Keganasan domestik melebihi penderaan fizikal, Berita Hidayah - BeritaHarian.sg
Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Hidayah0

Keganasan domestik melebihi penderaan fizikal

Dec 01, 2017 | 05:30 AM

APABILA bercakap tentang keganasan domestik dalam konteks keluarga, menjadi suatu perkara yang lumrah sekiranya ia dikaitkan dengan hal 'pukul bantai' khususnya antara suami dengan isteri.

Namun, apa yang ingin saya kongsi di sini ialah keganasan bukan dari sudut fizikal sahaja, malah daripada pelbagai sudut lain yang boleh menjejas hubungan rumah tangga jika tidak dibendung daripada awal.

Dalam ruangan ini, saya ingin kongsi beberapa isu dan contoh keganasan domestik hasil daripada pengalaman saya mengendalikan kes kaunseling di masjid atau hakam di Mahkamah Syariah sedikit masa dulu.

Isu-isu yang dimaksudkan dengan keganasan atau penderaan di sini adalah seperti berikut:

  • PENGABAIAN DARI SUDUT EKONOMI KELUARGA

Tidak membayar nafkah isteri dan anakanak dalam konteks suami yang menjadi tunggak utama dalam mencari nafkah.

Halal Home Based Business
Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Adapun bagi kes di mana suami isteri sudah sepakat ingin berkongsi pembahagian tugas masing-masing, maka si suami tetap perlu melaksanakan bahagiannya seperti yang telah dipersetujui.

Terdapat kes di mana si suami hanya memberikan nafkah beberapa ratus dolar dan menganggap ia mencukupi bagi segala perbelanjaan.

Dalam hal ini, adalah satu langkah yang sangat baik sekiranya si isteri mencatatkan segala apa yang diperlukan dalam perbelanjaan bulanan seperti bil air elektrik, telefon, belanja pasar, yuran dan buku sekolah anak-anak dan sebagainya.

Bukan apa, ini bagi memahamkan suami bahawa apa yang diberikannya itu tidak mencukupi dan memadai, dan bukan hanya dakwaan kosong si isteri.

Namun, tidak dinafikan bahawa kadangkala terdapat kes si isteri 'bising-bising' apabila si suami memberikannya $1,000 atau lebih.

Si isteri merasakan bahawa wang yang diberi masih belum mencukupi kerana mendakwa si suami sepatutnya menyumbang lebih banyak memandangkan gaji suami sekitar $2,000 atau lebih.

Huraiannya ialah si suami juga perlu berkongsi dengan isteri bajet beliau.

Walaupun gaji si suami tampak besar, selepas ditolak perbelanjaan keluarga, belanja pengangkutan pergi balik kerja dan berjalanjalan, duit jajan masa bekerja seperti makan tengah hari, simpanan keluarga, insurans (jika ada), pastinya baki wang yang tinggal tidak sebanyak yang disangka.

Takkanlah si suami perlu puasa tiap-tiap hari semasa bekerja?

Kesimpulannya ialah suami dan isteri perlu berkomunikasi dan berinteraksi bagi memahamkan pasangan masing-masing.

Ia sangat membantu apabila terdapat bajet yang sudah dirancang lebih awal.

Ia bukan sahaja dapat memastikan kewangan keluarga sihat, malah dapat mengelakkan salah faham dan perselisihan faham.

  • DERAAN DARI SUDUT PSIKOLOGI DAN EMOSI

Antara perkara yang melibatkan keganasan keluarga ialah penderaan dari sudut psikologi dan emosi isteri.

Walaupun ia tidak sampai kepada melukakan dan mencederakan anggota badan, rasa sakit yang dideritainya tetap sama.

Ia juga satu penderaan yang biasanya lebih banyak dikaitkan dengan perlakuan suami ke atas isteri.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga kes isteri mendera suami.

Antara contoh kes penderaan psikologi dan emosi ialah apabila suami memanggil isterinya dengan panggilan yang kurang menyenangkan, malah jijik seperti perempuan 'sun%#@', 'pel*&%$'.

Tegakah kita menghina isteri kita sedemikian rupa? Adakah ini sikap yang diajarkan Nabi kita?

Lebih menjijikkan, selepas siangnya dihina, pada malam harinya pula si isteri diajak bersatu...

Perbuatan ini juga dikeji Rasulullah saw: "Mengapa salah seorang di antara kamu suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal barangkali dia akan menyetubuhinya di hari lain!" (Riwayat Ahmad)

Inilah kadangkala yang menjadi punca isteri menjadi nusyuz atau derhaka kepada suami.

Perbuatan isteri, yang enggan bersama suami, tetap dikira berdosa.

Tetapi itu tidak bermakna suami itu tidak bersalah.

Malah, tidak hairan jika keengganan isteri melayan suaminya menjadi pertimbangan Allah nanti.

Bagaimana mungkin seseorang itu berharap agar isterinya hormat kepadanya, tetapi dia sendiri tidak menghormati maruah isterinya?

Kembalilah kita kepada tanggungjawab asas seorang suami iaitu melayan isteri dengan baik, sesuai dengan firman Allah:

"Dan pergaulilah mereka (yakni isteri) secara baik." [AN-NISAA: 19]

  • DERAAN DARI SUDUT FIZIKAL

Termasuk sikap yang terkeji, selain mencela isteri, ialah bersikap kasar kepadanya dengan menzaliminya, meletakkan tangan di wajahnya atau sampai ke peringkat memukul bantai.

Sikap ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan amalan Baginda saw, seperti yang diriwayatkan daripada Hakim bin Mua'wiyah al-Qusyairi, daripada ayahnya, yang berkata kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?" Rasulullah bersabda: "Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian, dan tidak memukul wajahnya, tidak boleh mencelanya, dan tidak boleh mendiamkannya melainkan di rumah."

Begitu juga dalam mempraktikkan panduan Al-Quran dalam memukul isteri yang derhaka, maka jelas yang paling baik ialah suami melayani isteri dengan mencontohi akhlak Baginda saw sendiri, di mana akhlak Baginda merupakan cerminan Al-Quran.

Malah, Baginda juga mengecam manusia seperti itu, melalui hadis daripada Abdullah bin Zam'ah yang katanya, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Adakah patut seseorang kamu memukul isterinya bagaikan memukul seseorang hamba kemudian menidurinya pada malamnya."

Ingatlah, sekali suami mengangkat tangan dan menampar isteri, maka di ketika itu kehormatannya pada mata isteri sudah hilang, dan mungkin kita sudah kehilangannya selama-lamanya.

  • DERAAN DARI SUDUT SEKSUAL

Dalam Islam dinyatakan bahawa isteri dikehendaki melayan suami dalam keadaan apa jua, kecuali ketika sedang haid atau diminta melakukan hubungan seks luar tabii yakni melalui dubur atau liwat.

Ini jelas melalui sabda Rasulullah saw: "Apabila seorang suami mengajak isterinya berkumpul hendaknya wanita itu mendatanginya sekalipun dia berada di dapur." (Riwayat Tirmidzi)

Namun hadis ini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas.

Ini kerana Islam pada masa yang sama juga menitikberatkan kasih sayang dan keharmonian rumah tangga, bahkan itulah tujuan utama perkahwinan disyariatkan.

Firman Allah swt: "Dan di antara tandatanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Al-Rum: 21)

Hubungan seksual yang dilakukan dengan terpaksa dan bukan atas dasar kasih sayang juga seolah-olah penderaan terhadap pasangan, dan bertentangan dengan prinsip perkahwinan itu sendiri.

Dengan itu, adalah wajar suami mengambil kira hati dan perasaan isteri ketika ingin bersama dengannya.

Dengan erti kata lain, kalau isteri rasa penat, biarkanlah beliau berehat dan berilah kelepasan dengan membiarkan beliau tidur.

Pada masa yang sama, isteri pula usahlah keterlaluan - terlampau penat setiap malam sehingga tidak melayan suami berbulan-bulan!

Begitu juga dalam aksi dan hubungan seks antara suami isteri, hendaklah diambil kira pandangan isteri juga, walaupun dalam Islam tiada larangan dengan melakukan apa saja gaya dan aksi yang diinginkan selagi tidak melalui dubur.

Berbincanglah, tanyalah pandangan isteri mahupun suami.

Apa yang suami suka dan tidak suka, termasuk luahan suami atau isteri jika ia tidak memenuhi kepuasan kededuanya, agar hubungan yang dilakukan mendapat kepuasan dan menambah rasa cinta suami isteri.

  • DERAAN DARI SUDUT SOSIAL

Penderaan sosial terjadi dalam kes di mana isteri dikurung di rumah atau tidak dibenarkan keluar rumah tanpa izin suami, walaupun seketika - sama ada mahu menziarahi ibu bapa atau membeli sebarang keperluan harian seperti makanan dan sebagainya.

Walaupun suami berhak mengizinkan atau tidak mengizinkan isteri keluar, ini bukan bermakna beliau tidak berdosa apabila melakukan perkara tidak berperikemanusiaan, seperti tidak mengizinkan isteri menziarahi ibu yang sakit tenat.

Malah, suami tidak lari daripada dosa kerana melakukan kezaliman seperti itu ke atas isterinya.

Adapun dalam keadaan darurat seperti isteri dan anak-anak kelaparan atau perlu dapatkan rawatan kerana demam panas dan sebagainya, maka dalam keadaan seperti ini, terdapat keringanan bagi isteri keluar tanpa izin suami.

Sebagai suami, maka gunakanlah kuasa kita dengan sebaik-baiknya dan janganlah melampaui batas.

Buatlah perkara yang boleh menambahkan rasa cinta isteri, dan bukan kebencian mereka.

Pengabaian terhadap hak isteri dan penderaan tidak hanya terhad dari sudut fizikal, malah juga emosi, seksual dan juga sosial, yang merupakan satu penderaan dan seolah-olah keganasan terhadap isteri.

Bezanya ialah ia tidak mencederakan tubuh isteri, tetapi memberikan kesan kepada mental dan minda isteri.

Perkahwinan merupakan ikatan dan jalinan hubungan suami dan isteri.

Lantaran itu, perlulah diambil kira hati dan perasaan masing-masing agar hubungan dan ikatan nikah antara kededuanya dapat berjalan di atas landasan harmoni, sakinah dan kasih sayang.

  • Penulis Ketua Pegawai Eksekutif di Pergas dan penulis buku 'Warna-Warni Kehidupan.' Beliau juga bekas hakam di Mahkamah Syariah dan Naib Kadi dan kini antara anggota Lembaga Rayuan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan kaunselor bagi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

"Pengabaian terhadap hak isteri dan penderaan tidak hanya terhad dari sudut fizikal, malah juga emosi, seksual dan juga sosial, yang merupakan satu penderaan dan seolah-olah keganasan terhadap isteri. Bezanya ialah ia tidak mencederakan tubuh isteri, tetapi memberikan kesan kepada mental dan minda isteri."
- Ustaz Mohamad Yusri Yubhi Mohd Yusof.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map