Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:03
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Hidayah

Mufti: Peranan penting asatizah bimbing masyarakat tangani Covid-19

Mar 13, 2020 | 05:30 AM

BARU-BARU ini, Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) telah mengeluarkan laporannya yang mengandungi beberapa saranan bagi mengukuhkan lagi pembangunan asatizah.

Sebagai salah seorang anggota jawatankuasa ini, saya berpeluang menyertai banyak perbincangan dengan pelbagai lapisan asatizah, karyawan dan masyarakat umum serta bertukar pandangan dan idea.

Saya dapat merasakan kepercayaan masyarakat terhadap asatizah bukan sahaja sebagai guru agama tetapi pengemudi bahtera apabila masyarakat berhadapan dengan ombak kehidupan.

Ramai menyuarakan hasrat mereka untuk melihat kepimpinan asatizah yang lebih dinamik kerana isu kehidupan masa kini dan akan datang adalah jauh lebih rumit.

Untuk itu, mereka berpandangan bahawa asatizah perlu juga menguasai banyak lagi bidang ilmu yang boleh membantu seseorang memahami sesuatu isu dengan lebih tepat lagi.

Pandangan ini adalah bernas.

Agama tidak dapat dipisahkan daripada konteks kehidupan.

Ini adalah ciri keilmuan Islam yang kita warisi dari ulama dan cendekiawan agama.

Walaupun mereka menguasai ilmu seperti tafsir, hadis atau fiqih, mereka perlu memberi pertimbangan yang wajar terhadap situasi masyarakat mereka.

Ini juga termasuk pendekatan mereka di dalam memikirkan isu perubatan dan kesihatan awam.

Hari ini, kita pula berpeluang memikirkan respons dan panduan kita di dalam menangani penularan koronavirus yang melanda dunia.

Pada akarnya, ia adalah masalah kesihatan dan keselamatan awam.

Tetapi ia juga membawa banyak kesan lain seperti perpaduan sosial dan kestabilan ekonomi.

Kita melihat bagaimana persepsi negatif terhadap sesuatu kaum yang dikaitkan dengan virus ini mencetuskan kebencian dan perkelahian di beberapa kota di Barat.

Banyak industri juga telah mula terjejas dan pekerja di beberapa sektor hilang mata pencarian mereka.

Asatizah dan kepimpinan agama memainkan peranan penting untuk membimbing masyarakat dengan matang dan sesuai bagi menangani isu ini.

Jika kepimpinan agama memberi panduan dan nasihat yang tidak membantu keadaan, bahkan mengeruhkan lagi suasana, maka natijahnya juga adalah negatif bagi masyarakat.

Tidak cukup kita menilai isu dan cabaran ini dari lensa dan perspektif nas-nas agama sahaja.

Kita perlu mengambil kira perkembangan sains perubatan, pandangan pakar dan prinsip kesihatan awam.

Pakar telah menjelaskan bahawa virus ini mudah merebak dan boleh menyebabkan kematian.

Oleh itu, kita perlu menangkis pandangan simplistik yang menafikan perlunya langkah keselamatan, di atas hujah bahawa penularan wabak ini adalah ketentuan Tuhan.

Panduan agama yang bernas hanya akan terhasil daripada visi yang jelas serta pemahaman isu yang menyeluruh, apabila keperluan masyarakat dan keutamaan dinilai dengan betul.

Di dalam isu ini, yang menjadi keutamaan adalah pemeliharaan nyawa manusia.

Ini merupakan di antara tujuan syariat utama yang mesti dipelihara.

Kita boleh membuat perbandingan keadaan di Singapura dengan banyak negara lain.

Walaupun Singapura di antara negara yang paling awal terjejas dengan penularan virus ini selepas China, keadaan di sini terkawal kerana beberapa langkah berjaga-jaga yang tegas telah diambil dari awal.

Di antaranya ialah panduan agama untuk membuat beberapa penyesuaian seperti yang telah diperkenalkan melalui Irsyad oleh Pejabat Mufti.

Ini termasuk menasihati jemaah untuk tidak ke masjid jika mereka sakit, mengelakkan daripada bersalaman, membawa sejadah masing-masing dan juga khutbah Jumaat disingkatkan.

Sekarang ini, pandangan yang sama telah difatwakan oleh banyak institusi Islam di luar negara kerana penularan yang berlaku di Timur Tengah.

Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu yang dipengerusikan alim tersohor Sheikh 'Abdullah bin Bayyah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam mengikut ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak kesihatan negara untuk mengelakkan daripada penularan wabak.

Mereka yang berkeuzuran termasuk golongan tua atau kanak-kanak, diberi kelonggaran tidak menghadiri solat jemaah, Jumaat, solat Hari Raya dan tarawih.

Begitu juga Majlis Fatwa dan Kajian Eropah telah mengeluarkan fatwanya yang mengharuskan pembatalan solat jemaah dan Jumaat jika keadaan memerlukan.

Kerajaan Kuwait juga telah menasihati rakyatnya agar tidak bersalaman jika mereka kurang sihat.

Baru-baru ini, kerajaan Saudi telah menangguhkan ibadat umrah di Tanah Suci.

Saya berpendapat ini semua langkah yang sangat perlu oleh autoriti keagamaan demi memelihara rakyat mereka.

Pada masa yang sama, kita juga perlu memastikan masyarakat terus bersatu dan bertambah daya tahan sosialnya.

Terdapat banyak langkah proaktif di kalangan asatizah tempatan, di antaranya - pegawai agama di masjid menyampaikan penghargaan kepada pegawai kesihatan.

Usaha mereka ini petanda yang menggalakkan di dalam usaha memelihara keharmonian serta mengukuhkan persepaduan di Singapura.

Semua ini mendorong kita untuk terus mempertingkatkan kesediaan dan membuat penyesuaian lain apabila perlu.

Penularan wabak ini boleh menjadi lebih kritikal dan berleluasa seperti yang telah berlaku di beberapa negara lain.

Program agama kita akan terjejas dan keadaan akan menjadi lebih mencabar dengan Ramadan mengunjung tiba.

Oleh itu, kita perlu bersedia untuk mengambil langkah lain dan terus membuat penyesuaian yang wajar sambil bersikap positif.

Walau di dalam apapun keadaan, kita harus meneruskan kebaikan, walaupun caranya mungkin berbeza.

Sebagai contoh, kita boleh meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga, termasuk beribadat bersama seperti berbuka dan bertarawih, jika tempat awam seperti masjid terjejas.

Kita juga boleh memaksimakan penggunaan wadah lain seperti Internet untuk berdakwah menggantikan kuliah dan syarahan.

Dapatan dari Cofa menunjukkan bahawa masyarakat menghargai kepimpinan asatizah yang membimbing mereka berpandukan maklumat tepat serta prinsip dan nilai agama.

Dengan mengukuhkan lagi pembangunan asatizah, masyarakat akan dapat meraih manfaat dari segi kehidupan beragama yang lebih teratur dan progresif.

Insya-Allah, kita boleh menjadi masyarakat Islam contoh yang menunjukkan bagaimana agama kekal relevan serta menjadi pencetus kebaikan di tengah-tengah dunia yang penuh dengan cabaran.

  • Penulis ialah Mufti Singapura.

"Saya dapat merasakan kepercayaan masyarakat terhadap asatizah bukan sahaja sebagai guru agama tetapi pengemudi bahtera apabila masyarakat berhadapan dengan ombak kehidupan.
Ramai menyuarakan hasrat mereka untuk melihat kepimpinan asatizah yang lebih dinamik kerana isu kehidupan masa kini dan akan datang adalah jauh lebih rumit.
Untuk itu, mereka berpandangan bahawa asatizah perlu juga menguasai banyak lagi bidang ilmu yang boleh membantu seseorang memahami sesuatu isu dengan lebih tepat lagi.
Pandangan ini adalah bernas."

- Dr Nazirudin Mohd Nasir, Mufti.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian