Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BERSAMA

Kehidupan agama yang yakin diri, penuh rahmah

Jan 10, 2021 | 05:30 AM



TAHUN 2020 telah memberi peluang mengukuhkan ciri-ciri positif pada masyarakat.



Saya harap 2021 dan seterusnya akan terus mengukuhkan masyarakat dengan keyakinan diri yang tinggi dan penuh dengan rahmat.



Ada kisah seorang tukang kayu telah lama berkhidmat cemerlang. Dia disenangi majikan dan pelanggannya. Namun, telah sampai masanya dia ingin bersara, berehat dan melalui sisa-sisa hidupnya dengan tenang dan senang bersama keluarganya, walaupun bermakna pendapatan yang kurang.



Dia menyuarakan hasrat persaraannya kepada majikannya. Walaupun sedih dengan hasrat tukang kayu cemerlang itu, majikannya menghormati keinginannya.



Namun, majikannya memintanya menyelesaikan satu lagi rumah sebagai projek terakhirnya.



Si tukang kayu memenuhi permintaan itu dengan berat hati. Dia ingin bersara dan selesai membina rumah ini secepat mungkin. Dia tidak memberikan yang terbaik untuk projek terakhir itu. Dia juga tidak menggunakan bahan-bahan terbaik dalam membina rumah ini. Dia tidak memberi hati dan jiwa raganya untuk rumah terakhir itu. Malang sekali dia mengakhiri khidmat cemerlangnya begitu.



Setelah rumah selesai disiapkan, si tukang kayu menyerahkan rumah itu kepada majikannya. Si majikan kemudian memberikan beberapa dokumen dan kunci rumah kepada si tukang kayu dan berkata: "Ini adalah rumah anda. Saya ingin menghadiahkannya kepada anda."



Si tukang kayu terperanjat menerima rumah itu. Dia tidak menduga sama sekali bahawa dia sedang membina rumahnya sendiri. Si tukang kayu menyesal dan hampa. Jika dia tahu bahawa dia sedang membina rumah persaraannya, tentu dia akan membina yang terbaik dan memberikan segala-galanya untuk projek itu.



Kita diberi peluang membina rumah kita. Singapura adalah rumah kita. Rumah yang bagaimana yang ingin kita bina, bukan hanya untuk kita, tetapi untuk generasi seterusnya?



Sebagai satu masyarakat, kita harus bertanya masyarakat bagaimana yang kita ingin bina? Singapura bagaimana yang kita dambakan?



Pada minggu lalu saya menulis renungan saya mengenai tahun 2020: Tahun luar biasa untuk generasi luar biasa. Saya tegaskan di sebalik setiap krisis tersirat peluang. Pada setiap kesukaran bangkit keperwiraan. Dari setiap kedaifan lahir kekuatan.



Ini mungkin satu paradoks atau percanggahan bagi setengah manusia. Tetapi bagi kepimpinan dan jiwa yang matang, ia adalah satu kenyataan.



Nilai seseorang dan sesebuah masyarakat ialah pada kemampuan memanfaatkan setiap kesukaran dan krisis sebagai peluang transformasi berkesan.



Tahun 2020 telah mendedahkan peluang-peluang ini dan juga kemampuan kita sebagai satu masyarakat. Ini telah saya jelaskan dengan contoh-contoh. Ia mampu mengeluarkan kita daripada krisis ini untuk menjadi masyarakat yang lebih kuat dan berdaya tahan. Ia menyuburkan bibit-bibit masyarakat yang penyayang, prihatin dan penuh belas kasihan.



Bagaimana kita memperkukuh peluang-peluang dan ciri-ciri ini pada 2021?



Saya mendambakan masyarakat yang berkeyakinan diri (confident), penuh rahmah (gracious), dan belas kasihan (compassionate). Ini lah rumah yang saya ingin bina untuk diri, keluarga, masyarakat, institusi-institusi kita, dan generasi seterusnya. Saya telah melihat bibit-bibit ini. Kita perlu terus menyuburkan, memupuk dan memelihara ciri-ciri ini, dan terus merealisasikan potensi kita ini.



Kita perlu terus membangunkan kehidupan agama yang berkeyakinan diri dan penuh dengan rahmah. Semakin beragama kita semakin yakin diri dan berperikemanusian kita perlu jadi.



Beragama tidak hanya terbatas pada melaksanakan hukum ahkam atau ritual agama. Tetapi sebaliknya berpaksikan prinsip-prinsip dan nilai-nilai luhur agama. Ini wujud pada semua agama, walaupun hukum ahkam dan ritual berbeza.



Hukum ahkam dan pengamalan agama boleh menyesuaikan diri dengan konteks masa dan tempat, tanpa mengabaikan prinsip dan nilai agama. Ketika kita bertindak demikian, kita yakin dengan tindakan kita, yang berasaskan ilmu dan kefahaman sebenar agama, melampaui sudut hukum dan ritual.



Pengamalan agama atau Syariah yang terkeluar daripada prinsip rahmat kepada sebaliknya, daripada sifat keadilan kepada kezaliman, kasih sayang kepada kekerasan dan kebencian, maslahat kepada kemudaratan, kebijaksanaan dan hikmah kepada kesia-siaan, bukanlah ini semua dari pengamalan agama dan Syariah sebenarnya.



Apa dan bagaimana kita menafsirkan ditegaskan oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyah.



Beliau menegaskan, "Syariat Islam pada hakikatnya adalah keadilan, kasih sayang, perlindungan, serta kebijaksanaan Allah swt terhadap para makhluk-Nya yang mencerminkan kewujudan dan kebenaran utusan-Nya, Muhammad saw. Syariat Islam merupakan cahaya Allah yang dengannya manusia dapat melihat, petunjuk yang dengannya manusia memperoleh hidayah, penawar yang menjadi ubat bagi mereka yang sakit…"



Ini lah masyarakat Islam yang yakin diri yang saya harapkan.



Sepanjang krisis Covid-19 pada 2020, kepimpinan agama telah menunjukkan ciri-ciri dan pemikiran agama yang berkeyakinan diri, kreatif, dinamik dan berperikemanusiaan.



Usaha untuk membangun kepimpinan agama berciri demikian akan diteruskan melalui program-program pembangunan berterusan untuk asatizah - Program Sijil Pascasarjana Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), program Pendidikan Berterusan Asatizah (CPE), pembangunan bakat dan kepimpinan asatizah, dan pelbagai usaha lagi.



Ini tidak bermakna kepimpinan agama akan dicorak dengan satu model atau acuan. Keragaman adalah satu kekuatan - tetapi keragaman yang beradab dan penuh dengan rahmat dan kasih sayang.



Ciri-ciri ini perlu juga menjadi karakter atau sifat kita semua sebagai satu masyarakat.



Pendidikan Islam perlu menegaskan kefahaman dan pengamalan yang berprinsip, berkeyakinan diri, dan penuh dengan rahmat, belas dan berperikemanusiaan.



Masyarakat yang yakin diri adalah masyarakat yang beradab. Perbezaan dan keragaman pasti akan berlaku. Tetapi ini semua dalam kerangka adab perbezaan yang mencerminkan budaya luhur, sopan, dan belas dalam masyarakat.



Marilah sama-sama kita menjadi sumber dan agen-agen rahmat dan kebaikan.



Rasulullah saw pernah bersabda, "Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan penutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan penutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya." (Hadis riwayat Ibn Majah).



Kita diberi peluang untuk membina rumah. Dan rumah ini adalah rumah kita.



Pilihlah rumah yang bagaimana yang kita inginkan.




 • Penulis adalah Timbalan Mufti Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >