Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Jumaat penghulu segala hari

Mengimbas antara keistimewaan Malam dan Hari Jumaat
Jul 01, 2021 | 05:30 AM



KETIBAAN Hari Jumaat sering dinantikan ramai orang, atas sebab tersendiri.



Bagi masyarakat secara am, ia umumnya menandakan hari terakhir minggu bekerja, menjelang hari santai pada hujung minggu.



Maka itu ada istilah dalam bahasa Inggeris - Thanks God, it's Friday atau singkatannya, TGIF.



Bagi penganut Islam, Jumaat juga adalah hari yang dinanti-nantikan kerana ia mempunyai fadilat atau kelebihan/keistimewaan tersendiri.



HARI YANG BAIK



Mengenai keutamaan Hari Jumaat, Ustaz Mohamad H Rais, mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda: "Jumaat dinamakan sebagai 'Saidul Ayyam' iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari)."



Ia dinamakan demikian kerana Hari Jumaat mempunyai keistimewaan yang tersendiri sehingga diangkat sebagai penghulu bagi segala hari.



Disebabkan kemuliaan hari Jumaat, kebanyakan masyarakat memilih untuk melakukan majlis seperti perkahwinan, pertunangan, akikah, tahlil dan sebagainya pada hari tersebut.



"Hari Jumaat ialah hari yang sangat baik.



"Oleh itu, tidak salah untuk mengisi perkara yang baik pada hari yang baik. Malah, ia sangat dianjurkan kerana kita menghidupkan dua sunah di sini iaitu memuliakan Hari Jumaat dan sunah mengadakan perkahwinan. Maka, apa-apa amalan yang baik adalah tidak dilarang," jelas Ustaz Mohamad, yang memiliki Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.



Maka itu, kematian pada malam atau hari Jumaat dikatakan mati yang baik.



BEBERAPA KEISTIMEWAAN



Dari segi sejarah misalnya, antara lain, ulama menjelaskan beberapa kisah seperti Nabi Adam diciptakan pada hari Jumaat; Nabi berwukuf dalam satu-satunya ibadah yang dilakukannya pada Hari Jumaat, dan disebut sebagai haji akbar (rujuk Surah At-Taubah:3); dan kiamat dikatakan akan berlaku pada hari Jumaat.



Dari segi ubudiah pula, banyak perkara dianjurkan dilakukan pada malam dan hari Jumaat.



Istilah 'malam Jumaat' digunakan kerana pertukaran hari dalam kalendar Islam bermula apabila masuk maghrib.



Kaum Muslim diwajibkan mendirikan solat Jumaat berjemaah di masjid, yang disertakan dengan khutbah sebagai wadah menyampaikan nasihat dan peringatan secara mingguan.



Allah swt berfirman: "Wahai orang- orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah (dengan ke masjid bagi mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Al-Jumuah:9)



Situasi meninggalkan jual beli dan bersegera ke masjid, kata Ustaz Mohamad, dapat dilihat di Arab Saudi dengan semua kedai akan ditutup sementara apabila masuk waktu solat.



"Perkara bersegera ini sangat bagus kerana ia mengikut sunah sebenar," ujarnya.



BEBERAPA IBADAH



Malam Jumaat diterima sebagai malam sunah kerana banyak fadilat berkaitan malam itu.



Justeru, jangan sesekali mensia-siakan waktu dari awal malam hingga ke siang Jumaat.



Antaranya ialah melakukan perbuatan sunah seperti membaca surah Al-Kahfi, surah Yaasin, berselawat, mandi sunat dan sebagainya.



Bagi masyarakat di rantau ini, beberapa amalan dikaitkan dengan malam Jumaat seperti ratib, tahlil dan sebagainya.



Setiap amalan akan dicatat dan Allah swt menyediakan pahala yang besar kepada hamba-Nya yang ikhlas melakukan ibadah, kata Ustaz Mohamad sambil memetik firman Allah swt: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah An-Nahl: 97)



SALAH FAHAM?



Ada sebahagian masyarakat yang melihat malam Jumaat sebagai malam menggauli isteri.



Menurut Ustaz Muhammad Lutfi Zulkiflee, Pegawai Pembangunan Belia di Masjid An-Nur, beliau belum menemui nas atau dalil yang kuat dan khusus mengenainya.



"Bagi sebahagian masyarakat, mereka memahami keberkatan hari Jumaat. Maka, tiada larangan untuk mereka memilih hari tersebut," ujarnya.



Ada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa "Barangsiapa yang mandi pada Hari Jumaat seperti mandi junub, kemudian dia berjalan ke masjid pada waktu yang pertama, seolah-olah dia telah mendapat pahala mengorbankan seekor unta".



Iman Nawawi ra menerangkan bahawa perkataan 'mandi' seperti mandi junub pada hari Jumaat bermaksud sifat. Mandi tersebut disifatkan sebagai mandi dengan membasuh seluruh tubuh yang zahir seperti mandi junub, kata Ustaz Lutfi, yang memiliki Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam dari Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.



BEBERAPA AMALAN, KEPERCAYAAN



Banyak rumah, semasa di kampung dahulu, diwangikan pada malam Jumaat dengan membakar kemenyan.



Ada ibu bapa yang membiasakan keluarga duduk mengaji bersama pada malam Jumaat, dan kurangkan kegiatan yang tidak selari dengan agama, termasuk menonton televisyen yang mengandungi unsur hiburan sebagai menghormati malam Jumaat.



Tokoh seni, Cik Som Said, berkata lazimnya, pada malam Jumaat atau hari Jumaat, orang akan duduk rumah bersama keluarga seperti family day dan berkumpul bersama ahli keluarga yang lain.



"Makan dan duduk semeja demi merapatkan silaturahim bersama satu dengan yang lain. Bukan pada hari Minggu sahaja namun kededua hari ini juga dijadikan hari untuk dekat dengan Sang Pencipta serta keluarga kita juga. Walaupun zaman telah berubah, ia tetap relevan hingga ke hari ini," kata beliau.



Tidak pasti pernah berlaku atau sekadar taktik menakut-nakutkan anak, malam jumaat juga dianggap malam 'seram'.



Penggiat seni yang juga Pengerusi M Kuasa Tiga (M³) di Nee Soon, Encik Djohan Abdul Rahman, berkata cerita-cerita mistik dikaitkan malam Jumaat yang dikatakan malam yang popular untuk penjelmaan makhluk-makhluk sebegini kepada umum.



"Mungkin juga kerana pengaruh TV pada zaman dahulu, jadi cerita-cerita sebegini melekat dan menjadi sebutan dan menjadi turun-temurun hinggalah ke hari ini.



"Walhal, jelmaan sebegini boleh menjelma atau terjadi bila-bila masa sahaja, bukan hanya pada malam Jumaat," ujar beliau.




HARI PENUH RAHMAT DAN BARAKAH



"Budaya Melayu sering dikait rapat dengan agama Islam, namun yang baik boleh kita ambil dan jadikan sandaran untuk kebaikan bersama. Kita melihat orang tua-tua akan terus melestarikan bacaan dan amalan-amalan lain seperti mengaji, solat berjemaah pada malam Jumaat, kerana keesokan harinya merupakan hari yang mulia, iaitu Hari Jumaat. Lebih barakah lagi jika di hari tersebut terjadinya hujan lebat, dan hari tersebut bak hari yang sangat rahmat dan barakah. Pada lazimnya juga, pada malam Jumaat atau hari Jumaat juga, orang akan duduk rumah bersama keluarga seperti 'family day' dan berkumpul bersama ahli keluarga yang lain. Makan dan duduk semeja demi merapatkan silaturahim bersama satu dengan yang lain. Bukan pada hari Minggu sahaja namun kededua hari ini juga dijadikan hari untuk dekat dengan Sang Pencipta serta keluarga kita juga. Walaupun zaman telah berubah, ia tetap relevan hingga ke hari ini."
- Cik Som Said, penerima anugerah Pingat Budaya Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Anugerah Jauhari Berita Harian.



JUMAAT DIKAITKAN CERITA-CERITA MISTIK?



"Saya dibesarkan dengan suasana pada malam Jumaat di mana kami akan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, dan sehingga kini juga saya cuba amalkan amalan tersebut di rumah, seperti membaca Yaasin untuk orang-orang tersayang yang telah mendahului kita. Dari sudut cerita-cerita mistik, atau cerita hantu pula, malam Jumaat dikatakan merupakan malam yang popular untuk penjelmaan makhluk-makhluk sebegini kepada umum. Mungkin juga kerana pengaruh TV pada zaman dahulu, jadi cerita-cerita sebegini melekat dan menjadi sebutan dan menjadi turun-temurun hinggalah ke hari ini. Walhal, jelmaan sebegini boleh menjelma atau terjadi bila-bila masa sahaja, bukan hanya pada malam Jumaat."
- Encik Djohan Abdul Rahman, penggiat seni tempatan dan Pengerusi M Kuasa Tiga (M³) di Nee Soon.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >