Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Penyakit hasad dengki penyebab amalan kebaikan lain sia-sia

Jan 08, 2021 | 05:30 AM



HASAD dengki timbul daripada perasaan tidak senang yang muncul dalam hati seseorang terhadap seseorang yang lain.



Sifat ini berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap nikmat atau kelebihan yang dimiliki oleh orang lain.



Mempunyai penyakit rohani ini membawa maksud bahawa kita tidak hanya benci kepada hamba Allah, tetapi kita turut benci kepada Allah swt.



Hal ini dikatakan sedemikian kerana sesuatu nikmat itu datangnya daripada Allah swt, jadi mengapa kita perlu membencinya?



BAHAYA SAKIT ROHANI



Bersiaran langsung dari Facebook@Masjid Al-Istiqamah, Ustaz Ahmad Dahri membicarakan tentang penyakit rohani yang sering merosakkan hati manusia dan hubungan mereka dengan orang lain iaitu penyakit hasad dengki.



"Sakit jasmani tidak akan ke mana, tetapi kalau sakit rohani itu lebih berbahaya kerana selepas mati pun kita masih akan disoal Allah swt.



"Maksudnya, kalau sakit jasmani seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis atau sebagainya, ia akan dilalui sampai kita ketemu ajal sahaja sebab penyakit ini tidak akan dibawa ke dalam kubur. Tetapi, sakit rohani akan dibawa sampai mati dan boleh membatalkan amal ibadah di sisi Allah swt."



"Walaupun seseorang itu mendirikan solat, berpuasa, menunaikan haji, berqiamullail, bersedekah, tetapi jika dia mempunyai penyakit hati, maka amalan kebaikannya mungkin tidak akan diterima Allah swt," katanya.



HASAD DENGKI MEROSAKKAN KEBAIKAN



Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda maksudnya:



"Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Hadis Riwayat Abu Daud)



"Perhatikan hadis ini yang menyebut api yang membakar kayu akan meninggalkan abu. Itulah yang diibaratkan dengan amalan kita. Jika berbuat baik tetapi masih punya rasa dengki terhadap orang lain, maka amalan kita hanya akan menjadi sia-sia seperti abu sahaja. Kalau dengki lagi, pasti silaturahim juga akan putus," ujar Ustaz.



Sedangkan, Rasulullah saw sendiri bersabda:



"Janganlah kalian saling membenci, menghasut, membelakangi dan saling memutuskan tali persahabatan. Akan tetapi, jadilah kalian itu hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim tidak diperbolehkan mendiamkan saudaranya lebih dari tiga hari." (HR. Bukhari dan Muslim).



Ustaz menjelaskan lagi:



"Allah swt menyuruh hamba-Nya untuk sentiasa menguatkan dan mengikat seketat-ketatnya tali ukhuwah. Hapuskan segala perasaan hasad dengki, cemburu atau sifat-sifat mazmumah yang lain," hurai ustaz.



ISTILAH 'PHD'



Ustaz Ahmad Dahri turut menyatakan kerisauannya terhadap penyakit hasad dengki yang banyak berlaku dalam kalangan orang Melayu Islam.



Kata ustaz:



"Orang kita lebih terang sifat kebencian dan keterlaluannya. Sifat ini boleh dilihat melalui pandangan mata, gaya tubuh, tindakan seseorang itu terhadap orang yang tidak disukainya.



"Maka, timbullah istilah kita - PHD (Penyakit Hasad Dengki).



"Kenapa kita tidak pula rasa cemburu dengan amalan seseorang? Tidak pula kita rasa dengki dengan zikir-zikir atau bacaan al-Quran yang diperdengarkan seharian?



"Sebenarnya, kita tidak dengki sebab itu masalah akhirat, bukan masalah dunia. Masalah hasad dengki ini hanya menonjol akibat masalah keduniaan, terutamanya masalah kekayaan."



KESENANGAN ORANG LAIN KEHENDAK ALLAH



Ustaz berkata: "Biasanya, manusia yang hasad dengki ini akan cemburu atas kekayaaan orang lain. Hatinya terus menggelupur dan gelisah tatkala melihat kesenangan orang lain.



"Padahal Rasulullah saw telah memberikan sabdanya yang bermaksud:



"Barangsiapa yang melihat sesuatu yang dikaguminya (kekayaan, kecantikan atau sebagainya), maka sebutlah Masya-Allah (ini adalah kehendak Allah).



"Sesungguhnya, tidak ada daya dan kekuatan melainkan ia berlaku atas kehendak Allah swt. Lalu, yang demikian itu tidak akan terganggu oleh ketajaman matamu."



Jelas ustaz lagi:



"Maknanya di sini, mata kita tidak akan rosak atas kelebihan yang kita saksikan. Malahan, kejadian itu akan menambahkan lagi perasaan takwa kepada Allah swt kerana kita gembira atas kesenangan orang lain.



"Apabila kawan bahagia, kita turut merasa bahagia. Ketika kawan merasa derita, kita turut merasakan kesedihan. Itulah sikap yang patut ditunjukkan, barulah selesai masalah hasad dengki. Maka, hati ini hendaklah sentiasa dibersihkan," kata ustaz.




"Orang kita lebih terang sifat kebencian dan keterlaluannya. Sifat ini boleh dilihat melalui pandangan mata, gaya tubuh, tindakan seseorang itu terhadap orang yang tidak disukainya.

Maka, timbullah istilah kita - PHD (Penyakit Hasad Dengki).

"Kenapa kita tidak pula rasa cemburu dengan amalan seseorang? Tidak pula kita rasa dengki dengan zikir-zikir atau bacaan al-Quran yang diperdengarkan seharian?

Sebenarnya, kita tidak dengki sebab itu masalah akhirat, bukan masalah dunia. Masalah hasad dengki ini hanya menonjol akibat masalah keduniaan, terutamanya masalah kekayaan."

- Ustaz Ahmad Dahri.




BIODATA



- Drs Ahmad Dahri, 61 tahun, seorang penceramah bebas yang berkelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Sumatera Utara, Indonesia, dan melanjutkan pengajian di Darul Ulum Makkah di Arab Saudi dalam bidang bahasa Arab.



- Beliau juga memiliki ijazah dari Universiti Al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi, dalam bidang Syariah.



- Beliau mendalami ilmunya dengan mengikuti kursus ijazah Sarjana Universitas Al-Washliyah (Univa) Sumatera Utara, Indonesia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >