Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Pandangan Islam terhadap alam sekitar

Nov 10, 2017 | 05:30 AM



JARANG sekali masyarakat kita membahaskan tentang isu alam sekitar - masalah runcing yang memberi kesan yang sangat mendalam terhadap kehidupan kita. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa perbuatan harian kita telah memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar.



Hal ini telah disebut dalam Al-Quran dari Surah Rum ayat 41 yang bermaksud:



"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."



Ayat ini menunjukkan bahawa tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab akan membawa kesan yang tidak diingini kepada alam ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada kita.



Pertama sekali, penting bagi kita mengetahui peranan kita di bumi Allah ini. Di dalam Al-Quran, Allah menerangkan dengan jelas bahawa kita diciptakan sebagai Khalifah; dalam surah Al-Baqarah ayat 30:



"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi."



Ayat ini menunjukkan kita berada di kedudukan yang tinggi jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain. Ini sekali gus menunjukkan kita adalah penjaga alam dan semua yang ada di dalamnya.



Tambahan dengan itu, Allah menghadiahkan kepada kita anugerah istimewa jika dibandingkan dengan makhluk lain; iaitu keupayaan berfikir.



Anugerah tersebut datang dengan amanah yang diberikan kepada kita; dan kita akan disoal di akhirat kelak terhadap apa yang kita lakukan kepada diri sendiri, makhluk lain dan alam ini.



Dengan itu, kita sebagai khalifah dan ketua alam ini dipertanggungjawab untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya, selaras dengan tujuan penciptaan kita.



Islam menggalakkan kita untuk melihat alam dan bertadabbur akan keagunganNya. Dengan menggunakan akal fikiran untuk melihat ciptaan Allah, ini kemudian membawa kepada penghargaan yang paling mulia iaitu menghargai dan bersyukur atas belas kasihan-Nya.



Melihat kepada alam sekitar sambil mensyukuri rahmat Allah yang luas memang digalakkan di dalam Quran, seperti di surah Ali-Imran ayat 190 yang bermaksud,:



"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal."



Ini selaras dengan kata-kata Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri dalam kitab Pelajaran Tauhidnya, bahawa mengenal Allah dengan cara yang ringkas adalah dengan mempercayai adanya Allah Tuhan yang Esa, yang berlainan daripada makhluk- Nya, yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan Maha Suci daripada kekurangan. Dengan dalil bahawa alam ini adalah ciptaan Allah yang menunjukkan adanya Allah.



Jika kita mengimbas kembali, kita akan sedar bahawa nenek moyang kita telah banyak mengajar kita ilmu dan hikmah yang ditukil dari alam sekitar. Mereka peka dengan keindahan alam sehingga mampu mengambil iktibar daripadanya, sekali gus mencerminkan tahap intelektual yang amat tinggi.



Bukti ketara yang masih kelihatan pada hari ini adalah penggunaan elemen alam dalam peribahasa.



Salah satu contoh peribahasa yang berkaitan dengan alam ialah 'air pun ada pasang surutnya' yang bererti nasib seseorang itu ada baik dan buruknya.



Seperti yang dilakukan moyang kita, tentu sekali ada banyak yang boleh kita pelajari daripada alam kita. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, ia menjadi tanggungjawab kita menjaga bumi kita supaya generasi akan datang dapat meraih faedah daripadanya.



Salah satu amalan yang kita lakukan dan sering membawa kepada pembaziran ialah berwuduk.



Secara amnya, setiap Muslim perlu mengambil wuduk sebanyak lima kali sehari. Malangnya, ramai di antara kita yang menggunakan air yang berlebihan.



Ini jelas ditegah oleh Nabi Muhammad saw, di mana daripada hadis 'Abdillah bin 'Amr, ketika Rasulullah saw melewati Sa'ad yang sedang berwuduk, beliau mengatakan:



"Jangan berlebihan!" Maka Sa'ad berkata, "Ya Rasulullah apakah ada berlebihan dalam masalah air?" Beliau berkata, "Ya, walaupun engkau berada pada sungai yang mengalir." (Ibn Majah).



Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya kita berhemah dan mengelakkan pembaziran dalam ibadah harian kita. Jika ketika berwuduk Nabi Muhamamd saw mengarahkan kita supaya tidak berlebihan, apatah lagi dengan aktiviti harian kita yang lain?



Dengan itu, sangat digalakkan agar kita menyumbang secara positif kepada alam seperti tidak membazir elektrik, tidak membazir makanan dan minuman, menggunakan produk yang mesra alam, mengelakkan pembuangan sampah sebanyak mungkin, dan mengitar semula barang-barang yang tidak digunakan lagi.



Kepentingan melindungi alam adalah tanggungjawab setiap Muslim memandangkan ia mempunyai kaitan rapat dengan agama.



Dengan adanya perubahan positif berserta niat untuk melindungi alam Allah ini, ia boleh memberi kesan jangka panjang bagi kita melindungi satu-satunya bumi yang kita ada dengan harapan mendapat keredaan-Nya.



Penulis ialah ustazah sambilan di Masjid Al-Iman dan Masjid Maarof. Beliau bekas pelajar Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dan ahli kumpulan FiTree. Beliau baru menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Dasar Awam dan Ehwal Global daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Semasa pengajiannya di NTU, beliau menamatkan diploma Syariah Islamiyyah secara sambilan di Pusat Pendidikan Jamiyah.




"Kepentingan melindungi alam adalah tanggungjawab setiap Muslim memandangkan ia mempunyai kaitan rapat dengan agama.

Dengan adanya perubahan positif berserta niat untuk melindungi alam Allah ini, ia boleh memberi kesan jangka panjang bagi kita melindungi satu-satunya bumi yang kita ada dengan harapan mendapat keredaan-Nya."

- Ustazah Dhania Raihana Saheid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >