Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kelebihan zakat pada individu... dan masyarakat keseluruhan

Pengaruh dan kekuatan zakat tidak harus dipandang remeh
Jan 20, 2022 | 05:30 AM



ZAKAT penting kerana ia memberi manfaat bukan hanya kepada individu yang memerlukan bahkan masyarakat secara keseluruhannya.



Pengaruh dan kekuatan zakat tidak harus dipandang remeh.



Ia adalah institusi yang luar biasa yang bertujuan untuk mengubah masyarakat. Bayangkan ini: Jika hanya 100 orang terkaya di dunia yang membayar zakat, itu akan berjumlah berbilion dolar!



Kutipan yang besar boleh membantu mengangkat banyak orang daripada kemiskinan. Tentunya kesan yang lebih besar akan dirasakan jika semua pihak menghulurkan bahagian masing-masing.



Pendakwah mapan, Ustaz Mohamad Haji Rais, ketika diminta pandangannya mengenai kepentingan zakat mengingatkan bahawa zakat adalah salah satu rukun Islam.



"Keterangan tentang kedudukan zakat itu sebagai rukun Islam disebutkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar ra. Kedudukan ini dikuatkan dengan sokongan Al-Quran yang mana Allah mewajibkan kaum Muslimin mengeluarkan zakat dan melarang mereka daripada tidak mengeluarkannya," ujar beliau.



Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat" (Ayat 43 surah Al Baqarah). Firman Allah: "Dan mereka yang tidak mengeluarkan zakat, mereka di akhirat (kelak) mereka ialah (dikira) orang-orang kafir" (Ayat 7 surah Fussilat).



Ayat pertama adalah dalil kewajipan zakat. Ayat yang kedua menerangkan bahawa mereka yang sengaja tidak mahu mengeluarkan zakat dikira sebagai orang-orang kafir.



Hukum mengeluarkan zakat ialah fardu ain. Setiap Muslim diwajibkan mengeluarkan zakat.



Ustaz Mohamad Rais menjelaskan zakat yang diwajibkan itu ialah dua jenis - zakat fitrah dan zakat harta.



Zakat fitrah diwajibkan setahun sekali bermula dari awal Ramadan hingga sebelum solat Hari Raya Puasa pada 1 Syawal. Kadar kewajipan zakat fitrah ialah sekadar makanan sehari pada Hari Raya untuk fakir miskin dan golongan yang berhak.



Zakat harta diwajibkan setahun sekali juga bergantung kepada nisab yang dimiliki oleh seseorang itu. Di Singapura, kadar zakat fitrah akan ditetapkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Zakat harta yang diwajibkan ialah pada kadar 2.5 peratus sahaja daripada jumlah harta yang ada pada pemiliknya selama satu tahun (haul).



"Di antara rukun-rukun Islam yang lima, zakat sahaja yang mengandungi ibadah untuk diri orang yang mengeluarkannya dan untuk orang lain. Orang lain yang dimaksudkan itu ialah selain pengeluarnya atau pemiliknya sama ada sebagai individu atau majmuk iaitu masyarakat," kata Ustaz Mohamad Rais.



Beliau turut memberi contoh bagaimana zakat dapat membantu masyarakat.



Di negara Islam seperti di Mesir umpamanya, institusi zakat ia digunakan untuk membantu orang-orang yang berhak, di samping digunakan untuk pendidikan dan lain-lain keperluan negara itu.



Universiti Al-Azhar umpamanya dibangun dan ditadbir menggunakan wang zakat orang-orang Islam dan wakaf mereka di sana.



Pendidikan di universiti tersebut diberi secara percuma kepada semua pelajar, warga Mesir atau warga asing.



"Hikmah kewajipan harta ialah untuk digunakan bagi membantu institusi-institusi agama khususnya, pelajaran, kebajikan (seperti hospital), menolong golongan fakir, miskin dan mereka yang menghadapi kesusahan supaya mereka dapat terus hidup dan merasai nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka.



"Maka dengan ini mereka akan bersyukur kepada Allah di atas rezeki yang mereka dapat di samping mereka akan dapat pahala daripada Allah.



"Sebab itulah zakat ialah suatu perkara yang sangat penting bagi orang Islam khususnya dan masyarakat manusia umumnya.



"Lebih-lebih lagi untuk agama. Masjid-masjid, guru-guru agama, penuntut-penuntut agama tidak akan menunaikan khidmat-khidmat yang baik tanpa bantuan zakat. Fakir miskin, mualaf memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan mereka di bawah bendera Islam," ujar beliau.



Agama Islam mewajibkan Muslim bersikap tolong-menolong antara mereka. Kewajipan ini dapat diterjemahkan dengan mengeluarkan zakat dan menggunakan wang zakat untuk menolong mereka.



Allah swt berfirman yang maksudnya: "Bertolong-tolonganlah kamu atas kebajikan dan takwa, janganlah kamu bertolong-tolongan atas dosa dan permusuhan." (Ayat 2 surah Al Maidah)



Kewajipan zakat menjadi petunjuk supaya setiap manusia tidak membolot harta untuk dirinya sendiri sahaja.



"Dalam masyarakat kita di Singapura, harta yang patut dikeluarkan (sama ada zakat fitrah atau harta) ialah tertentu kepada wang daripada gaji atau pendapatan kita.



"Oleh itu, mereka yang mempunyai kelebihan wang yang melebihi nisab atau sampai kadar nisab yang ditentukan oleh agama, mereka diwajibkan mengeluarkan sebahagian harta mereka yang terkumpul selama setahun (sampai haul) untuk dikeluarkan kepada Muis (sebagai amil utama) yang akan mentadbir wang zakat dengan sebaik-baiknya bagi menolong kaum Muslimin menunaikan zakat mereka," jelas beliau.



Pihak Muis melantik amil bagi memungut wang zakat untuk dibahagi kepada mereka yang berhak.



"Muis lebih maklum akan orang-orang yang berhak, berbanding orang perseorangan yang tidak tahu mengetahui mana-mana saluran yang patut diberikan untuk penggunaan wang zakat itu.



"Oleh itu, sebaik-baiknya kita serahkan kepada amil supaya mudah harta zakat itu diberi kepada mereka yang berhak dan kita yakin dengan pentadbiran Muis," jelas Ustaz Mohamad Rais lagi.



Zakat juga membantu memulihkan ekonomi masyarakat dan individu.



Umpamanya, seorang ustaz yang berpendapatan rendah, apabila menerima zakat, sedikit sebanyak mendapat kelegaan, dan dapat meneruskan kewajipan dakwahnya dengan baik.



Allah swt tidak menyukai orang yang bakhil, kedekut dan mementingkan diri sendiri.



Firman Allah yang bermaksud: "Bahkan ia adalah buruk bagi mereka, mereka akan dikalungkan (disiksakan) dengan harta yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak." (Ayat 180 surah Aali Imran)



"Saya menyeru supaya mereka yang diwajibkan mengeluarkan zakat tidak bertangguh-tangguh mengeluarkan zakat fitrah dan zakat harta kepada para amil yang dilantik Muis supaya wang zakat itu cepat diterima oleh mereka yang berhak menerimanya tanpa ragu atas ke mana wang itu disalurkan sebenarnya.



"Bersyukurlah kepada Allah swt atas nikmat-nikmat yang kita terima dan usah lupakan kewajipan yang menjanjikan pahala untuk anda dan berguna untuk orang lain," kata Ustaz Mohamad Rais.




USAH TANGGUH-TANGGUHKAN ZAKAT JIKA MAMPU DAN CUKUP HAUL



Hikmah kewajipan harta ialah untuk digunakan bagi membantu institusi-institusi agama khususnya, pelajaran, kebajikan (seperti hospital), menolong golongan fakir, miskin dan mereka yang menghadapi kesusahan supaya mereka dapat terus hidup dan merasai nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka. Maka dengan ini mereka akan bersyukur kepada Allah di atas rezeki yang mereka dapat di samping mereka akan dapat pahal daripada Allah. Sebab itulah zakat ialah suatu perkara yang sangat penting untuk orang-orang Islam khususnya dan masyarakat manusia umumnya."
- Ustaz Mohamad Haji Rais.




KATA HIKMAH ULAMA



“Setiap orang di dunia ini adalah seorang tamu, dan wangnya adalah pinjaman. Tamu itu pastilah akan pergi, cepat atau lambat, dan pinjaman itu haruslah dikembalikan.”
– Ibnu Mas’ud



“Cintailah kekasihmu sekadarnya saja, siapa tahu nanti akan jadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu sekedarnya saja, siapa tahu nanti akan jadi kekasihmu.”
– Ali bin Abi Thalib




SEKILAS BIODATA



Ustaz Mohamad Haji Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >