Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Peringati Aidilfitri dengan tauhid dan takwa

May 23, 2021 | 05:30 AM



BERDASARKAN sunah Rasulullah saw, umat Islam seharusnya menyambut Syawal dengan penuh rasa takwa.



Namun, ramai umat Islam yang sudah terpesong daripada sambutan yang sepatutnya kerana terlalu teruja menyambut ketibaan Syawal.



Ustaz Ahmad Dahri berkata:



"Pada hari ini, kita banyak meninggalkan sunnah-sunnah yang sepatutnya.



"Kita tidak boleh meraikan Aidilfitri kerana rasa ghairah semata-mata.



"Tetapi, ia perlu disertakan dengan ketauhidan terhadap Allah swt."



SATU IBADAH



Dalam erti kata lain, Ustaz berkata memperingati Hari Raya adalah satu ibadah.



Apabila disebut sebagai ibadah, hendaklah dilaksanakan mengikut syarat dan rukun yang ditetapkan.



"Kalau sesuatu ibadah itu tidak dilunaskan dengan rukun dan syaratnya, maka ibadah itu tidak sah.



"Keadaan ini sama juga dengan solat. Kalau kita solat, tetapi tidak berwuduk, maka solatnya tidak sah kerana tertinggal syarat solat.



"Begitu juga dengan sambutan Hari Raya, maka penuhilah syarat-syaratnya," jelas Ustaz.



FOKUS ISI IBADAH



Sebelum meraikan Hari Raya yang diimpikan, terlebih dahulu Allah memerintahkan agar umat Islam menyempurnakan bilangan hari berpuasa.



Maknanya, tumpu kepada berpuasa, bukannya tumpu kepada Hari Raya.



Ustaz berpesan, tidak cukup kita menghitungkan harinya tanpa diperhatikan isinya.



"Ibarat membeli dompet yang berharga $800, tetapi isinya hanya $2 sahaja.



"Maknanya, kita lebih mengutamakan luaran, berbanding dalaman.



"Akibat terlalu mementingkan kulit berbanding isinya, maka hari Raya dijadikan sebagai pesta untuk bersuka ria semata-mata," kata Ustaz.



BERUBAH MENJADI ORANG BARU



"Sebenarnya, kita terlalu ghairah menyambut Aidilfitri sehingga lupa makna sebenar Aidilfitri.



"Hari Raya bukan indah kerana lontong, duit raya, baju baru kuih-muih, tetapi ia perlu indah kerana kembalinya kita dalam keadaan suci bersih.



"Jangan pula kita memakai pakaian yang baru dan cantik, tetapi perangai masih berada pada takuk yang lama.



"Seharusnya, kita kembali dalam keadaan yang bersih, sekiranya puasa kita penuh dengan isi.



"Jadi, puasa kita bermanfaat dan tidaklah sia-sia," kata ustaz.



INGAT PERATURAN AGAMA



Dalam rangka meraikan hari Raya, ustaz meminta agar umat Islam tidak meninggalkan peraturan agama.



Malah dengan aturan terbaru langkah-langkah waspada di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) berkuat kuasa 16 Mei lalu perlu dipatuhi.



Perhimpunan sosial kini dihadkan kepada dua orang berbanding lima orang di bawah Fasa 3 sebelum ini.



Jumlah tetamu ke setiap rumah juga dikurangkan kepada dua orang perlu dipatuhi.



"Masyarakat hari ini berkumpul di Hari Raya tanpa mengira yang mana mahram atau tidak, sehingga bercampur gaul semuanya dalam keadaan yang tiada batas.



"Sedangkan, Hari Raya menjadi hadiah daripada Allah swt kepada umatnya. Jangan disalah guna hadiah atau anugerah Allah sehingga Allah tarik balik nikmat. Jangan membabitkan diri daripada hal-hal yang ditegah oleh agama.



"Amalan kunjung-mengunjung pula akan mendapat rahmat jika tetamu dan tuan rumah saling mengukuhkan ikatan silaturahim. Ibadah ini perlu disertakan dengan penjagaan akhlak, tata tertib, adab dan sebagainya."



"Sesetengah orang meraikan Hari Raya dengan berpesta sehingga mabuk. Ini jelas sekali salah di sisi agama."



Kehadiran Syawal memberi ruang kepada umat Islam menzahirkan kegembiraan selepas berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan.



Dalam suasana kegembiraan itu, Islam menekankan umatnya supaya tidak melupakan Allah swt. Hakikatnya, kegembiraan menyambut lebaran adalah nikmat yang cukup besar.



Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Umamah Al-Bahili, Rasullah saw bersabda:



"Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari Raya (Aidiladha dan Aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia)." (Riwayat Ibnu Majah)



Kata ustaz:



"Kalau bazar dijalankan, mungkin masjid takkan dipenuhi orang kerana orang sibuk membeli di bazar.



"Dengan adanya Covid-19 ini, ia menjadi hikmah untuk masyarakat lebih dekat dengan Allah."



SEDIH KEHILANGAN 'TETAMU'



Bersuka ria itu tidak salah, tetapi kita harus tahu batas-batasnya.



Jangan pula gembira kerana habis puasa.



Jika kita gembira, maknanya kita tidak faham dan tidak sayang dengan Ramadan.



Dengan perginya tetamu, Ramadan, maka terangkat jugalah segala kelebihan yang ada pada bulan tersebut.



Sebab itu, orang-orang alim akan resah apabila Ramadan berakhir kerana mereka tidak tahu bila lagi akan menikmati nilai dan pahala berganda di bulan Ramadan.



"Kalau orang yang tahu erti Ramadan, tentu dia inginkan Ramadan sepanjang tahun.



"Tetapi kalau mereka jahil, tentu mereka inginkan Raya sahaja dari awal sampai akhir.



"Ingatlah, tidak ada istilah Hari Raya tanpa puasa. Jadi, fahamilah erti Ramadan dan Syawal," kata ustaz.




BIODATA



Drs Ahmad Dahri, seorang penceramah bebas yang berkelulusan dalam bidang Syariah daripada Universiti Islam Sumatera Utara, Indonesia dan melanjutkan pengajian di Darul Ulum Makkah di Arab Saudi dalam bidang bahasa Arab.



Beliau juga memiliki ijazah dari Universiti Al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi ,dalam bidang Syariah.



Beliau mendalami ilmunya dengan mengikuti kursus ijazah Sarjana Universitas Al-Washliyah (Univa) Sumatera Utara, Indonesia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >