Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kelebihan doa seorang ibu

May 20, 2022 | 05:30 AM



TERDAPAT tiga golongan yang disebutkan Rasulullah saw yang tidak ditolak doanya. Salah satunya adalah doa seorang ibu buat anaknya, tulis Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim kepada Berita Harian.



Beliau memetik sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibu bapa untuk anaknya." (HR Ibn Majah).



Menerangkan demikian sempena Hari Ibu, yang disambut baru-baru ini, Ustazah Khairunnisaa, Eksekutif, Kepimpinan Keagamaan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas), berkata:



"Hal ini kerana seorang ibu mempunyai keutamaan dan diangkat darjatnya. Berbakti kepada ibu bapa merupakan antara ibadah yang besar setelah tauhid kepada Allah swt.



"Dalam Al-Quran, Allah swt memerintahkan hamba-Nya supaya berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa setelah suruhan menyembah Allah tanpa sekutu.



"Doa seorang ibu juga penuh dengan keikhlasan dan ketulusan buat anak yang dikandung, dilahirkan, disusukan dan dibesarkan. Doa yang ikhlas ini juga menjadi antara sebab ia diperkenankan."



Beliau memetik kisah tauladan doa ibu Nabi Musa as ketika terdesak melindungi anaknya daripada dibunuh, lalu menghanyutkan anaknya bersama arus Sungai Nil, di Mesir, sambil bermohon dan berdoa dengan penuh keyakinan agar Allah swt melindungi anaknya.



Dengan kuasa Allah swt, walaupun Firaun ingin membunuh setiap bayi lelaki, Nabi Musa as diselamatkan dan membesar di bawah jagaan isteri Firaun sendiri, Asiyah, sehingga dijadikan putera kedua Firaun.



"Oleh demikian, selagi mana kita mempunyai seorang ibu, kita perlu mengambil setiap peluang yang ada untuk memohon doa daripada ibu kita dan sentiasa menjaga hati ibu daripada diguris atau disakiti agar kita beroleh keberkatan daripada doanya.



"Mungkin kerana inilah ramai orang tua sering mengingatkan 'tidak berkat hidup kalau menyakiti ibu'.



"Ini boleh bermaksud anak yang menyakiti ibu tidak mendapat keberkahan daripada doa seorang ibu, sebaliknya seorang ibu mungkin terlintas ucapan-ucapan ataupun permohonan yang tidak baik buat si anak hasil dari hati yang sedang terluka," katanya.



Oleh itu, pada masa yang sama, Ustazah Khairunnisaa menggalakkan ibu-ibu supaya sentiasa mendoakan yang baik buat anak-anak.



"Ibu-ibu juga perlu sentiasa berhati-hati dalam ucapan yang dikeluarkan buat anak-anak, terutama ketika marah.



"Sebaiknya dan semampu mungkin, elakkan daripada mengucapkan perkara yang tidak baik seperti 'anak degil!', 'lembab' dan sebagainya.



"Sebaliknya, berusahalah menggantikan dengan kata-kata yang baik dengan harapan ia menjadi doa yang dikabulkan Allah swt.



"Contoh yang baik adalah seperti ungkapan 'anak bertuah' yang digunakan orang tua buat anak mereka ketika marah," tambah beliau.



Malah, ibu-ibu, kata Ustazah Khairunnisaa, perlu merebut peluang yang diberikan ini untuk sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan anak-anak.



Antara doa yang boleh diamalkan, tambah beliau, adalah:



  • Berdoa agar anak menjadi penyejuk mata
    "Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata 'ayun waj'alna lil muttaqina imama."

  • Berdoa agar anak sentiasa mendirikan solat
    "Rabbij'al ni muqimas sola wa min zurriyyati rabbana wataqabbal du'a."

  • Berdoa agar mendapat zuriat yang baik
    "Rabbi hab li min ladunka zurriayatan toyyibatan innaka sami'ud du'a."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >