Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kehidupan seorang Muslim sejati

Jul 04, 2021 | 05:30 AM



RAMAI di antara kita mengaku diri sebagai orang Islam atau Muslim, sebab umum ialah kerana kita dilahirkan sebagai seorang Islam?



Sebenarnya tidak cukup seseorang itu mengaku sebagai seorang Islam tanpa memahami erti sebenar sebagai Muslim.



Apabila kita memahaminya, kita akan sedar Islam bukan sekadar satu agama bahkan merupakan satu manual kehidupan bagi seluruh insani.



Islam adalah agama yang cukup sempurna dan tiada kecacatan terhadapnya.



Sebagai seorang Muslim, kita dituntut beragama secara sempurna kerana kesempurnaan dalam agama dapat memudahkan kita mencari jalan menuju keredaan Ilahi.



Ini juga boleh difahami dan ditafsirkan sebagai Muslim sejati.



Dalam Al-Quran, Allah swt menceritakan apa dimaksudkan sebagai Muslim yang sejati.



Antara lain, dalam surah Al-Fussilat:33, Allah swt berfirman:



"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, "Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)?"



SIFAT-SIFAT TERPUJI



Ayat di atas mengkategorikan Muslim sejati iaitu mereka yang memiliki beberapa sifat yang terpuji.



Pertama, ucapan dan lisan yang dilafazkan selalunya baik atau 'ahsanu qaula'. Antara sifat Muslim sejati adalah mereka yang selalu berbicara elok dan menghindari diri daripada berbicara yang sia-sia atau menyakitkan hati dan perasaan orang lain.



Sifat seterusnya adalah mengajak teman-teman atau keluarganya untuk terus taat kepada perintah Allah swt.



Seorang Mukmin sejati akan selalu mengajak kepada kebaikan, beribadah, dan berbuat perkara yang positif bagi diri sendiri dan mereka yang berada di sekelilingnya.



Satu lagi ialah selalu melakukan amalan soleh.



Selain perkataannya baik dan selalu mengajak pada agama Allah swt, Muslim sejati bertindak dengan kebaikan - tidak pernah berbuat amalan yang bertentangan dengan syarak. Dia selalu beramal soleh di mana pun dia berada.



Bukti ciri di atas yang menjadi sifat seorang Muslim itu dapat dilihat pada akhir ayat tersebut yang berbunyi - Innani minal Muslimin yang bermakna, "sungguh aku benar-benar sebagai Muslim".



Penggunaan kata-kata tersebut sungguh memberi maksud kesejatian seorang Muslim.



Dari aspek lain, Muslim sejati juga adalah mereka yang tabah dalam menghadapi cabaran hidup, tidak pernah mengeluh, malah menjadi antara hamba Allah yang sangat bersyukur atas segala nikmat, mahu pun dugaan yang dikurniakan kepadanya; hatinya suci bersih daripada segala dosa dan maksiat; hidupnya semata-mata untuk Allah swt dan sentiasa mencari keredaan-Nya.



Dia melaksanakan perintah Allah swt dengan sepenuh hati, menghayati firman-Nya, "Katakanlah: sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam" (Al-An'am:162).



TIDAK LALAI CINTAI DUNIAWI



Hidup seorang Muslim sejati tidak dilalaikan dengan kecintaan terhadap dunia dan takut akan kematian.



Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad saw apabila ditanyakan oleh seorang sahabat, "Ya Rasulullah, apakah wahn itu?" Rasulullah bersabda, terlalu cinta kepada dunia dan takut terhadap mati". (HR Abu Dawud dan Al-Baihaqi dari Tsauban).



Tidak dinafikan dalam keadaan dunia sekarang, ramai orang Islam bingung di antara keperluan dan kemahuan dalam kehidupan.



Tetapi kita perlu tahu bahawa dunia ini adalah persinggahan sementara dan kita bakal menuju ke akhirat yang kekal abadi.



Kita perlu faham bahawa fasa dunia ini tidak boleh dipisahkan kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan kita.



Namun yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana kita menghadapi dunia ini agar diri kita sentiasa menuntut ke arah mencari keredaan Tuhan semata-mata.



Ini kerana tidak ada perkara yang terlepas daripada perhitungan Allah swt, dan semuanya pasti akan berbalik kepada-Nya.



Pastinya dunia akan dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan rintangan, seperti yang telah dikisahkan bahawa Umar Al-Khatab pernah berkata dunia ini ibarat sebatang jalan yang penuh dengan duri, apabila kita berjalan perlu berhati-hati supaya kita sampai di penghujungnya dengan selamat.



Ambillah masa untuk melihat ke belakang sejauh mana telah kita melatih dan membaiki diri kita ke arah menjadi Muslim sejati, kerana perkara ini sangat diperlukan dalam menghadapi dunia yang dipenuhi dengan onar dan duri.



Dengan memahami manual insani yang betul, pastinya ia akan memudahkan kita menjalaninya dengan baik, dalam apa keadaan juga. Bak kata orang bijak pandai, "jadilah seperti ikan di lautan walaupun air lautnya masin, ia tidak sedikit pun ia membuat ikan itu masin".



Mari kita membina diri kita ke arah Muslim sejati dan selalu bermohon agar kita sentiasa mendapat bimbingan dan perlindungan Allah swt.



Dan persiapkanlah diri agar kita mampu menghadapi segalanya dengan baik, kerana tiada yang mampu terlepas daripada pandangan-Nya.




 • Penulis merupakan Ketua Jabatan Penglibatan Masyarakat Dan Dakwah di Masjid Darul Aman




Muslim sejati



 • Pertama, ucapan dan lisan yang dilafazkan selalunya baik atau 'ahsanu qaula'.

 • Sifat seterusnya adalah mengajak teman-teman atau keluarganya untuk terus taat kepada perintah Allah swt.

 • Satu lagi ialah selalu melakukan amalan soleh. Selain perkataannya baik dan selalu mengajak pada agama Allah swt, Muslim sejati bertindak dengan kebaikan - tidak pernah berbuat amalan yang bertentangan dengan syarak.

 • Dari aspek lain, Muslim sejati juga adalah mereka yang tabah dalam menghadapi cabaran hidup, tidak pernah mengeluh, malah menjadi antara hamba Allah yang sangat bersyukur atas segala nikmat, mahu pun dugaan yang dikurniakan kepadanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >