Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BERSAMA

Kehidupan beragama berprinsip di era endemik Covid

Jul 30, 2021 | 05:30 AM



SAYA boleh dan akan kekal konfiden memelihara prinsip dan nilai agama walaupun dengan segala perubahan dan penyesuaian di era endemik.



Begitulah sikap dan pandangan hidup saya ketika ditanya bagaimana kehidupan beragama kita di era endemik, ketika Covid-19 kekal bersama kita sebagai salah satu realiti kehidupan.



Satu-satunya pemalar, yang tidak berubah, ialah perubahan itu sendiri.



Kadangkala perubahan berlaku secara sedikit-sedikit dan organik tanpa kita sedari.



Kadangkala perubahan berlaku secara mendadak dan drastik.



Perubahan kedua ini yang selalu meninggalkan kesan mendalam kerana ketidaksediaan kita berhadapan dengan "bencana" ini.



Namun, ini berlaku hanya sesekali dalam beberapa generasi.



Pandemik Covid-19 adalah satu perubahan drastik ini.



Ibarat bencana taufan dan air bah, atau letupan besar (Big Bang).



Peribahasa Melayu menegaskan sekali air bah, sekali pantai berubah. Ini bermaksud apabila berlaku perubahan kepada kepimpinan, berlakulah perubahan kepada peraturan.



Pandemik koronavirus ialah air bah besar, satu perubahan yang memaksa kepimpinan untuk merubah.



Beberapa perubahan ini akan meninggalkan kesan jangka panjang. Mungkin sahaja beberapa perubahan ini kekal menjadi norma baru. Ini termasuk dalam kehidupan beragama kita.



Walaupun saya katakan tadi satu-satunya yang tetap dan tidak berubah ialah perubahan itu sendiri, prinsip dan nilai kita tidak berubah. Ini memberi semacam keseimbangan antara ketetapan (constant) dan perubahan (change).



Keseimbangan ini memberi kesinambungan identiti dan kehidupan sosio-agama kita. Prinsip dan nilai tetap ini menjadi pasak kepada kehidupan dan identiti agama kita.



Kita telah melihat perubahan-perubahan ini. Saya menjangka beberapa perubahan ini akan kekal sebagai norma baru. Pantai terus berubah.



Pandemik ini telah jelas meninggalkan kesan dan perubahan mendalam kepada kehidupan dan pemikiran keagamaan kita. Pada satu sudut, kita melihat hikmah di sebalik pengalaman ini.



Antaranya, ia memaksa kita bermuhasabah dan bertanya apa itu intipati dan semangat beragama kita.



Di sinilah pentingnya untuk kita jelas apakah perkara prinsip, pokok dan nilai yang tidak berubah, dan apakah perkara cabang, syarat dan kesempurnaan sesuatu amalan keagamaan dan kehidupan beragama.



Ini memerlukan kepimpinan dan pemikiran agama yang progresif dan sedar (wa'i atau enlightened) untuk mampu membezakan antara prinsip dan nilai daripada perkara cabang, syarat dan kesempurnaan.



Ramai yang berharap keadaan akan kembali kepada norma sebelum Covid. Ini seperti saf yang rapat semasa solat, beramai-ramai mengerjakan solat jemaah/Jumaat, pengajian agama dan sebagainya.



Secara lumrahnya kita ingin kekalkan apa yang sudah menjadi kebiasaan, ingin kurangkan perubahan. Kita berharap kehidupan dan kebiasaan pra-Covid kembali.



Tetapi, kita perlu bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan dan perubahan.



DARURAT DAN DARURIYYAT



Walau berubah amalan dan hukum, prinsip agama dan nilai universal tetap kekal menjadi kompas kehidupan.



Perubahan tidak bermakna kita tidak lagi beribadah atau tidak lagi menunaikan solat dan puasa. Tetapi beberapa caranya mungkin perlu disesuaikan. Hukum ahkam dan beberapa amalan ritual boleh disesuaikan.



Ada yang berhujah, dalam suasana endemik Covid, sudah bukan dikira darurat lagi.



Bagaimana kita perlu melihat kesemua ini dari perspektif Syariah?



Prinsip dan tujuan Syariah ialah memelihara daruriyyat. Ini bukan hanya melakukan sesuatu kerana darurat.



Darurat ialah sesuatu yang bukan biasa atau norma.



Tetapi kita lakukan kerana terpaksa. Tetapi daruriyyat ialah sesuatu kemestian yang perlu dipelihara. Syariah bertujuan memelihara daruriyyat ini, atau apa dikatakan dalam fiqah sebagai lima daruriyyat (al-daruriyyat al-khams). Ini termasuk memelihara agama, nyawa, akal, kemuliaan atau keturunan, dan harta.



Inilah yang perlu dijelaskan dan dibezakan. Memelihara nyawa adalah antara daruriyyat dan prinsip Syariah. Kita tidak boleh melakukan sesuatu, walaupun amal ibadah sekalipun, yang akan membahayakan nyawa atau daruriyyat yang lain.



Kita perlu memahami agama lebih daripada hanya ritual dan amalan, tetapi prinsip dan tujuan.



IBADAH HAJI



Kewajipan haji adalah kewajipan bersyarat. Syaratnya ialah kemampuan. Ini termasuk kemampuan si pelaksana haji dari segi kewangan, kesihatan dan juga keselamatan.



Tempat haji dihadkan bagi memberi keselamatan kepada para jemaah haji. Ini semua dipandu oleh prinsip dan tujuan Syariah, antaranya prinsip memelihara agama dan nyawa. Kewajipan haji tidak boleh tertunai jika syarat dan prinsip ini tidak tertunai.



Keadaan ini juga mendorong kita merancang lebih awal, dari segi kewangan, kesihatan, mental dan ilmu. Di sini juga pentingnya kita mengambil vaksin yang akan mempermudahkan lagi urusan seperti semasa keberangkatan dan menjaga kesihatan dan keselamatan kita.



Secara kolektif sebagai satu masyarakat, kita boleh fikirkan penyelesaian-penyelesaian kreatif untuk membantu menunaikan kewajipan ini.



IBADAH KORBAN



Ibadah korban berkait rapat dengan haji. Sudah dua tahun kita terpaksa melakukan korban di luar negara.



Adakah ini jalan keluar terbaik untuk ibadah tersebut bagi jangka panjang?



Bagaimana kita memelihara syiar ibadah korban di musim haji?



Sebagai satu masyarakat, perlukah kita menilai semula amalan-amalan sebegini, contohnya, dengan mengalirkan dana korban bernilai jutaan dolar kepada ibadah yang lebih memberikan faedah jangka panjang kepada masyarakat Islam?



Ini adalah soalan-soalan sah dan penting.



Kita memahami ibadah korban adalah antara syiar musim haji yang kita usaha untuk memelihara. Tetapi, amalan ibadah spesifik, memelihara syiar Islam dan hukum ahkam mengenainya, perlulah diimbangi dan dipandu oleh prinsip dan tujuan-tujuan Syariah.



Kita tidak boleh melakukan amalan ibadah yang membahayakan nyawa dan harta kita. Dan kita tahu akibat dan bahaya Covid pada nyawa, harta dan sebagainya.



Kita jangan bataskan peluang-peluang dan pintu-pintu kebaikan yang luas. Nilai dan tujuan ibadah korban ialah kesediaan mengorbankan apa yang kita miliki demi kebaikan orang lain. Melakukan sesuatu kerana taat kepada Allah swt.



Kita perlu terus hidupkan tujuan dan nilai ibadah korban ini. Walaupun mungkin kita tidak mampu melakukan amalan penyembelihan yang kita sudah biasa dengannya.



Dalam perkara penyembelihan korban, Allah swt tegaskan, "Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu. Demikianlah Dia menundukkannya untuk mu agar kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang Dia berikan kepadamu. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (Qur'an, al-Hajj: 37)



Intipati dan nilai korban ialah takwa di hati dan melakukan kebaikan (ihsan) kepada semua makhluk Tuhan.



Bersedia berkorban demi kebaikan orang lain. Ini termasuk mengorbankan keinginan, ego dan keangkuhan kita.



Semua ini sebagai tanda taat kepada Allah swt dan mengagungkan-Nya.



Inilah semangat dan tujuan korban seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang diperintah menyembelih anaknya, yang kemudian digantikan dengan haiwan untuk dikorban.



Syukurilah segala nikmat dan anugerah Allah swt termasuk kesihatan, keselamatan, kedamaian dan petunjuk Allah swt.



Inilah nilai dan semangat korban yang perlu kita terus tegakkan.



Pelbagai kebaikan dan ihsan yang masih boleh kita lakukan. Jangan bataskan pintu-pintu kebaikan dan ihsan ini.



Apakah kita tidak akan dapat melihat upacara korban di Singapura lagi?



Dalam hal ini, kita perlu menilai keadaan dan konteks masa itu. Pertimbangan prinsip dan tujuan perlu dibuat.



Terdapat kaedah fiqah dałam Islam yang menyatakan, apabila berlaku kesempitan, kita luaskan dan permudahkan. Dan apabila sudah berlaku kemudahan berlebihan, kita sempitkan dan kawal.



Pertimbangan-pertimbangan ini perlu dibuat sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa.



Ia juga tidak bermakna ia akan terus kekal seperti itu. Di sinilah keanjalan kehidupan beragama kita. Kita tidak jumud atau kaku. Kondisi-kondisi ini perlu dipertimbangkan dan dibuat keputusan sewajarnya.



KESIMPULAN



Walaupun Covid telah banyak menimbulkan cabaran dan kesan ke atas pelbagai sudut sosio-agama kita, ia juga telah membantu kita untuk memikirkan semula cara atau amalan yang selama ini kita lakukan.



Kepimpanan agama dan masyarakat perlu terus bekerjasama, melakukan anjakan minda, mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran ini, mengimbangi antara amalan ritual, hukum ahkam dan syiar, dengan memahami intipati agama serta dipandu prinsip dan tujuan-tujuan Syariah.



Semua ini demi memelihara kehidupan beragama yang bermakna, berprinsip dan bertujuan.




Walaupun Covid telah banyak menimbulkan cabaran dan kesan ke atas pelbagai sudut sosio-agama kita, ia juga telah membantu kita untuk memikirkan semula cara atau amalan yang selama ini kita lakukan. Kepimpanan agama dan masyarakat perlu terus bekerjasama, melakukan anjakan minda, mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran ini, mengimbangi antara amalan ritual, hukum ahkam dan syiar, dengan memahami intipati agama serta dipandu prinsip dan tujuan-tujuan Syariah. Semua ini demi memelihara kehidupan beragama yang bermakna, berprinsip dan bertujuan.
- Penulis.




  • Penulis Timbalan Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >