Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Menangani tekanan di tengah-tengah pandemik

Dampingi Al-Quran, dapatkan bantuan antara cara
Jul 08, 2021 | 05:30 AM



KERESAHAN dan tekanan atau stres tatkala berdepan dengan masalah atau cabaran hidup, termasuk pelbagai kesan dan akibat pandemik Covid-19, mencetus perubahan rutin atau mencengkam perasaan.



Stres yang tidak terkawal boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan fizikal.



Oleh itu, seseorang perlu belajar cara-cara mengurangkan atau menangani tekanan dengan baik agar ia tidak menjejaskan kehidupan diri dan keluarga.



Apatah lagi dengan golongan yang tertekan berhubung situasi pekerjaan sama ada yang telah kehilangan pekerjaan atau yang telah meninggalkan pekerjaan mereka.



Kepayahan menyara hidup diri dan keluarga boleh mengakibatkan hilangnya keyakinan diri, berasa diri tidak berguna dan ini boleh membawa kepada tekanan hidup.



Dua asatizah, Ustaz Dr Saifuddin Amin, pensyarah sepenuh masa di Kolej Islam Muhammadiyah; dan Ustazah Unaisah Adam, pengasas bersama Sparkreativ dan Womenexus, akur bahawa bagi menyelesaikan sesuatu masalah secara efektif, harus bermula daripada akarnya.



URUS TEKANAN DENGAN BIJAK



Ustazah Unaisah Adam menjelaskan bahawa stres atau tekanan adalah sesuatu yang normal dalam kehidupan manusia.



"Setiap orang pasti pernah merasa tekanan dalam hidup. Tetapi jika daya tindak atau mekanisme kawalan diri tidak dapat mengatasi stres tersebut, maka seseorang akan mengalami stres keterlaluan yang bahaya.



"Uniknya, otak manusia dicipta untuk pelbagai fungsi, termasuk mengurus tekanan.



"Apabila seseorang berada dalam keadaan tidak stres, otaknya lebih tenang dan mampu mengurus emosi dan daya berfikir dengan baik.



"Tetapi apabila individu berada dalam keadaan stres, fikiran menjadi bercelaru dan dia tidak berupaya mengatasi emosi dengan tepat."



KETAHUI LANGKAH ATASI STRES



Kata ustazah lagi, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengatasi tekanan - melalui spiritual, sokongan emosi, mental dan fizikal.



"Anda boleh memilih cara spiritual dengan meluangkan masa membaca Al-Quran atau berzikir.



"Secara emosi pula, anda boleh berkongsi perasaan atau bercerita dengan rakan-rakan mahupun keluarga.



"Kuatkan minda dan sibukkan diri dengan aktiviti penulisan atau membaca buku-buku yang diminati. Amalkan gaya hidup yang sihat dan pilih aktiviti fizikal seperti bermain bola atau berlari anak.



"Setiap individu mempunyai mekanisme cara mengatasi (coping mechanism) yang berbeza dan cara ini umumnya bertukar mengikut fasa dan keadaan seseorang. Dengan mekanisme kawalan diri yang baik, insya-Allah seseorang akan dapat mengatasi stres dengan lebih berkesan," kata beliau.



Bagaimanapun, Ustazah Unaisah berkata jika anda terlalu stres sehingga tidak dapat melakukan pekerjaan harian, jangan takut untuk mendapatkan khidmat kaunseling atau terapi bagi memulihkan keadaan.



Sokongan dan dorongan ahli keluarga amat penting bagi mengelakkan tekanan perasaan dan dapat memberi kekuatan kepada ahli keluarga lain untuk meneruskan usaha mereka bagi menangani kekangan ekonomi dalam situasi pandemik ini.



KEMBALI KEPADA ALLAH



Ketika berdepan dengan tekanan, ingat kembali tujuan yang hakiki.



Menurut Ustaz Dr Saifuddin, manusia tidak diciptakan dengan sia-sia. Sebaliknya, manusia diciptakan dengan tujuan yang sangat jelas, seperti firman Allah swt dalam surah Adz-Dzaariyaat:56:



"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."



Ustaz Dr Saifuddin menghuraikan:



"Semua manusia dilahirkan dengan tujuan. Seandainya kita kembali kepada Al-Quran, kita akan memahami tujuan hidup yang sebenar. Fahamilah manusia dijadikan oleh Allah swt untuk beribadah kepada-Nya."



HIJRAH KE ARAH POSITIF



"Jika ada perbuatan sebelum ini yang membawa manusia jauh daripada Allah swt, maka lakukan perubahan ke arah kebaikan. Namun diakui, proses membentuk peribadi ini bukanlah perkara mudah dan tidak boleh dilakukan serta-merta.



"Tetapi, kita perlu berusaha hijrahkan diri ke arah keyakinan, pemikiran serta akhlak yang lebih positif.



"Orang yang berhijrah akan merasai ketenangan yang luar biasa dalam dirinya kerana dia dekat dengan Allah swt. Dengan iman dan takwa, hatinya tenang kerana dia selalu ingatkan Allah."



Allah swt berfirman dalam surah Ar-Ra'd:28 : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah; Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."



Menurut Ustaz Dr Saifuddin lagi, orang yang bertakwa akan diberi jalan keluar kepada segala masalah.



"Usah ragu-ragu dengan janji Allah swt.



"Dalam masa yang sama, ingatlah kejayaan tidak akan datang tanpa usaha dan pengorbanan.



"Mereka yang berusaha memperbaiki diri akan mendapat kenikmatan dan kebaikan, insya-Allah," ujar beliau.




SEKILAS BIODATA



  • Ustaz Dr Saifuddin Amin memiliki Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Islam dari Universiti Ibn Khaldun. Beliau berkhidmat sebagai pensyarah sepenuh masa di Kolej Islam Muhammadiyah. 

  • Ustazah Unaisah Adam merupakan pengasas bersama Sparkreativ dan Womenexus. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan Hadis dari Universiti Malaya, Malaysia, dan Diploma Psikologi Kaunseling dari College of Allied Educators.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >