Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Manfaatkan Ramadan, capai takwa menyeluruh

Mar 31, 2023 | 05:30 AM



Ramadan adalah bulan istimewa yang penuh dengan keberkatan. Terdapat juga padanya beberapa keistimewaan dan keutamaan yang tidak ada di bulan-bulan lainnya. Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:



"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."



Maka daripada ayat ini, kita dapat ketahui bahawa perintah berpuasa ini diturunkan kepada kita hanya untuk satu matlamat. Iaitu ia bertujuan membina ketakwaan dalam diri, ketakwaan yang menyeluruh.



Takwa merupakan ciri yang paling penting di sisi Allah swt. Berikut ialah beberapa amalan yang kita boleh praktikkan untuk memanfaatkan Ramadan ini dengan harapan dapat mencapai ketakwaan yang menyeluruh.



AMALAN BAGI MEMANFAATKAN RAMADAN



TETAPKAN NIAT, TINGKATKAN PENGURUSAN MASA



Bagaimana pentingnya niat pada permulaan setiap puasa, niat memanfaatkan Ramadan juga sangat penting.



Dengan niat ini, ia dapat membangkitkan semangat diri dan menjadikan hari-hari dalam Ramadan lebih produktif.



Meningkatkan pengurusan masa juga merupakan salah satu cara terbaik memanfaatkan bulan suci ini.



Menjadualkan aktiviti harian seperti masa bekerja dan beribadah, serta menetapkan matlamat pada bulan ini boleh membantu pertingkatkan kualiti Ramadan kita.



Meningkatkan ilmu tentang keutamaan dan kemuliaan Ramadan, seperti turunnya Al-Quran dan adanya malam mulia lailatulqadar juga penting untuk kita menghargai dan menyemarakkan semangat Ramadan.



SOLAT SUNAT



Solat sunat tarawih, yang bermaksud beristirahat, merupakan salah satu keutamaan Ramadan.



Ia merupakan ibadah tambahan yang dilakukan dalam keadaan tenang untuk menunjukkan keikhlasan, kebaktian dan ketaatan kepada Allah swt. Sabda Baginda saw:



"Barangsiapa yang berdiri (menunaikan solat) dalam bulan Ramadan dengan iman dan mengharap (pahala), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni." (Sahih Al-Bukhari & Muslim).



Terdapat juga beberapa solat sunat lain yang boleh dilazimi pada Ramadan, termasuk solat sunat rawatib (solat sunat sebelum atau sesudah solat fardu), solat sunat duha, witir, tahajud dan lain-lain.



Umat Islam digalakkan menghidupkan malam-malam Ramadan dengan harapan dapat mencapai lailatulqadar, malam 1,000 bulan.



DOA



Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah swt.



Di samping itu, di dalamnya tersedia pelbagai jenis tawaran dan keistimewaan yang perlu kita kecapi. Ini termasuk memperbanyakkan doa pada Ramadan.



Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 186:



"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran."



Namun, bilakah masa terbaik untuk berdoa? Selain daripada sepertiga terakhir malam, berdoa sebelum berbuka puasa juga merupakan salah satu masa yang terbaik. Sabda Baginda saw:



"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak." (Sunan Ibn Majah).



Di antara doa yang digalakkan pada Ramadan sepertimana yang disabdakan Nabi saw adalah doa:



"Allahumma innaka afuwwun tuhibbul afwa fa'fu anni" yang membawa maksud "Ya Allah, Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai orang yang minta ampunan, maka ampunilah aku."



MEMBACA DAN MENGKAJI AL-QURAN



Ramadan dikenali juga sebagai syahrulQuran ataupun bulan diturunkannya Al-Quran.



Allah swt pertama kali menurunkan Al-Quran pada bulan mulia ini, sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 186:



"Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan petunjuk tersebut dan pembeza (antara yang benar dan yang batil). Maka barang siapa di antara kamu hadir (di tempat tinggalnya atau bukan musafir) pada bulan itu, berpuasalah.



Siapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya) sebanyak hari (yang ditinggalkannya) pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur."



Umat Islam digalakkan bukan sahaja memperbanyakkan tilawah pada bulan ini, bahkan mengkaji dan memahami Al-Quran. Justeru, amalan ini sewajarnya dibudayakan dan dilaksanakan sebagai amalan harian kita setelah tinggalnya Ramadan.



BERSEDEKAH



Salah satu amalan yang sangat disukai Allah swt adalah sedekah.



Sememangnya, semua yang kita miliki hanya merupakan pinjaman daripada-Nya.



Maka, kita digalakkan bersedekah dengan ikhlas terutamanya pada bulan suci Ramadan, di mana pahala dilipat gandakan.



Sifat pemurah Nabi Muhammad saw pada Ramadan juga patut kita contohi.



"Rasulullah saw adalah manusia yang paling dermawan. Dan beliau menjadi paling dermawan di bulan Ramadan." (Sahih Al-Bukhari).



Antara amalan soleh yang sangat digalakkan juga adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa.



Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid Al-Juhani ra bahawa Rasulullah saw bersabda:



"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun." (Sunan At-Tirmizi).



KURANGKAN PEMBAZIRAN



Budaya membeli juadah berbuka puasa sudah menjadi kelaziman kebanyakan di antara kita. Namun, kadangkala ia boleh menyebabkan pembaziran dan pembuangan sisa yang berlebihan.



Maka, kita digalakkan hanya membeli dan mengambil kadar yang diperlukan sahaja.



Ini juga ditekankan pada khutbah Jumaat baru-baru ini. Seru khutbah tersebut:



"Elakkan daripada berlebih-lebihan kerana takut berlakunya pembaziran. Dan pembaziran bukanlah daripada tuntutan agama. Janganlah kita berubah hanya pada Ramadan semata-mata, akan tetapi jadikanlah Ramadan ini sebagai madrasah yang mendidik hawa nafsu kita untuk sentiasa mengejar kebaikan.''



MENJAGA LISAN DAN HATI



Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa, malah menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa.



Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam, seperti menjaga lidah dan hati. Sabda Nabi saw:



"Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, "Sesungguhnya aku berpuasa hari ini". (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).



Justeru, kita juga harus menjaga hati daripada perkara-perkara yang menyebabkan penyakit hati seperti perasaan iri, dengki dan fitnah. Penggunaan media sosial secara berlebihan juga boleh menyumbang kepada perasaan negatif seperti riak.



Maka, kita seharusnya mengisi waktu pada Ramadan dengan amalan-amalan seperti berzikir dan berselawat.



Marilah bersama memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin dengan harapan dapat mencapai ketakwaan yang diredai-Nya.



Semoga kita dapat menggapai istiqamah pada bulan suci ini dan moga Ramadan kali ini merupakan Ramadan terbaik kita, insya-Allah.




► Penulis bertugas sebagai penyunting kandungan di Berita Harian/ Berita Minggu. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda bidang tafsir dan usuluddin. Beliau telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Beliau mantan eksekutif kurikulum dan ustazah di pusat pendidikan Nadi Quran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >