Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BERSAMA

Mencintai setiap ciptaan Allah

Mar 28, 2021 | 05:30 AM



PARA penyayang akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang (Al-Rahman). Sayangilah dan rahmatilah penduduk bumi maka kamu akan disayangi dan dirahmati oleh yang di langit.



Demikian pesan Rasulullah saw.



Kasih sayang dan rahmat ini bukan hanya kepada sesama manusia, tetapi juga sesama ciptaan Allah, pada binatang dan alam sekitar.



Ciptaan alam ini adalah anugerah dan amanah Sang Pencipta kepada kita. Jika kita benar-benar menyayangi Pencipta, maka kita akan menyayangi anugerah-Nya, dan menjaga amanah ini sebaik mungkin.



Pada minggu-minggu lalu kita telah melihat cinta Rasulullah saw kepada manusia dan kemanusiaan.



Cuba kita lihat cinta Rasulullah saw kepada binatang dan alam. Bahkan, rasa cinta ini adalah rasa yang timbal balik, saling mencintai antara Rasulullah, binatang dan alam sekitar.



Seorang sahabat, Abdullah ibn Ja'far, menceritakan peristiwa menyentuh jiwa, rasa saling cinta antara Rasulullah saw dengan seekor binatang.



Abdullah bercerita, Rasulullah menaiki keldainya dan membonceng Abdullah di belakangnya.



Adab Rasulullah ketika membuang hajatnya, baginda suka menutupi dirinya, iaitu melindungi dirinya dengan bangunan yang tinggi atau di kebun kurma.



Pada suatu hari, baginda masuk ke sebuah kebun milik seorang Ansari di Madinah. Di dalamnya ada seekor unta milik orang Ansari tersebut.



Ketika melihat Rasulullah saw, unta tersebut menangis dan menitiskan air matanya.



Maka Rasulullah pun turun dari keldainya dan mengusap telinga unta tadi dan pangkal lehernya dengan penuh rasa kasih sayang. Unta tersebut pun menjadi tenang.



Lalu baginda bertanya, "Siapa pemilik unta ini?" Kemudian, datanglah seorang pemuda dan menjawab, "Saya."



Baginda kemudian bertanya kepada pemuda tadi:



"Tidakkah engkau bertakwa kepada Allah dalam mengurus unta ini yang telah Allah kuasakan kepadamu? Dia mengadu kepadaku mengenaimu. Dia menyatakan bahawa kamu membiarkan dia lapar dan lelah."



Setelah itu, Rasulullah pergi ke dalam kebun dan melaksanakan hajatnya, kemudian berwuduk.



Baginda kembali sedang air masih lagi menitis dari janggut ke dada Baginda, dan membisikkan sesuatu kepada Abdullah.



Abdullah kemudian berkata: "Aku tidak akan ceritakan kepada seorang pun apa yang dibisikkan. Bahkan kami, para sahabat, berasa berat ketika baginda menceritakannya kepada kami."



Abdullah bin Ja'far berkata: "Aku tidak akan menyebarkan rahsia yang Rasulullah sebutkan kepadaku hingga aku bertemu Allah," - tanda amanah sahabat kepada Rasulullah saw.



Demikianlah cintanya Rasulullah saw kepada binatang. Bahkan, cinta ini adalah rasa saling timbal balik.



Kerana ketika Allah mencintai kita, Allah akan campakkan rasa cinta kepada kita pada segala makhluk di bumi ini. Dan demikianlah putaran dan rantaian budi luhur (virtuous cycle).



Apabila seseorang melakukan kebaikan dan mencintai sesuatu, ia akan dibalas dengan rasa cinta dan kebaikan yang sama.



Ibarat Covid yang berjangkit, cinta dan kebaikan juga berjangkit. Bukan hanya sesama manusia, tetapi sesama manusia, binatang dan alam sekitar.



AMANAH YANG DIPELIHARA



Ciptaan Allah adalah anugerah dan amanah Allah kepada kita manusia.



Kita dilarang menyalah-gunakan amanah ini, seperti penganiayaan atau pelampauan hatta dalam melayani haiwan. Amanah dan rasa belas Rasulullah saw kepada binatang jelas dalam peristiwa berikut.



Rasulullah pernah melewati suatu kaum yang sedang berhenti bersama haiwan kenderaan dan tunggangan mereka, sambil berehat dan berbual-bual.



Lalu Baginda bersabda kepada mereka:



"Tunggangilah haiwanmu dengan nyaman dan selamat. Dan biarkannya berehat dengan nyaman dan selamat. Janganlah engkau jadikan haiwanmu sebagai kerusi untuk perbualan kamu di jalan-jalan dan pasar-pasar (maksudnya, tidak menggunakannya untuk maksud tunggangan yakni menuju ke arah tertentu)."



Rasulullah kemudian menegaskan, "berapa banyak haiwan tunggangan yang lebih baik daripada penunggangnya dan lebih banyak berzikir kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Mulia."



Walaupun binatang tunggangan adalah anugerah Allah kepada kita, yang membolehkan kita melakukan apa yang susah untuk kita lakukan di dunia tanpanya, janganlah kita menyalah-gunakan binatang-binatang ini. Tunggangan ini dicipta untuk ditunggang dan menuju ke sesuatu tempat yang jauh.



Binatang ini juga ada haknya untuk berehat dan berasa selamat; untuk dicintai dan dibelas. Maka berilah haknya.



Di dalam riwayat lain, Rasulullah saw berpesan: "Janganlah kamu menjadikan punggung-punggung haiwan tunggangan kamu sebagai mimbar. Kerana sesungguhnya Allah telah menundukkannya untuk kamu agar dapat menyampaikan kamu ke negeri yang tidak dapat kamu sampai kecuali dengan bersusah payah. Dan Allah jadikan bumi untuk kalian, maka tunaikanlah hajat kalian di atasnya."



Hatta dalam pengurusan haiwan ada etikanya, amanahnya dan tujuannya. Ia bukan milik mutlak kita untuk melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsu dan tamak haloba kita. Ia dicipta untuk tujuan tertentu, dan sebagai amanah di tangan kita manusia.



POKOK MERINDUI RASULULLAH



Rasulullah saw disayangi oleh binatang dan alam kerana Baginda menyayangi, merahmati dan melayani semua ciptaan ini dengan belas dan rahmat.



Benar janji Allah - sayangilah segala yang di bumi nescaya kamu akan disayangi oleh yang di langit.



Dan ketika Allah mencintai seseorang, Allah akan campakkan rasa cinta ini kepada makhluk-Nya yang di langit dan di bumi.



Imam Bukhari meriwayat suatu cerita sebatang pohon yang merindui Rasulullah saw.



Ibnu 'Umar menceritakan: "Nabi selalu berkhutbah di atas batang sebuah pohon. Ketika telah dibuatkan mimbar, baginda berpindah ke mimbar tersebut, lalu batang pohon tersebut merintih kerinduan. Baginda pun mendatanginya lalu mengusapkan tangan baginda kepadanya."



Dalam riwayat yang sahih daripada Imam Ahmad dinyatakan Rasulullah bersabda:



"Andainya aku tidak menenangkannya, yakni pohon tadi, ia akan terus merintih hingga hari kiamat."



SEBARKAN RAHMAT



Cuba kita lihat rasa saling belas, rahmat dan kasih sayang ini. Ini kerana Rasulullah saw mencintai dan merahmati setiap makhluk Allah.



Rasa belas dan rahmat ini kemudian bertimbal balik.



Rasulullah menjadi contoh terbaik insan yang menerima anugerah dan amanah Allah dengan penuh rasa rahmat dan kasih sayang.



Baginda menyebarkan rasa saling merahmati dan kasih sayang ini kepada sahabat dan umatnya.



Ketibaan Ramadan yang mulia tidak berapa lama lagi adalah peluang untuk kita juga turut menyuburkan dan mengasah rasa rahmat dan kasih sayang ini, tidak hanya sesama manusia, tetapi kepada binatang, tumbuh-tumbuhan dan pada alam sekitar seluruhnya.



Tanya diri kita, bagaimana kita boleh mencintai alam sekitar, dan dengannya kita juga akan dicintai oleh yang di langit dan di bumi?




“Apabila seseorang melakukan kebaikan dan mencintai sesuatu, ia akan dibalas dengan rasa cinta dan kebaikan yang sama. Ibarat Covid yang berjangkit, cinta dan kebaikan juga berjangkit. Bukan hanya sesama manusia, tetapi sesama manusia, binatang dan alam sekitar... Benar janji Allah – sayangilah segala yang yang di bumi, nescaya kamu akan disayang oleh yang di langit.’’
– Ustaz Mohammad Hannan Hassan.




  • Penulis Timbalan Mufti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >