamalkan sifat kesabaran terhadap segala perkara dalam kehidupan.



"Syaaban dikira sebagai bulan hadiah, pemberian dan anugerah Allah swt.



"Setiap Muslim harus merebut peluang di bulan ini.



" Setiap waktu (siang dan malam) hendaklah dijadikan tangga untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.



"Ketaatan kepada-Nya hendaklah digandakan - berpuasa pada siang hari, bangun solat pada malam hari, mengkhatamkan Al-Quran, berselawat atas nabi, berzikir, bersedekah, menderma, ringan tangan membantu orang lain, menyambung silaturahim, berbakti kepada orang terdekat, termasuk antara suami, isteri, ibu, bapa dan anak-anak.



"Pendeknya, setiap Muslim harus memperbanyakkan ibadatnya dan istighfar dalam bulan ini sebagai tanda kegembiraannya kerana mendekati Ramadan," ujar Ustaz Mohamad.



Syaaban seumpama bulan kerohanian. Ia bulan mengingatkan orang Islam supaya bersedia melakukan ibadat-ibadat yang berganda pada Ramadan.



Ini sejajar hadis Nabi yang bermaksud: "Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanannya dan pengharapan pengampunan Allah swt, maka dosanya yang lalu akan diampuni."



Hadis ini sebagai pemacu supaya kaum Muslim bersungguh-sungguh menunaikan perintah Tuhan dengan keimanan kental dan pengharapan mendapat pengampunan Allah dan keredaan-Nya.



"Justeru persediaan ini adalah penting. Dengan persediaan ini si Muslim tidak akan berasa berat untuk menunaikan ibadat seperti puasa, solat sunah pada malam hari, sedekah dan melakukan hal-hal kebajikan pada Ramadan kelak.



"Tidak berat baginya untuk menggandakan ibadatnya.



"Orang-orang Mukmin dalam Syaaban laksana keluar dari rumah mereka untuk berkhemah sepanjang bulan sebelum memasuki Ramadan.



"Mereka seperti para pejuang yang membuat persediaan dan latihan untuk memasuki peperangan pada bulan Ramadan.



"Mereka akan berperang melawan nafsu, menangkap dan merantai syaitan-syaitan yang mengacau diri mereka. Mengorbankan keinginan naluri manusia seperti makan, minum dan hiburan yang melalaikan. Mereka berjuang dengan banyak bersabar.



"Perjuangan mereka itu akan mudah dilakukan apabila mereka mendapat latihan yang cukup dalam perkhemahan Syaaban," tambah Ustaz Mohamad.



Rasulullah saw pernah ditanya mengapa baginda banyak berpuasa pada Syaaban berbanding bulan lain (selain Ramadan).



Baginda menjawab bahawa Syaaban ialah bulan amalan diangkat kepada Allah, dan baginda ingin dan suka amalannya diangkat dalam keadaan baginda berpuasa.



Isteri baginda, Siti Aisyah ra, meriwayatkan bahawa baginda banyak berpuasa pada Syaaban.



Sebenarnya, tidaklah baginda berpuasa penuh dalam Syaaban. Tetapi baginda memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini melebihi pada bulan lain (selain Ramadan).



"Kita hendaklah meneruskan berpuasa sunah pada hari Isnin dan Khamis dan hari ke -13, ke-14 dan ke-15 Syaaban. Tetapi diharamkan berpuasa pada akhir-akhir Syaaban, terutama pada 29 atau 30 Syaaban.



"Para sahabat mengambil berat tentang bulan ini kerana mereka mengetahui kemuliaannya. Justeru mereka banyak membaca Al-Quran, bersedekah, berlumba-lumba membuat kebajikan.



"Mereka melakukan itu sebagai persediaan menyambut Ramadan. Hati mereka penuh dengan keimanan. Lidah mereka sentiasa basah dengan zikir. Anggota badan mereka suci dan bersih daripada perkara haram.



"Mereka berasa betapa manisnya berpuasa dan bersembahyang malam. Hati mereka bertambah tenang kerana banyak mengingati Allah."



Kesimpulannya, Syaaban adalah bulan yang sepatutnya diangkat seperti bulan-bulan suci lain, bahkan amalan sunah harus diperbanyakkan pada bulan ini supaya kita akan lebih bersedia menghadapi Ramadan.




Setiap waktu (dalam Syaaban) hendaklah dijadikan tangga untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Ketaatan kepada-Nya hendaklah digandakan, berpuasa pada siang hari, bangun solat pada malam hari, mengkhatamkan Al-Quran, berselawat atas nabi, berzikir, bersedekah, menderma, ringan tangan membantu orang lain, menyambung silaturahim, berbakti kepada orang terdekat, termasuk antara suami, isteri, ibu, bapa dan anak-anak. Pendeknya, setiap Muslim harus memperbanyakkan ibadatnya dan istighfar dalam bulan ini sebagai tanda kegembiraannya kerana mendekati Ramadan.
- Ustaz Mohamad Haji Rais.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >