Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

PENUAAN suatu NIKMAT

Bagaimana Islam lihat usia senja atau keemasan
Mar 17, 2023 | 05:30 AM



MERANCANG bagaimana umur dimanfaatkan khususnya selepas persaraan merupakan suatu perkara yang semakin penting.



Ini kerana jumlah orang muda untuk menjaga warga emas kita akan semakin berkurang, hasil trend penuaan yang meningkat sedang kadar kelahiran merosot.



Ini yang dihadapi negara.



Semestinya proses penuaan akan membawa bersamanya cabaran yang timbul daripada perubahan fizikal, kesihatan, emosi, jaringan sosial, kemampuan kewangan dan sebagainya.



Beberapa kajian di Singapura menemui bahawa warga emas berusia 65 tahun ke atas menghadapi cabaran, termasuk antara lain kebimbangan yang timbul daripada kekhuatiran mereka akan menyusahkan anak-anak, keterbatasan dari sudut pergerakan fizikal serta perasaan kesunyian kerana sudah tidak lagi bergaul dengan orang lain seaktif ketika bekerja.



Bagaimanakah Islam melihat dan memandang usia senja atau usia keemasan ini?



Pertama, setiap orang yang beriman dianjurkan agar memastikan umur yang dikurniakan Allah ini tidak disia-siakan.



Sebab itu kita dapati Baginda Rasulullah saw berpesan "tidak akan bergerak kededua kaki anak Adam pada hari kiamat dari sisi Rabb-Nya, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu):



  • tentang umurnya untuk apa ia habiskan;

  • tentang masa mudanya untuk apa ia gunakan;

  • tentang hartanya dari mana ia dapatkan dan dalam hal apa (hartanya tersebut) ia belanjakan; serta

  • apa saja yang telah ia amalkan daripada ilmu yang dimilikinya". (HR Tirmidzi dan Thabrani).

Hadis ini menganjurkan agar kita merancang bagaimana usia kita di bumi ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.



Dengan meningkatnya bilangan warga yang berusia 65 tahun ke atas, ini bererti semakin ramai yang akan memasuki alam persaraan.



Dan untuk yang belum sempat merancang ataupun tidak merancang aktiviti yang akan mereka lakukan selepas persaraan, dikhuatiri mereka akan berasa kehilangan arah.



Ini kerana setelah berdekad lamanya bertugas dan memenuhi rutin kerja harian, mereka secara tiba-tiba berdepan dengan keadaan di mana kehidupan mereka terhad hanya kepada bergaul dengan keluarga seandainya mereka tinggal bersama, ataupun tidak langsung mempunyai teman berbual selain dengan pasangan sekiranya tinggal berasingan.



Pemerintah dan badan-badan kebajikan dan kemasyarakatan telah mengorak langkah menyediakan pelbagai wadah untuk warga emas kita dapatkan nasihat, sokongan dan bantuan dari segi emosi, kesihatan dan juga kewangan dalam mereka meniti usia senja yang lebih bermakna.



Dalam lelaman ifeelyoung.sg sebagai contoh, Kementerian Kesihatan menganjurkan pelbagai cara warga emas kita dapat terus memelihara kesihatan dan kebajikan diri (care), menyumbang bakti terus kepada masyarakat (contribute) dan bagaimana mereka boleh mengekalkan hubungan dan ikatan dengan mereka yang tersayang (connectedness).



Beberapa perkara yang disarankan untuk pertimbangan warga emas serta mereka yang mempunyai keluarga dalam golongan yang istimewa ini:



1. Melihat usia senja sebagai satu anugerah daripada Allah swt



Setelah mengumpul pengalaman yang luas dalam kehidupan peribadi dan juga profesional, inilah masa untuk kita menyumbang dan berkongsi dengan anak-anak dan cucu-cucu, paling kurang jika tidak juga dengan masyarakat lautan pengalaman dan ilmu itu.



Sebagai contoh, jika anda mempunyai kemahiran yang boleh dikongsi untuk membantu orang lain memperbaiki mutu kehidupan mereka, maka berkongsilah.



Ini bahkan adalah kebaikan dan ibadah yang dapat kita jadikan bekalan buat diri apabila tiba saat kita kembali ke pangkuan dan dakapan Ilahi.



Rasulullah saw mengajar kita agar melihat kepada penuaan itu sebagai satu nikmat.



Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda "uban adalah cahaya bagi seorang Mukmin. Tidaklah seseorang beruban, walau hanya sehelai, kecuali setiap ubannya akan dihitung sebagai kebaikan yang akan meninggikan darjatnya". (HR Baihaqi).



2. Usia senja hanyalah satu fasa kehidupan yang memerlukan penyesuaian sama ada dari segi emosi, kewangan, gaya kehidupan dan jaringan sosial



Carilah teman-teman lama atau binalah persahabatan baru melalui wadah hobi yang baru ataupun kerja kebajikan atau mungkin pekerjaan yang lebih fleksibel dan sesuai dengan kemampuan usia kita.



3. Dekatkan diri terus kepada Allah dengan menghadiri kelas-kelas agama, mencari ilmu dan kemahiran baru yang boleh membantu kita dalam menyumbang kepada kebaikan



Bermuhasabahlah jika masih terdapat kekurangan pada diri dan hubungan kita dengan Allah, Rasulullah saw dan manusia. Inilah masa untuk kita memperbaikinya.



Apabila ditanya mengenai siapakah manusia yang paling baik, Rasulullah saw menjawab "seorang yang panjang umurnya dan baik amalannya pula". (HR Tirmidzi).



4. Untuk mereka yang mempunyai keluarga daripada golongan warga emas, pandanglah mereka dengan pandangan rahmah dan kasih sayang.



Ajaklah mereka bersama-sama melakukan aktiviti sosial yang dapat mengisi kelapangan hidup mereka.



Anjurkan bagi mereka aktiviti-aktiviti ataupun hobi yang dapat dilakukan oleh warga emas kita agar mereka dapat terus berasa bahawa mereka masih mampu menjalankan kehidupan yang bermakna dan terisi dengan kebaikan.



Ingatlah sabda Nabi saw yang bermaksud: "Bukan daripada kalangan kami, sesiapa yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua daripada kami." (HR Bukhari).



5. Sebagai sebuah masyarakat, kita juga perlu memikirkan bagaimana kita boleh mewujudkan peluang-peluang untuk warga emas kita dapat masih ikut serta di dalam memainkan peranan sama ada dalam organisasi mahupun program-program kita.



Jangan disisihkan mereka yang telah berumur kerana Rasulullah saw bersabda "keberkatan itu bersama warga tua kamu". (Riwayat Ibn Hibban).




UBAN CAHAYA BAGI SEORANG MUKMIN



"Uban adalah cahaya bagi seorang Mukmin. Tidaklah seseorang beruban, walau hanya sehelai, kecuali setiap ubannya akan dihitung sebagai kebaikan yang akan meninggikan darjatnya."
(HR Baihaqi).




SEKILAS BIODATA



Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy ialah Timbalan Pengarah Pejabat Mufti dan Dasar dan Peraturan Agama di Muis.



Beliau menamatkan pengajian ijazah dalam Undang-Undang Islam Universiti Al-Azhar di Kahirah, di mana beliau berada dalam senarai Dekan pada tahun akhir.



Semasa pengajian, beliau berjaya mendapat ijazah dalam ilmu Islam tradisional daripada ulama seperti bekas Mufti Besar Mesir, Sheikh Dr Ali Jum'ah, dan Sheikh Ahmad Taha Rayyan.



Ustaz Irwan telah dianugerahkan Biasiswa Chevening yang berprestij dari Pejabat Luar dan Komanwel, UK, untuk melanjutkan pengajian Sarjana Undang-Undang di School of Oriental and African, University of London, di mana beliau memperoleh kepujian keseluruhan.



Beliau baru-baru ini menamatkan pengajian dengan ijazah Doktor Juris di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >