Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Peristiwa bawa pengajaran penting, relevan untuk dihayati

USTAZAH NURSYAHIIRAH ISMAIL

Feb 24, 2023 | 05:30 AM



PERISTIWA bersejarah yang menyaksikan Rasulullah saw diangkat ke langit Sidratul Muntaha dikenali sebagai Israk dan Mikraj.



Israk bermaksud perjalanan malam dari Masjidilharam di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, manakala Mikraj adalah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke langit.



Peristiwa penuh bermakna ini memberi impak langsung kepada kehidupan harian kita sebagai umat Islam, yang menyaksikan Nabi Muhammad saw membawa perintah mendirikan solat lima waktu secara langsung daripada Allah swt ke atas pengikutnya, yang pada dasarnya membentuk Rukun Islam.



Selain solat, terdapat beberapa pengajaran penting lain yang boleh kita pelajari daripada peristiwa penting ini.



1. YAKIN AKAN KUASA DAN KEBESARAN ALLAH



Peristiwa itu sendiri mungkin mustahil dan di luar jangkauan pemikiran orang pada masa itu.



Hari ini pun perjalanan dari Makkah ke Baitulmaqdis mengambil masa lebih dua jam dengan kapal terbang! Pastinya pengembaraan ke angkasa lepas mengambil masa lebih sehari.



Ada yang mungkin menganggap kisah perjalanan Rasulullah saw dalam Israk dan Mikraj satu rekaan. Namun, kita perlu meyakini bahawa ia boleh berlaku sebagaimana yang dirakamkan Allah swt dalam Al-Quran mengenainya untuk menunjukkan antara tanda-tanda kebesaran-Nya.



Selain daripada keajaiban Israk dan Mikraj, ia adalah satu perjalanan kerohanian di mana kita harus menunjukkan keimanan kita kepada Allah swt, yakin pada janji-Nya dan mengetahui sekilas Kekuasaan-Nya serta apa yang ada di luar alam ini.



Peristiwa ini juga mencerminkan keindahan mempunyai niat yang murni dan kerja keras. Ini kerana kita perlu mempunyai niat yang murni dalam melakukan yang terbaik untuk manusia dan bukan hanya untuk memenuhi keperluan diri sendiri.



Allah swt ada menyebut dalam Al-Quran mengenai usaha keras dalam melakukan yang terbaik, dan mempunyai niat murni untuk mencapai yang terbaik.



"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki kesusahan pada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya. Dan tidak ada bagi mereka pelindung selain Dia." (Surah Ar-Rad: 11).



2. SESUDAH KESUSAHAN ADA KEMUDAHAN



Perjalanan Israk dan Mikraj berlaku selepas tempoh masa yang dinamakan 'Tahun Kesedihan'. Ia adalah tahun yang menyaksikan bapa saudara Nabi saw, Abu Talib, dan isteri Baginda, Sayidatina Khadijah ra, wafat.



Ia juga merupakan tahun yang menyaksikan Rasulullah saw mengembara ke Taif dengan niat memenangi hati masyarakat untuk menerima dakwah Baginda.



Namun Nabi saw telah ditolak dan penduduk Taif mengganggu dan melemparinya dengan batu sebagai tanda penolakan.



Dalam keletihan, ditolak dan terluka, keimanan Nabi Muhammad saw kepada Allah swt tidak pernah goyah, walaupun cabarannya seakan tidak tertanggung.



Daripada membalas dendam, Baginda saw berdoa bukan sahaja untuk penduduk Taif, malah mendoakan keturunan mereka juga.



Allah swt kemudian memberi ganjaran kepada Baginda dengan perjalanan indah ini yang dirakam dengan sempurna dalam Al-Quran.



"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah al-Inshirah: 5-6).



Allah swt membawa Nabi saw menghadap ke hadrat-Nya untuk menguatkan dan mempersiapkan Baginda menghadapi fasa mencabar kenabiannya serta menunjukkan kepada Baginda kekuasaan dan perintah-Nya. Selepas itu, Rasulullah saw kembali ke bumi dengan hati lebih tenang dan lebih bertawakal kepada Allah swt.



3. SAHABAT SEJATI DALAM KESUKARAN DAN KEYAKINAN YANG TIDAK BERBELAH BAGI



Sehari selepas Israk dan Mikraj, Nabi saw menceritakan kisah itu kepada sepupunya, Ummu Hani. Beliau terkejut lalu memberitahu Rasulullah agar tidak memberitahu orang lain kerana mereka tidak akan mempercayai Baginda.



Rasulullah meninggalkan rumah dan memberitahu Abu Jahal mengenai perjalanannya. Dengan niat mahu memalukan Baginda, Abu Jahal menyeru penduduk Makkah supaya mendengar kisah itu, lalu ramai terkejut dan tidak percaya pada Baginda.



Sebahagian mereka pergi bertemu Sayidina Abu Bakar ra dengan harapan beliau akan memberi reaksi serupa.



Namun, apabila mendengarnya, Sayidina Abu Bakar ra segera berkata "saya percaya". Beliau tidak mempersoalkan Nabi saw atau meragui kebenaran ucapan Baginda.



Sayidina Abu Bakar ra sedar akan keperibadian dan akhlak Nabi saw yang sebenar sebagai Al-Amin, Yang Dipercayai.



Betapa indahnya persahabatan mereka. Sayidina Abu Bakar ra menunjukkan kepada kita apa ertinya menjadi sahabat sejati dan bagaimana memiliki iman (keyakinan) kepada Allah dan Rasul-Nya, walaupun dengan kata-kata tanpa menyaksikannya.



4. KEJAYAAN YANG DICARI ADA PADA SOLAT LIMA WAKTU



Solat lima waktu adalah salah satu kurniaan Allah swt kepada kita. Perintah kepada umat Islam biasanya disampaikan kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibrail. Namun, solat sangat penting sehinggakan Nabi saw telah dinaikkan ke langit untuk bermunajat dengan Allah secara langsung.



Proses rundingan antara Allah swt dengan Rasul-Nya (daripada perintah solat 50 kali sehari kepada lima kali sehari - dengan ganjaran 50 kali dikekalkan) mencerminkan rahmat Allah dan kasih sayang Nabi saw kepada kita.



Sememangnya, peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh keajaiban ini mengandungi pengajaran penting yang relevan untuk kita hayati dan amalkan.




► Dipetik daripada rencana asal dalam bahasa Inggeris bertajuk '4 Powerful Lessons from Isra' Mi'raj' yang diterbitkan dalam portal Muslim.sg




"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkahi sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

- (Surah Al-Isra', ayat 1)."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >