Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kebebasan berpendapat ambil kira keperluan saling hormati satu sama lain

Feb 09, 2018 | 05:30 AM



TATKALA Allah swt mencipta manusia, Allah memuliakan mereka dengan beberapa nikmat dan kekhususan, sesuai dengan tugasan mereka selaku khalifah yang mentadbir dunia ini.



Di antara nikmat dan kekhususan yang dikurniakan kepada manusia adalah anugerah kebebasan; kebebasan berpendapat dan bersuara, yang seharusnya diselarikan dengan tuntunan agama.



Kebebasan bersuara demi menyebarkan kebaikan dan kebenaran bukan sahaja merupakan hak dalam Islam, malah ia merupakan satu kewajipan agar dapat mencetuskan perkembangan buah fikiran yang lebih jernih dan matang dalam pembentukan peribadi yang mulia.



Di zaman globalisasi kita pada hari ini, ramai yang menggunakan wadah media sosial untuk berkomunikasi dan bertukar fikiran yang mana kadangkala, pandangan yang dikemukakan itu dilakukan dengan cara yang tidak mencerminkan keperibadian mulia seorang Muslim.



Di sebalik kelakuan ini adalah kekeliruan dan kesalahfahaman mengenai hak kebebasan bersuara.



Di antara contoh yang menunjukkan pengiktirafan Nabi saw terhadap hak kebebasan bersuara adalah tatkala beliau menerima pandangan sahabatnya yang bernama Khabab Ibn Munzir ra dalam Perang Badar.



Sebelum menghadapi Perang Badar, Nabi saw bermusyawarah dengan sahabatnya mengenai persiapan perang. Setibanya di Badar, Nabi saw berhenti di suatu tempat yang mana Khabab, seorang pakar strategi perang, bertanya kepada Nabi:



"Ya Rasulullah, adakah pemilihan tempat ini berdasarkan wahyu Allah atau disebabkan strategi peperangan?"



Nabi saw menjawab: "Bahkan ia hanya strategi peperangan."



Khabab kemudian menyusulkan agar tentera Islam berpindah tempat dan berkhemah berhampiran dengan sumber air.



Usulannya diterima baik oleh Nabi saw dan akhirnya Allah memberikan kemenangan kepada pasukan Muslimin.



Begitu pula pada Perang Ahzab apabila Nabi saw menerapkan strategi perang yang belum dikenali oleh orang Arab sebelum itu iaitu dengan menggali parit, hasil pengalaman Salman Al Farisi ra.



Kededua contoh ini menunjukkan bagaimana Nabi saw menerima buah fikiran orang lain dengan hati yang terbuka tanpa mengecam kebebasan mereka mengemukakan pandangan.



Dengan demikian, sebahagian ulama merumuskan bahwa di antara tujuan manusia diberi hak kebebasan bersuara adalah untuk:



Bertujuan menegakkan keadilan dan mencari kebenaran



Allah berfirman dalam Al-Quran "dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran". (Al Asr: 3).



Di antara tafsiran ulama Mufassirin mengenai "al haq" atau "kebenaran" adalah keadilan dan kewajipan yang mesti diberikan kepada setiap individu, tanpa membezakan warna kulit, jenis, bahasa mahupun agama.



Mencegah kemungkaran dan kezaliman



Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: "Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al Maidah: 148).



Sebagaimana Islam menggalakkan segala perucapan yang baik, ia juga mengharamkan segala bentuk perbuatan zalim yang dapat mengurangi atau meremehkan hak kehidupan serta membawa kepada permusuhan, seperti mengumpat dan penyebaran berita yang belum diketahui sumber serta kebenarannya.



"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al Hujurat: 6).



Jika dicermati hikmah di sebalik hak kebebasan bersuara dan berpendapat, maka kita akan mendapati beberapa perkara:



1) Menjamin hak kemanusiaan dengan memuliakan martabatnya.



Kalau kita mencermati firman Allah dalam surah Al Isra: 70: "Allah telah memuliakan anak adam dengan memberikannya hak kebebasan berfikir dan memilih arah tujuan kehidupannya, sebagai sebab untuk mendapat imbalan yang setimpalnya di akhirat kelak."



Tatkala hak itu dirampas atau dikekang tanpa sebab yang munasabah, maka ia termasuk salah satu bentuk penindasan terhadap dirinya.



Setiap insan, walau bagaimana besar dosanya, diberi peluang kembali kepada kebenaran melalui melalui proses penjernihan pemikiran dan perbaikan amalan sebelum ia memudaratkan dirinya secara khusus dan mengancam keamanan masyarakat secara umum.



Toleransi agama



Hak kebebasan berpendapat sebenarnya memberi gambaran bahawa manusia diberi kuasa memilih tanpa paksaan.



Oleh itu Islam memberi hak tersebut kepada manusia untuk memilih agama dan kepercayaan mereka kerana setiap amalan seseorang itu akan dihitung di akhirat nanti.



Dengan mempertahankan hak kebebasan berpendapat dan bersuara, kita menonjolkan Islam sebagai agama yang membawa toleransi dan menghormati agama-agama yang lain bagi mewujudkan suasana yang kondusif dan harmoni untuk saling bertukar pandangan dalam mencari kebenaran.



Bahkan, inilah akhlak dan adab yang perlu ditonjolkan sebagai manifestasi tentang hakikat sebenar agama Islam.



Menolak kejumudan dalam berpendapat



Islam memerintahkan manusia supaya berfikir untuk mencari kebenaran dan menjauhi sikap kejumudan, yang akan membawa kepada sikap fanatik.



Bahkan, dalam penerapan agama, mereka digalakkan memahami hujah dalam segala bentuk kehidupan mereka agar lebih menghargai prinsip-prinsip agama untuk membina masyarakat yang cemerlang.



Namun demikian, setiap kebebasan, termasuk kebebasan bersuara, mempunyai batasnya yang tertentu.



Kebebasan seseorang itu dibatasi oleh kebebasan orang lain. Hak kebebasan yang dianugerahkan oleh Allah harus digunakan bukan hanya untuk kepentingan peribadi, bahkan digunakan untuk kepentingan masyarakat.




BIODATA PENULIS



Penulis merupakan Ketua Pembelajaran Islam di Masjid Muhajirin.



Beliau bermula dengan pendidikan sekular melalui GCE ' O' dan Nitec Tinggi sebelum melanjutkan pengajian diploma dalam pengajian Islam pada 2005 di Gontor, Ponorogo Indonesia.



Selepas itu melanjutkan pengajian Sarjana Muda Syariah di Universiti Madinah pada 2012.



Beliau turut mengajar pendidikan Islam di pusat-pusat pendidikan seperti Andalus, Zuhri, Jamiyah dan lain-lain di peringkat diploma dan ijazah.



Ustaz Khalid juga mempunyai pengalaman dalam kaunseling belia, pasangan suami isteri dan telah dilantik sebagai Hakam di Mahkamah Syariah sejak November 2016 bagi sesi timbang tara dalam perceraian.



Pada 2016, beliau memburu Sarjana Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura dalam bidang Pengajian Asia pengkhususan "Kajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Plural" dan menamatkan pengajian ijazah sarjananya pada Julai 2017.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >