Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Nak tahu ibadah dalam Ramadan diterima?

Ustaz Sallim Jasman beri gambaran dan ciri-cirinya
May 05, 2023 | 05:30 AM



SUDAH hampir dua minggu Ramadan berlalu. Bagi sesetengah daripada kita, perasaan sedih mungkin menyelimuti diri dan sanubari kerana telah tamat sudah semua keistimewaan yang terkandung dalam bulan mulia ini.



Mungkin tidak kurang pula yang tercongak-congak dan tertanya-tanya bagaimana nasib semua ibadah kita - puasa, solat, sedekah dan berbagai-bagai lagi amalan yang kita lakukan - dalam Ramadan, apakah diterima?



Memberi gambaran mengenai perkara ini kepada Berita Harian, mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, yang juga anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Sallim Jasman, berkata:



"Cirinya ada dijelaskan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183, yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".



"Bertakwa di sini bermakna menjadi orang yang lebih baik, sentiasa menjadi orang baik, sentiasa menjadi hamba Allah yang taat dan sentiasa bercampur dengan masyarakat dengan cara yang baik."



Menjelaskan ciri-ciri orang bertakwa ini, beliau memberi contoh kalau dulu seseorang itu, dalam melaksanakan solat lima waktunya, dia barangkali hanya menunaikannya tiga kali sehari atau tidak sampai lima kali, jadi selepas Ramadan, dia sudah melakukannya lima kali sehari sebagai tanda kebaikan amalannya dalam Ramadan diterima.



"Kemudian, kalau dulu dia masuk ke masjid berlenggang kangkung tidak pernah memasukkan duit dalam tabung walau sedolar pun, selepas Ramadan, dia sudah mula menderma ke dalam tabung masjid.



"Kalau dulu dia tidak pernah belajar agama, sekarang dia sudah mula belajar agama... ini semua sebahagian tanda kebaikannya.



"Jika dulu mulutnya celupar cakap sembarangan, sekarang dia sudah bercakap secara berhati-hati dan berwaspada.



"Jadi nampak kebaikan-kebaikan yang ditentukan agama yang dilakukannya, itu tanda-tanda amalannya dalam Ramadan diterima," tambah Ustaz Sallim, yang telah mencurahkan khidmat di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah sejak 1970 hingga 2006.



Menurut beliau, dalam melaksanakan ibadat puasa ini, ada orang yang berasa bimbang mengenai peringatan Nabi saw yang mengatakan bahawa "berapa banyak orang berpuasa yang tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga saja". (HR Ibnu Majah).



Golongan yang "dapat lapar dah dahaga ini", kata Ustaz Sallim, ialah golongan yang berpuasa dengan tidak mengikut peraturan yabng betul.



"Orang seperti ini berpuasa dengan meninggalkan makan dan minum tetapi mata mereka tidak tinggalkan daripada melihat (perkara) yang haram, mulut mereka masih bercakap perkataan lucah, kaki mereka masih berjalan ke tempat-tempat yang tidak diingini... mana yang suka dibuat, mereka buat tidak kira ia dilarang atau tidak.



"Ini tanda-tandanya dia tidak akan mendapat apa-apa (daripada amalannya dalam Ramadan)," ujar beliau.



KEIKHLASAN DALAM BERIBADAT



Mengulas persoalan ini, Ustaz Sallim memberi jawapan yang ringkas iaitu "kita sendiri yang tahulah".



"Orang yang melakukan sembahyang itu sahaja yang tahu apa tujuan dia sembahyang... kerana mak mentua ke, kerana bapa mentua ke...



"Dia menderma untuk tunjukkan dia banyak duit, dia ikhlas, padahal tak ikhlas pun.



"Sebab ibadah ini hanya kerana Allah swt semata-mata, mukhlisina lahuddin atau ikhlas kepada agama, iaitu agama Allah dan ia tidak boleh dilencongkan kepada tempat atau tujuan lain," tambah Ustaz Sallim.



Menurut beliau, Allah swt ada berfirman yang bermaksud: "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan hari pembalasan? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dalam solatnya. Orang-orang yang berbuat riyak dan enggan (menolong dengan) barang berguna." (Surah Al-Maun: 1-7).



Dalam surah ini, kata Ustaz Sallim, diterangkan perihal orang yang bersembahyang untuk menunjuk-nunjuk yang disifatkan sebagai orang-orang yang celaka dan kurang bernasib baik di sisi Allah swt kerana beribadat bukan kerana Allah.



"Kita ni milik Allah dan dijadikan Allah. Allah perintahkan kita beribadat kerana Allah, bukan kerana orang.



"Jadi, kalau kita buat perkara-perkara yang disuruh Allah kerana Allah, tidak perlu kita beritahu orang.



"Bila kita beritahu orang kita harapkan apa... pujian?



"Jika demikian, di akhirat nanti, kita tidak dapat pahala kerana Allah akan berkata "engkau sudah dapat bahagian engkau di dunia, pujian dari manusia".



"Oleh itu, kita kena ingat kita ini hamba Allah, perintah ibadah datang daripada Allah, buat pun kerana Allah, bukan kerana sesiapa yang lain. Dengan demikian, barulah kita dapat menjadi hamba Allah yang ikhlas beribadah kerana Allah," terang Ustaz Sallim.



BUKAN SENANG NAK TAHU IBADAT DITERIMA



Mengenai perkara ini, Ustaz Sallim, yang pernah menerima Anugerah Obor Ummah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) atas sumbangannya dalam pelbagai aspek dakwah pada 2018, berpesan:



"Nak tahu bukan senang, kita tidak boleh agak-agak, tuduh orang riyak dan sebagainya.



"Kalau ada dalam hati kita, padamkanlah. Kita doakan jika ada orang yang menghulurkan derma yang banyak, dia ikhlas melakukannya kerana Allah. Yang penting dia sudah menderma.



"Jika kita syak orang itu riyak, mana kita tahu, hati manusia mana kita tahu. Lagipun, syak wasangka kan tidak betul, tuduh orang kan salah, ini semua sebahagian daripada pengajaran dalam 'madrasah Ramadan'," ujar beliau.




HIDAYAH IKHLAS KERANA ALLAH...



"Orang yang melakukan sembahyang itu sahaja yang tahu apa tujuan dia sembahyang... kerana mak mentua ke, kerana bapa mentua ke...

Dia menderma untuk tunjukkan dia banyak duit, dia ikhlas, padahal tak ikhlas pun.

Sebab ibadah ini hanya kerana Allah swt semata-mata, mukhlisina lahuddin atau ikhlas kepada agama, iaitu agama Allah dan ia tidak boleh dilencongkan kepada tempat atau tujuan lain."

- Ustaz Sallim Jasman, mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, yang juga anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >