Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kenal Allah, kenal diri

Sep 02, 2022 | 05:30 AM



FITRAH seorang manusia adalah untuk mengenal Penciptanya.



Akal dan hati yang cenderung pada kebenaran sudah tentu akan bertemu jalan sebenar manakala hidup tanpa fitrah akan lebih mudah terpesong dan terhumban ke dalam kancah kerosakan.



Oleh itu, fahamilah fitrah yang ditentukan Allah swt kerana keengganan berbuat demikian akan menggelincirkan kita ke lembah kehinaan.



Sebenarnya, krisis keyakinan dan akidah yang longgar menjadi penyebab utama seseorang begitu mudah goyah.



Malah dewasa ini fenomena melawan fitrah dan mencabar ketentuan Allah swt sudah sampai pada tahap kritikal yang sangat membimbangkan.



Maka ketandusan ilmu dan kegersangan iman perlu diperbaiki segera. Ia harus dikukuhkan dengan pengetahuan akidah, akhlak dan sirah bagi merungkai pelbagai kekeliruan dan menjauhkan diri daripada kesesatan. Hanya dengan mengenali Rab yang mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian, maka tidak akan ada lagi hidup tanpa arah atau mendabik dada dengan dosa.



Firman Allah swt: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu agamamu." (Surah al-Maidah, ayat 3)



Hakikat hamba



Sebagai Muslim, tetaplah berpegang kepada prinsip asas yang mendasari agama. Percaya bahawa semua hukum Allah s.w.t adalah bertujuan untuk mensejahterakan. Inilah yang dimaksudkan dengan maqasid syariah.



Apabila keutamaan diberi pada menjadi hamba Allah swt yang taat, dengan sendirinya kita dapat memperbaiki diri. Dan apabila keutamaan diberi pada menjadi khalifah yang bermanfaat, dengan sendirinya kita dapat meningkatkan harga diri.



Rasulullah saw pernah mengingatkan umatnya, "Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat selagi berpegang teguh pada kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku." (Hadis riwayat Imam al-Hakim)



Jadikan Islam matlamat dan cara hidup. Sekiranya seorang hamba itu mengingati Allah swt di kala senang, sihat dan lapang, sudah tentu Allah swt akan membantunya sewaktu dilanda masalah dan kebuntuan.



Percayalah, Allah swt tidak akan pernah meninggalkan hamba-Nya malah hamba yang sejati juga akan sentiasa bersama Tuhannya. Dia mengerti bahawa Allah swt bukan sekadar dijadikan sebutan dan ingatan pada majlis kematian atau kenduri kesyukuran. Dia memahami bahawa Islam bukan sekadar alat untuk mengecapi kemewahan atau kepentingan diri.



Nilai 1: Ilmu



Allah swt berjanji akan memudahkan laluan ke syurga bagi sesiapa yang melalui jalan menuntut ilmu.



Sabda Nabi saw: "Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah swt akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga." (Hadis Riwayat Muslim)



Bahkan, tiada sesiapa yang mampu menghalang andai Allah swt telah memilihnya untuk berada dalam hidayah. Yakinlah bahawa pada setiap ketaatan pasti ada kebaikan dan pada setiap pelanggaran akan mendatangkan kemudaratan.



Justeru, setiap Muslim perlu mempelajari dan mengemaskini ilmu dari masa ke masa supaya kekal dalam kecerdikan bagi membezakan yang baik dan buruk, yang halal dan haram, mahu pun yang benar dan yang batil.



Nilai 2: Iman



Tingkatkan iman dengan mengingati Allah swt melalui zikir. Ia umpama menanam pasak yang kukuh dalam sistem kepercayaan beragama. Orang yang beriman tidak akan tergamak mengkhianati keyakinannya kepada Tuhan dengan melanggar batasan dan sempadan yang ditetapkan.



Kalimah tauhid seperti istighfar dan syahadah perlu sentiasa diperbarui untuk menguatkan jiwa. Rasa putus asa dan kecewa harus dikekang kerana ia hanya akan membuka ruang buat syaitan menghasut dengan bisikan halus agar mengikut hawa nafsu.



Nilai 3: Amal



Hubungkan diri dengan Pencipta melalui ibadah wajib. Perlahan-lahan secara konsisten, raih pula perhatian Allah swt melalui ibadah sunat. Kemudian, seiringkan pakej ibadah yang lengkap ini dengan perbuatan dan tindakan yang matang dalam kebaikan.



Lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Inilah keutamaan tertinggi bagi kita sebagai hamba kerana di sinilah terletaknya nilai hidup kita; mulia atau hina, bahagia atau duka.



Nilai 4: Ambil Iktibar



Al-Quran merupakan penawar dan ketenangan bagi jiwa. Selain mendapat pahala berganda, pengajaran daripada kisah umat terdahulu juga amat membantu. Yang kekal dalam kebaikan pasti diberi balasan sebaiknya manakala yang angkuh dalam kemaksiatan akan hancur dibinasakan.



Kisah teladan dan pengajaran seperti ini patut dijadikan motivasi dan iktibar agar kebaikan boleh dicontohi dan kebodohan tidak diulang. Ia juga sebagai terapi rohani yang menyirami hati dengan kesegaran dan keinsafan.



Nilai 5: Ambil Peduli



Libatkan diri dengan aktiviti bermanfaat dan alihkan perhatian daripada perkara yang melalaikan. Ambil peluang menjadi aktif dalam aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan kesukarelawan.



Usah dilayan perasaan dan khayalan yang tidak berkesudahan. Lakukan apa sahaja yang baik, dampingi kawan yang sudi membantu dan pilih persekitaran yang menginspirasikan. Jangan benarkan diri dipengaruhi unsur negatif.



Akhir kata, hidup adalah pilihan. Bangkit! Jangan hanyut dalam fantasi lalu lemas dibawa arus hawa nafsu. Islam telah disempurnakan dan dilengkapi dengan segala nikmat.



Sebagai hamba, tingkatkan diri dengan nilai takwa dan istiqamah. Malah sesiapa yang berpegang dengannya, sesungguhnya dia telah memilih untuk bahagia dunia dan akhirat.



Hidupkan semula hati yang rapuh, fungsikan iman supaya teguh, tegakkan Islam tanpa angkuh dan budayakan adat bersendi syariat.



Firman Allah swt yang bermaksud; "Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini." (Surah al-Jaatsiyah, ayat 20)



Semoga Allah swt memelihara kita semua daripada fitnah akhir zaman. Iman sentiasa terjaga dan akhlak terus terpelihara. Apabila kepentingan hak Allah swt dan agama-Nya diutamakan, pasti segala niat dan usaha dipermudahkan.



Semoga kita mati dalam iman sebagaimana yang sering didoakan.




“Akhir kata, hidup adalah pilihan. Bangkit! Jangan hanyut dalam fantasi lalu lemas dibawa arus hawa nafsu. Islam telah disempurnakan dan dilengkapi dengan segala nikmat.

Sebagai hamba, tingkatkan diri dengan nilai takwa dan istiqamah. Malah sesiapa yang berpegang dengannya, sesungguhnya dia telah memilih untuk bahagia dunia dan akhirat.

Hidupkan semula hati yang rapuh, fungsikan iman supaya teguh, tegakkan Islam tanpa angkuh dan budayakan adat bersendi syariat.’’

- Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang. 




SEKILAS BIODATA



Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan mantan Pengurus Masjid An-Nur. Beliau juga adalah penulis buku ‘Silat & Solat’.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >