Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kasih Allah di balik takdir

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



HATI menjadi gembira apabila keinginan tercapai. Keinginan termasuk mendapat pasangan hidup, anak, rumah selesa, kedudukan di tempat kerja dan harta banyak. Hal tersebut boleh membuat seseorang lebih bersemangat berusaha dan terdorong.



Di sisi lain, sebagai seorang Muslim, tentu ada keinginan yang bersifat kerohanian - keinginan mahu lebih mendekatkan diri kepada Allah, lebih mengenali-Nya, mendapatkan cinta-Nya dan selanjutnya.



Semua itu terangkum melalui bacaan surah Al-Fatihah ayat keenam, yang bermaksud "Bimbing dan hantarkanlah kami, beri kami kemampuan untuk ke jalan yang lebar dan luas". Itulah keinginan hakiki orang yang menempuh jalan menuju ke Allah swt.



Membandingkan keinginan bersifat luaran dan kerohanian, keinginan luaran lebih mudah dilihat pencapaiannya - dilihat dengan mata kasar dan dirasai anggota badan.



Sekiranya keinginan itu terhalang, jiwa dan dalaman mungkin berasa sakit, perasaan menjadi dukacita dan diri mula resah.



Ketua keluarga misalnya berusaha mencukupkan keperluan rumah tangga, memberikan yang terbaik buat keluarga. Namun, apabila berlaku ujian, seperti kesempitan masa hingga keinginan isteri dan anak ingin bercuti tidak dapat dipenuhi, mereka mungkin bersikap dingin.



Kebahagiaan yang diperolehi selama ini seolah-olah hilang. Di saat itu, hati seorang suami dan ayah mungkin terluka, terguris dan sedih ekoran layanan sedemikian.



Ketidakfahaman tentang hikmah di sebalik takdir Allah swt menciptakan sesatu kejadian itu menyebabkan kita sedih, pedih, keliru dan bercelaru.



Namun, di sebalik kejadian itu sebenarnya mengandungi kasih sayang Allah.



Saiyidina Ali bin Abi Talib ra berkata "Manusia itu tidur. Jika mati baru mereka sedar". Manusia tertidur dan terlena dengan kesenangan dan kegembiraan yang diperolehi hingga ia terkadang cuai dan leka akan tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah swt.



Setelah berada dalam kubur kelak, manusia akan bertanya "Mana keluarga, anak dan kerabatku serta apa yang diberikan Allah kepadaku?"



Amalannya menjawab "Engkau telah meninggalkan keluarga, anak dan kerabatmu, serta apa yang diberikan Allah kepadamu; tidak ada yang ikut masuk ke kuburmu kecuali aku (amalmu)".



Manusia itu akan berkata "Seandainya aku tahu bahawa yang ikut masuk denganku hanyalah engkau sahaja, maka aku akan mengutamakanmu berbanding keluarga, anak dan kerabatku serta apa yang diberikan Allah kepadaku."



Jika seseorang itu cuba memahami hikmah daripada hambatan dan bersangka baik pada Allah swt, ia akan mampu melihat kebaikan bahawa terdapat kasih sayang Allah kepadanya.



Allah ingin mengenalkan kasih dan sayang-Nya dengan menyedarkan manusia itu daripada lena dan leka di dunia.



Kasih dan sayang Allah mengingatkannya bahawa suatu hari nanti dia akan bersendirian di rumah pengasingan yang sempit lagi menakutkan, iaitu rumah daripada tanah mengandungi cacing.



Lantas, apakah bekalan yang telah disiapkan untuk menghadapi hari tersebut kerana semua yang dimiliki hari ini akan meninggalkannya?



Allah seolah-olah memberikannya pengalaman perasaan yang akan dilalui dan dirasai apabila berada di kubur nanti.



Pengalaman itu harus menimbulkan rasa sedar dan insaf serta menimbulkan keinginan berusaha memperbaiki agamanya.



Dia akan mampu rasa bahawa di sebalik kesedihan itu, terdapat nikmat dan indahnya kasih sayang Allah berupa keinsafan dan kebahagiaan.



Permohonan dan doa supaya lebih dekat kepada Allah, lebih mengenali-Nya, terlihat melalui kejadian yang Allah cipta dalam kehidupannya itu.



Pengalaman itu akan juga membuat seseorang yakin akan kekuasaan Allah dan lebih mengenali-Nya.



Sesungguhnya Allah mempunyai cara sendiri untuk memperkenal diri-Nya kepada seseorang, termasuklah menerusi cabaran, ujian, bala dan pensyariatan hukum.



Kejadian yang berlaku, halangan atau pemberian akan menambah makrifatnya kepada Allah swt.



Maka apa jua 'kejadian' yang berlaku tidak seharusnya menimbulkan perasaan benci dan tidak elok kepada isteri atau anak kerana apa yang berlaku merupakan kejadian yang 'diciptakan' Allah buatnya. Mungkin pada suatu hari isteri dan anak itu akan faham dan berubah hingga kehidupan kembali seperti sediakala.



Lantaran itu, berdoalah kepada yang Maha Berkuasa agar pengalaman mengenali-Nya tidak akan dilupakan, bahkan menjadi pembuka jalan agar lebih mengenali-Nya.



Dalam contoh ini, keinginan yang bersifat luaran itu tidak dikecapi tetapi keinginan yang bersifat kerohanian dimiliki.



Nilainya jauh lebih berharga kerana seseorang itu akan semakin mengenali Pencipta dan akan bertambah baik amalnya.



Ramai tidak memahami rahmat, belas kasihan dan lemah lembut Allah di sebalik kesusahan dan bala yang menimpa.



Jika mereka benar-benar faham, nescaya hati mereka tidak akan berdukacita.



Kembangkan dan sesuaikanlah contoh ini dalam kehidupan demi memperolehi mutiara dan pengajaran yang berguna.



Pengajaran yang boleh diambil daripada perkongsian ini ialah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan bersangka baik kepada Allah dalam setiap urusan.



Di samping itu, fahami bahawa Allah ada cara sendiri memperkenal diri-Nya, yakni melalui ujian, bala dan sebagainya.



Antara manfaat yang akan diraih ialah:



Jalan mengenali Allah akan lebih terbuka dalam kehidupan harian kita.



Perasaan rindu dan cinta kepada Allah akan semakin terbit di dalam hati.



Hadapi segala ujian dan cabaran dengan tenang, dan perasaan kebergantungan pada Allah akan semakin kukuh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >