Subuh
5:58
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:40
Maghrib
7:22
Isyak
8:33

Misi tahun baru

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Hidayah
32
0

Misi tahun baru

Kisah Nabi di kota Makkah jelang perutusan sebagai Rasul beri banyak pengajaran mengenai besarnya nilai bermuhasabah, optimis dan berpandangan jauh

USTAZ MOHAMMAD HAFIZ KUSAIRI

Jan 06, 2023 | 05:30 AM

DARI MAKKAH, ARAB SAUDI: KISAH junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw di kota Makkah pada hari-hari menjelang perutusannya sebagai seorang Rasul banyak mengajar kita tentang besarnya nilai bermuhasabah, optimis dan berpandangan jauh, apatah lagi dalam rangka kita baru memasuki tahun baru.

Saya ingin berkongsi tiga perkara yang boleh kita jadikan misi kita pada Tahun Baru 2023 ini.

MENAMBAHBAIK PENDEKATAN KITA TERHADAP ILMU

Perkembangan zaman telah mendedahkan kita kepada pelbagai realiti yang memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menghadapi realiti-realiti tersebut.

Kita telah beranjak daripada suatu zaman yang menyaksikan sesuatu permasalahan yang timbul cukup diselesaikan dengan hanya menetapkan bahawa ia "salah" ataupun "betul", "boleh" ataupun "tidak boleh."

Hari ini, setiap permasalahan yang timbul perlu ditanggapi dengan penguasaan ilmu yang jauh lebih menyeluruh.

Sebagai umat Islam, ini bermakna sesuatu permasalahan yang timbul tidak cukup diselesaikan dengan sekadar menabur ayat-ayat Al-Quran dan hadis semata-mata tetapi penyelesaian kita perlu diperkasakan dengan penguasaan yang mencakupi bidang yang mana timbul permasalahan tersebut.

Perlu ada kemahuan pada diri kita untuk mendalami latar belakang sesuatu masalah ataupun isu, sejarahnya, pendapat-pendapat tentangnya, evolusi permasalahan tersebut dan pelbagai manifestasinya melampaui zaman, implikasinya dan seterusnya.

Ini juga bermakna bahawa cakupan ilmu kita perlu dipelbagaikan dengan menghargai khazanah ilmu yang terdapat dalam bidang falsafah, psikologi, sosiologi, sejarah, perundangan, kimia, biologi dan seterunsya.

Pendek kata, 2023 perlu melihat kita beranjak daripada penghayatan ilmu secara pasif ataupun satu dimensi.

Mulakan dengan mengadakan tertib dan budaya membaca secara berdisiplin.

Bahkan minda kita perlu bersedia bukan sekadar menelan ilmu, malah menghadamnya dengan kesedaran bahawa ia perlu menghasilkan natijah yang bermanfaat untuk mengangkat martabat kemanusiaan dengan pendekatan yang menyeluruh terhadap ilmu.

MEMPERKASA JIWA UNTUK MENGHADAPI UJIAN ZAMAN

Tidak dinafikan bahawa kemudahan kita mendapatkan maklumat terkini dan menghasilkan pelbagai rekaan berdasarkan kemajuan teknologi yang pesat bermakna bahawa kecanggihan pemikiran manusia berada di tahap tertinggi.

Namun, ini tidak menafikan hakikat bahawa perkembangan yang sepatutnya mengagumkan ini seolah-olah tidak diiringi ketahanan jiwa yang jitu.

Bahkan sebaliknya, mutakhir ini melihat meningkatnya isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan mental, tekanan jiwa, depresi dan sebagainya.

Maka di sini, 2023 perlu melihat kepada langkah proaktif daripada pelbagai sudut untuk menangani masalah ini.

Di peringkat individu, kita boleh melatih diri kita menjadi lebih bertenang menghadapi ujian hidup dengan meyakinkan diri kita bahawa Allah swt tidak akan menguji seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggungnya seperti yang termaktub dalam surah Al Baqarah ayat 286, yang maksudnya:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Ataupun kita boleh mula melatih diri kita mengundang ketenangan dalam jiwa kita melalui formula yang Allah swt sendiri sebutkan dalam Al-Quran iaitu melalui amalan berzikir sambil memberikan penghayatan terhadap nama-nama Allah yang kita lafazkan sebagaimana yang disebutkan dalam surah Ar-Ra'du ayat 28, yang bermaksud:

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."

Nah, itu mungkin pendekatan yang lebih berunsur kerohanian. Ini tidak bermaksud kita berhenti di situ sahaja.

Seandainya kita mempunyai bidang kuasa di tempat kerja kita ataupun di institusi-institusi pendidikan tempat kita belajar, maka perkenalkanlah langkah-langkah mudah menjaga kebajikan jiwa teman sekerja ataupun belajar seperti tidak berhubungan rasmi di luar waktu kerja ataupun sekolah, tidak bersikap menekan dalam cara kita berurusan dan berlapang dada dalam menerima kekurangan orang lain selagi mana ada kesungguhan pada diri mereka untuk memberikan yang terbaik.

Bukankah Allah memerintahkan kita untuk bersikap adil dan ihsan?

2023 adalah tahun untuk kita menjadi bukan sahaja lebih cekal menongkah ujian zaman, bahkan pada masa yang sama, lunak dalam menghargai perasaan orang lain.

JUJUR BERMUHASABAH

Setiap penghujung tahun semestinya mengundang penekanan untuk kita sentiasa bermuhasabah.

Namun, sesuatu yang diulang seru tanpa penghayatan dah perlaksanaan yang bersungguh-sungguh hanyalah sekadar menanam tebu di pinggir bibir kita sendiri untuk menyedapkan hati yang tidak berani menerima kritikan dan nasihat untuk pembaikan diri.

Kecenderungan kita, terutama dalam zaman media sosial ini, adalah untuk menyerlahkan kejayaan kita dan mengkritik usaha orang.

Namun muhasabah yang jujur mengajak kita untuk terus mencari ruang membaiki usaha kita sendiri betapa pun kita menganggapnya satu kejayaan kerana minda yang mudah berpuas hati hanya akan menghasilkan usaha yang gemilangnya sekali, tetapi tidak berulang lagi.

Kita juga perlu jujur mengangkat tangan untuk mengakui kegagalan kita kerana langkah awal kepada kejayaan yang berterusan bukanlah kejayaan pertama yang membuat kita lupa diri, tetapi kegagalan sulung yang membuat kita sedar diri.

Maka jujurlah kita merenung cara untuk terus mencari ruang meningkatkan mutu pada kebaikan yang sedia ada dan juga belajar daripada kesilapan yang telah berlalu.

Begitulah sejarah Nabi kita mengajar umat Baginda supaya tidak mudah besar diri dengan kejayaan sebagaimana yang berlaku ketika umat Islam hampir tewas dalam peperangan Hunain sedangkan bilangan mereka lebih besar dan untuk tidak berputus asa di saat kegagalan menimpa sebagaimana para sahabat bangkit daripada kekalahan yang teruk ketika peperangan Uhud.

Semoga iltizam untuk lebih bersungguh-sungguh mendalami ilmu dengan lebih tekun dan menyeluruh, diiringi jiwa yang cekal lagi ihsan di samping kejujuran membaiki diri akan menjadikan 2023 kita lebih bererti daripada 2022 yang telah meninggalkan kita.

Ustaz Mohammad Hafiz Kusairi ialah guru sejarah di salah sebuah institusi pendidikan tempatan. Beliau adalah lulusan bidang Sejarah dengan ijazah kepujian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau juga diiktiraf oleh Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Beliau menulis artikel ini sewaktu menunaikan ibadah umrah di kota Makkah bulan lalu.


LANGKAH AWAL KEPADA KEJAYAAN YANG BERTERUSAN...

"Kecenderungan kita, terutama dalam zaman media sosial ini, adalah untuk menyerlahkan kejayaan kita dan mengkritik usaha orang.
Namun muhasabah yang jujur mengajak kita untuk terus mencari ruang membaiki usaha kita sendiri betapa pun kita menganggapnya satu kejayaan kerana minda yang mudah berpuas hati hanya akan menghasilkan usaha yang gemilangnya sekali, tetapi tidak berulang lagi.
Kita juga perlu jujur mengangkat tangan untuk mengakui kegagalan kita kerana langkah awal kepada kejayaan yang berterusan bukanlah kejayaan pertama yang membuat kita lupa diri, tetapi kegagalan sulung yang membuat kita sedar diri.

- Penulis.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3