Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Panduan syariah dalam jalani kehidupan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Hidayah
32
0

Panduan syariah dalam jalani kehidupan

Dalam melayari kehidupan, kita memerlukan dan dianjurkan supaya memahami, memelihara dan mengikuti syariah agar kehidupan kita lebih sempurna dengan tunduk, patuh kepada perintah Allah swt
Dec 13, 2020 | 05:30 AM

MANUSIA telah wujud di bumi jutaan tahun.

Kehidupan manusia merupakan satu pelayaran yang amat jauh dan masih berterusan. Namun, manusia tidak dibiarkan tanpa panduan.

Ada yang mengatakan akhir zaman kian hampir kerana telah terlihat banyak bukti dan tanda akhir zaman.

Sejak ratusan tahun dahulu, telah ada yang mengatakan yang sama kerana sebab dan tanda yang sama. Namun, umat Islam tidak mengambil pendekatan fatalistik atau menyerah kepada ketentuan. Mereka bersikap optimistik dan terus menyumbang membangun tamadun, sebagai khalifah, tanpa melupakan Akhirat dan Hari Perhitungan.

Rasulullah saw telah berpesan dalam sebuah hadis, sekalipun kita mengetahui esok akan terjadi kiamat, kita dinasihatkan supaya meneruskan kehidupan, terus menanam benih yang di tangan, jangan berhenti bekerja, terus memberi sumbangan di dunia demi meraih kebaikan di akhirat.

Seperti setiap pelayaran, manusia juga mempunyai tujuan dan destinasi dalam pelayarannya.

Kita semua perlukan bekal dalam pelayaran yang jauh ini. Jika air merupakan bekal terpenting dalam kehidupan, Syariah adalah bekal dalam pelayaran panjang kehidupan manusia ini.

Dalam mengatur kehidupan, kita tidak diabaikan tanpa panduan, prinsip dan bekalan. Dalam konteks ini, ia dinamakan 'Syariah'.

Namun banyak kekeliruan dan salah faham mengenai Syariah. Ramai menyamakan Syariah dengan undang-undang, dengan hukum-hakam atau fiqah.

Kekeliruan ini perlu dileraikan.

Kalimah Syariah asalnya bermaksud jalan ke sumber air. Ia bermakna suatu jalan yang jelas ke sumber air yang memberi kehidupan.

Di dalam Al-Quran, perkataan Syariah telah disebut sebanyak lima kali. Ia merujuk kepada makna Syariah dalam konteks agama atau prinsip-prinsip pokok agama.

Dari segi ini, makna Syariah sejak dari para Nabi-Nabi dahulu sehinggalah kepada Nabi Muhammad saw tidak berubah. Syariah sebagai panduan kehidupan di atas landasan perjalanan yang jelas.

Ini dijelaskan dalam Surah Asy Syuura, ayat 13, Allah swt berfirman: "Allah telah mensyariatkan (menetapkan jalan) bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Ya Muhammad), dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah (berselisih) tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi (hidayah) petunjuk kepada (agama) Nya pada orang yang kembali (kepada-Nya dengan taat)".

Secara ringkas, ayat ini bermaksud kita semua perlu menegakkan prinsip agama dan jangan kita berpecah-belah pada prinsip-prinsip ini. Inilah yang telah ditegaskan oleh Allah swt di dalam Al-Quran.

Tujuan dan prinsip agama ini tidak berubah, sama seperti dahulu, sehinggalah kepada zaman Nabi Muhammad saw, dan akan kekal hingga ke akhir zaman nanti.

Pada prinsip-prinsip inilah kita diperintahkan supaya berpegang teguh dan usah berpecah-belah atau berselisih. Ini bukan pada hukum-hakam atau bukan juga pada amalan keagamaan atau ritual agama, kerana kedua-dua ini boleh berubah.

Prinsip dan tujuan agama tidak berubah, contohnya, berpuasa.

Kita sedar bahawa berpuasa (di bulan Ramadan) merupakan satu kewajipan yang telah ditetapkan kepada umat Islam dan juga umat terdahulu.

Umat Islam diwajibkan berpuasa sepanjang Ramadan dengan menahan diri daripada beberapa perkara bermula pada waktu fajar sehingga terbenam matahari.

Apakah tujuan dan prinsipnya? Agar kita patuh dan taat kepada perintah Allah, bertakwa serta menjauhkan diri daripada segala tegahan, dan semua ini dianjurkan supaya kita mentaati dan patuh kepada perintah Pencipta.

Dengan berpuasa juga, kita berkongsi kesusahan orang lain dan mampu berasakan kebersamaan sesama manusia.

Walaupun Syariat dan prinsip ini sama dari dahulu hingga ke umat Nabi Muhammad saw sekarang, cara pelaksanaannya dan hukum-hakamnya berbeza.

Contohnya, bagi umat-umat yang terdahulu, puasa mereka tidak sampai sebulan. Malah waktu berpuasa mereka juga berbeza-beza.

Ada juga di antara mereka dilarang memakan atau meminum hidangan tertentu.

Namun ini semua sudah berubah sesuai dengan kondisi dan keadaan umat, waktu dan tempat tersebut.

Apa yang ingin ditegaskan di sini adalah makna Syariah.

Syariah bermaksud sumber air, sumber kehidupan yang tetap, demi menuju kepada matlamat kehidupan kita yang sebenar. Ia bukan fiqah atau fatwa yang khusus dan bukan juga undang-undang seperti yang difahami ramai.

Syariah bertujuan memberi panduan dan prinsip umum dalam kita melayari perjalanan kehidupan ini, dan sifatnya adalah sempurna. Syariah tidak berubah dengan perubahan masa dan tempat.

Pembuat dan Penetap Syariah adalah Allah dan Rasul-Nya, bukan para ulama, bukan manusia bukan juga para 'fuqaha' (ahli-ahli fiqah), Mufti atau ahli undang-undang.

Para ulama, Mufti dan yang lainnya hanya berusaha memahami perintah Syariah, serta mentafsirkan dan 'mengaplikasikan' perintah-perintah ini mengikut masa, tempat dan adat masing-masing.

Tentu ada amalan atau ritual agama yang tetap kita lakukan kerana demikianlah yang telah ditetapkan Syariah.

Satu contoh adalah solat atau sembahyang. Allah telah menetapkan solat lima waktu setiap hari dengan rakaat-rakaat tertentu dan waktu yang telah ditetapkan dan kita juga perlu menghadap Makkah (Kaabah). Ini telah ditetapkan oleh Allah dan para rasul-Nya, tanpa kita perlu memahami rasional atau logiknya.

Mungkin pada sebahagian kita ia tidak masuk akal, tetapi ini adalah satu ibadah yang telah ditetapkan oleh Syariah untuk kita mentaati, tunduk dan patuh kepada perintah-Nya. Walaupun ada beberapa perincian cara pelaksanaan solat ada khilaf padanya, tetapi ia tidak pada tujuan dan prinsipnya.

Solat juga merupakan doa dan cara kita berkomunikasi kepada Allah. Ini menunjukkan dalam apa jua keadaan sekalipun, kita tidak berputus hubungan dengan Allah, walaupun caranya mungkin berbeza.

Contohnya, solat kita mungkin berbeza ketika kita sedang sakit daripada ketika sedang sihat. Namun ia tetap mengikut Syariah yang ditetapkan. Dan kita tetap menjaga komunikasi kita dengan Allah, dalam apa hal sekalipun.

Yang nyata, dalam melayari hal kehidupan yang panjang ini, kita perlu memahami, memelihara dan mengikuti prinsip dan nilai Syariah, agar kehidupan kita lebih terpandu dan bertujuan, serta terus tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan prinsip-prinsip Syariah.


Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan merupakan Timbalan Mufti Singapura. 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3