Kutipan derma di semua 70 masjid hari ini bagi kumpul dana Madrasah Al-Ma'arif

MADRASAH Al-Ma'arif Al-Islamiah akan mengadakan satu kutipan derma khas semasa sesi solat Jumaat di kesemua 70 masjid serata Singapura, hari ini.

Seramai 140 pelajar dari menengah dua, tiga dan prauniversiti madrasah itu akan berada di masjid-masjid setempat bagi usaha tersebut.

Wang derma yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk kerja-kerja baik pulih dan peningkatan di madrasah tersebut.

Pegawai mengumpul dana, Cik Siti Radhiyah Rahmat, apabila dihubungi Berita Harian berkata dana itu akan digunakan untuk membiayai usaha madrasah tersebut memasang alat penghawa dingin atau membaiki bumbung bagi mengelakkan dimasuki hujan.

'Kami memang mempunyai rancangan untuk memasang bumbung di ruang terbuka yang terletak di bahagian luar pejabat besar.

"Ini kerana apabila hujan, ia menyukarkan laluan perjalanan pelajar yang lalu-lalang di situ," ujarnya.

Selain itu, wang derma itu bakal dimanfaatkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan lain di madrasah itu seperti memperbaiki barangbarang yang rosak seperi projektor, kipas angin dan tingkap yang rosak

"Misalnya sebelum ini, kami baru sahaja memperbaiki penghawa dingin di pejabat besar. Sebelum ini, ia tidak terlalu dingin sehingga kami perlu menggunakan kipas.

"Alhamdulillah berkat dana yang dikumpul, kini ia lebih selesa sedikit,"katanya lagi.

Tambahnya, pihak madrasah menyasarkan untuk mengumpul derma sebanyak $150,000.

"Besar harapan kami agar masyarakat Melayu/Islam di sini akan dapat terus membantu kami dengan menderma seikhlasnya," tambahnya lagi.