Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Peristiwa Israk Mikraj kandungi banyak pelajaran

Mar 20, 2020 | 05:30 AM



PERISTIWA Israk dan Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab beberapa tahun sebelum hijrah adalah peristiwa yang agung.



Ia tidak pernah berlaku sebelumnya dan mustahil berlaku seperti itu lagi.



Ketika Rasulullah hendak melelapkan matanya di rumah sepupunya Ummu Hani', malaikat Jibril datang dan menjemput baginda untuk perjalanan yang hebat, daripada kota Makkah ke kota Baitulmakdis.



Pada zaman itu, perjalanan sejauh ini mengambil masa hampir sebulan. Namun, baginda dapat merentasi jarak yang jauh itu dengan masa yang sangat singkat.



Baginda menunggang Buraq, iaitu seekor binatang yang tidak wujud di dunia ini.



Ketinggian Buraq ini adalah antara ketinggian kuda dan keledai. Kakinya pula dapat dipanjangkan dan dipendekkan.



Buraq tiada kepak maka ia tidak terbang. Tetapi ia boleh merentasi gunung hanya dengan memanjangkan dan memendekkan kakinya.



Sebelum melepasi gunung, ia akan memendekkan kaki depannya dan memanjangkan kaki belakangnya.



Selepas ia melepasi puncak gunung, ia akan memanjangkan pula kaki depannya dan memendekkan kaki belakangnya.



Dengan ini, Rasulullah yang duduk diatasnya tidak bergoyang badan ketika Buraq bergerak.



PERJALANAN MALAM



Perjalanan ke Baitulmakdis ini dinamakan Israk kerana ia berlaku pada waktu malam. Dalam bahasa Arab, Israk bermaksud belayar pada waktu malam.



Setibanya di Baitulmakdis baginda dijemput untuk menjadi imam bagi solat yang dimakmumkan oleh semua para nabi dan rasul.



Baginda kemudian dijemput oleh malaikat Jibril untuk naik ke langit. Perjalanan ini dinamakan Mikraj, yang membawa erti pendakian.



Apabila Rasulullah dan malaikat Jibril tiba di pintu langit pertama, malaikat penjaganya bertanya sama ada Rasulullah sudah mendapat jemputan daripada Allah untuk mendaki ke langit seterusnya.



Pintu itu hanya dibuka setelah Jibril memberitahu bahawa Rasulullah telah dijemput oleh Allah.



Maka baginda dan Jibril naik ke langit kedua sehinggalah ke langit yang ketujuh. Pada setiap langit, peristiwa yang sama berlaku, iaitu baginda ditahan daripada pergi ke langit seterusnya kecuali setelah dimaklumkan oleh Jibril bahawa baginda telah mendapat jemputan daripada Allah.



Pada setiap langit, baginda bertemu dengan sebahagian para nabi dan rasul.



Di langit pertama, baginda bertemu dengan Nabi Adam; di langit kedua dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya; di langit ketiga dengan Nabi Yusuf; di langit keempat dengan Nabi Idris; di langit kelima dengan Nabi Harun; di langit keenam dengan Nabi Musa; dan di langit yang ketujuh dengan Nabi Ibrahim.



Selepas langit ke tujuh, Rasulullah dibawa ke bawah Arasy dan di situ baginda mendapat perintah solat lima waktu, yang pada asalnya 50 waktu. Namun pahala mengerjakannya kekal seperti mengerjakan 50 waktu.



Rasulullah kemudian dibawa kembali ke kota Makkah. Mengikut setengah riwayat, Rasulullah pulang ke tilamnya sebelum tilam itu hilang kehangatan badan baginda ketika baginda mula-mula bangun dijemput oleh malaikat Jibril.



Ini menunjukkan bahawa keseluruhan perjalanan Israk dan Mikraj berlaku dalam waktu yang amat singkat.



Tetapi untuk Rasulullah, ia merupakan perjalanan yang mengambil masa yang agak lama kerana baginda menghadapi berbagai peristiwa dalam perjalanan tersebut.



TEORI SAINS DAN MUKJIZAT



Mengikut teori relativiti ahli fizik Albert Einstein, seseorang yang bergerak pada kecepatan yang amat tinggi, seperti kecepatan cahaya sebagai contoh, dia akan lihat perbezaan masa yang ketara.



Untuk dia, masa berjalan seperti normal, tetapi dia akan lihat masa orang lain yang tidak bersama-sama dengannya berjalan amat pantas. Lagi laju dia bergerak, semakin laju masa orang lain berlalu.



Sebaliknya, orang lain akan melihat masanya bergerak dengan amat perlahan.



Mengikut teori Einstein, masa itu relatif.



Perjalanan Israk dan Mikraj baginda adalah bertentangan dengan teori ini.



Perjalanan Rasulullah yang begitu cepat sepatutnya menyebabkan masa berjalan amat pantas di dunia.



Namun sebaliknya yang berlaku. Masa di dunia bergerak dengan amat perlahan.



Oleh kerana itu, perjalanan Israk dan Mikraj ini tidak dapat dijelaskan dengan ilmu Sains moden.



Ia adalah satu mukjizat. Dan semua mukjizat tidak dapat dijelaskan dengan ilmu Sains.



Perjalanan Mikraj baginda juga melepasi tujuh tingkatan langit. Dan setiap langit terpisah daripada langit lain.



Dan setiap lapisan langit ini ada tempat fizikal yang Rasulullah boleh berdiri, bernafas dan berjumpa dengan beberapa orang nabi.



Ini menunjukkan bahawa tujuh langit ini bukanlah planet-planet sistem suria kita dan juga bukanlah lapisan atmosfera bumi.



Sebaliknya, seluruh alam fizikal ini yang merangkumi semua bintang dan galaksi berada di langit paling rendah. Ia terpisah daripada langit yang pertama yang lebih besar daripadanya.



Langit kedua pula merangkumi langit pertama dan alam maya ini.



Ini berterusan sehingga ke langit yang ketujuh. Ia merupakan langit paling besar kerana ia merangkumi kesemua enam langit didalamnya.



Cakerawala kita ini adalah yang paling kecil. Sedangkan untuk kita, ia amat besar sehingga tidak dapat dijangkau otak kita keluasannya.



Begitulah Allah tunjukkan kepada kita keagungan-Nya dan luasnya kerajaan-Nya.



Sesungguhnya, peristiwa Israk dan Mikraj ini mengandungi banyak pelajaran dan iktibar untuk manusia.



 



  • Penulis merupakan Pengurus Pusat Pengajian Darul Huffaz dan Pengarah Syariah Consultancy. Beliau menyambung pendidikannya di Universiti Al Azhar dan mendapat ijazah sarjana muda dalam Bahasa Arab dan Sastera. Setelah itu, beliau mengambil ijazah sarjana dalam bidang hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ijazah Doktor Falsafah dalam Sains Islam pula beliau perolehi dari Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam (ISTAC), UIAM. Selain itu, beliau juga memiliki sijil Ilmu Falak dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu (kini dikenali sebagai Universiti Darul Aman Terengganu).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >