Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kisah di sebalik kalendar Islam

Feb 19, 2021 | 05:30 AM



SEKITAR 17 tahun selepas hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah, Abu Musa al-Asy'ari, seorang sahabat baginda yang ditugaskan di Basrah (Iraq) oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab, menerima beberapa surat rasmi daripada Khalifah.



Seperti biasa, surat-surat rasmi tersebut hanya mengandungi hari bulan dan bulan, tetapi tiada tahun.



Ini adalah kerana orang Arab ketika itu tidak mempunyai pengiraan tahun yang rasmi.



Ramai daripada mereka masih lagi buta huruf, maka mereka tidak meletakkan kepentingan menentukan bilangan tahun.



Ketiadaan tahun dalam surat-surat daripada Khalifah Umar menyebabkan Abu Musa ragu-ragu mana satukah perintah Khalifah yang perlu didahulukan. Maka beliau mengutus surat kepada Khalifah mohon keterangan.



Sebaik sahaja menerima surat daripada Abu Musa, Khalifah Umar sedar betapa pentingnya sistem kalendar untuk urusan pentadbiran negara.



Maka beliau dengan segera mengumpulkan beberapa sahabat terkemuka Rasulullah saw untuk membincangkan bilakah tahun kalendar umat Islam sepatutnya bermula.



Dalam mesyuarat tersebut, ada sahabat menyarankan agar dimulakan dengan tahun kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana kelahiran Rasulullah saw ke dunia merupakan rahmat bagi sekalian alam.



Namun, saranan ini tidak dipersetujui oleh Khalifah Umar dan sahabat yang lain.



Tahun pertama kalendar umat Islam mestilah berdasarkan peristiwa yang ramai tahu dengan yakin bila ia berlaku.



Malangnya, ketika tersebut, semua yang menyaksikan kelahiran Rasulullah saw sudah pun meninggal dunia. Maka tiada yang dapat berikan kepastian berapa tahun sudah berlalu semenjak kelahiran baginda.



Maka timbul saranan alternatif iaitu menjadikan tahun Rasulullah saw pertama kali terima wahyu sebagai tahun pertama. Peristiwa penting ini menandakan permulaan agama Islam menyinari alam.



Namun, saranan ini juga tidak dipersetujui oleh yang lain kerana ketidakpastian bilakah ini berlaku. Ada sahabat berpendapat bahawa ia berlaku ketika umur baginda 39 tahun. Ada yang menyatakan 40 tahun.



Memandangkan dua cadangan tersebut tidak diterima maka ada yang menyarankan agar tahun kewafatan Rasulullah saw dijadikan sebagai tahun pertama kalendar Islam. Ini adalah kerana semua umat Islam tahu bilakah baginda wafat.



Akan tetapi Khalifah Umar menolaknya kerana tidak sesuai memulakan tahun Islam dengan peristiwa yang amat menyedihkan.



Akhirnya, timbul saranan agar dijadikan tahun Rasulullah saw tiba di Madinah sebagai tahun pertama. Tambahan pula, para sahabat secara umumnya sudah pun mengira tahun bermula daripada peristiwa yang menggembirakan itu.



Saranan terakhir ini dipersetujui oleh semua yang hadir. Maka Khalifah Umar memerintahkan agar kalendar Islam dimulakan dengan tahun hijrah Rasulullah saw.



NAMA BULAN



Seperti kalendar Masihi, satu tahun dalam kalendar Islam juga mempunyai 12 bulan.



Jumlah ini bukanlah ciptaan umat Islam. Ia adalah sesuatu yang semula jadi.



Semua tamadun terima hakikat ini, termasuk masyarakat Arab. Malah mereka juga jadikan empat bulan sebagai bulan yang suci dengan mereka mengharamkan diri mereka daripada berperang.



Al-Quran menyatakan ini dalam surah Taubah, ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya jumlah bulan di sisi Allah ialah 12 bulan sebagaimana dalam ketetapan Allah pada waktu Dia ciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram.



Orang Arab juga telah tetapkan nama bagi setiap daripada 12 bulan tersebut.



Tetapi satu perkara yang menarik ialah pemberian nama-nama bulan ini tidak berlaku serentak.



Sebaliknya, ia adalah persetujuan masyarakat Arab dalam tempoh masa yang lama.



Lihat sahaja susunan nama bulan. Bulan Rabiulakhir diikuti dengan bulan Jamadilawal. Dalam bahasa Arab, Rabi' ialah musim bunga. Sedangkan Jamadi bermaksud beku.



Maka nama Rabiulawal dan Rabiulakhir kemungkinan besar diberikan ketika musim bunga. Dan nama Jamadilawal dan Jamadilakhir kemungkinan besar diberikan ketika musim sejuk.



Kita sedia maklum bahawa musim bunga hanya berlaku selepas musim sejuk. Sedangkan dalam susunan nama bulan untuk kalendar Arab, bulan Rabiulakhir adalah sebelum bulan Jamadilawal.



Mustahil musim sejuk berlaku selepas musim bunga.



Maka jelas di sini bahawa pemberian nama-nama bulan berlaku dalam tempoh masa yang lama sehinggalah semua orang Arab dapat menerimanya.



BULAN PERTAMA



Orang Arab juga bersetuju bahawa setiap tahun perlu bermula dengan bulan Muharam.



Tiada yang pasti sebabnya. Mungkin ia terbit daripada keinginan orang Arab untuk memulakan kehidupan baru dengan azam yang baru setelah pekerjaan haji mereka.



Ibadat haji telah dilakukan oleh orang Arab pada bulan Zulhijah semenjak zaman Nabi Ismail as lagi.



Bulan Zulhijah diikuti dengan bulan Muharam. Mungkin ini yang mendorong mereka menjadikan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam tahun mereka.



  • Penulis ialah Pengurus Pusat Pengajian Darul Huffaz.


12 NAMA BULAN DALAM KALENDAR ISLAM BERSERTA MAKNANYA



MUHARAM



Bermaksud yang diharamkan. Dinamakan sedemikian kerana orang Arab mengharamkan diri mereka daripada berperang sesama sendiri dalam bulan ini. Mungkin sebagai penghormatan kepada jemaah haji yang mula pulang ke kampung masing-masing selepas menunaikan haji.



SAFAR



Bermaksud yang kosong. Dinamakan sedemikian kerana orang Arab mula berperang sesama sendiri dalam bulan ini. Yang menang akan merampas semua harta dalam rumah mereka yang kalah sehingga rumah itu kosong daripada perkakas dan hartanya.



RABIULAWAL



Bermaksud musim bunga pertama.



RABIULAKHIR



Bermaksud musim bunga akhir.



JAMADILAWAL



Bermaksud musim sejuk pertama.



JAMADILAKHIR



Bermaksud musim sejuk kedua.



REJAB



Bermaksud kemuliaan. Dinamakan sedemikian kerana bulan ini dimuliakan oleh orang Arab. Mereka tidak berperang dalam bulan ini.



SYAABAN



Bermaksud taburan. Dinamakan sedemikian kerana orang Arab bertaburan di padang pasir untuk berperang selepas sebulan tidak melakukannya.



RAMADAN



Bermaksud batu yang panas. Dinamakan sedemikian kerana ia adalah musim panas.



SYAWAL



Bermaksud mengangkat ekor kerana ingin mengawan. Dinamakan sedemikian kerana ia adalah musim unta mengawan.



ZULKAEDAH



Bermaksud yang duduk. Dinamakan demikian kerana orang Arab kembali ke kampung mereka dan buat persiapan untuk kerjakan haji. Maka mereka tidak berperang dalam bulan ini.



ZULHIJAH



Bermaksud yang mengandungi haji. Dinamakan demikian kerana bulan ini adalah bulan haji. Bulan ini juga adalah bulan orang Arab tidak berperang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >