Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Perjalanan insan bertaubat: Dahulu keji, sekarang terpuji

Aug 01, 2021 | 05:30 AM



SIAPA yang tidak pernah melakukan kesalahan sepanjang hayatnya? Siapa yang tidak pernah rasa bersalah dan kesal atas dosanya? Siapa yang tidak mahu berhenti melakukan dosa, namun sering kali ditewaskan oleh hawa nafsunya sendiri? Inilah dikatakan manusia dan kita bukannya sempurna.



Tiada sesiapa pun yang bebas daripada membuat dosa, dan tidaklah segala perbuatan seseorang hanyalah dosa semata-mata. Dan dari naluri manusia juga, ingin menjadi lebih baik setelah kecundang dalam pergelutan dengan nafsunya.



Dengan perihal manusia yang penuh dengan kealpaan dan kesalahan, Allah swt memerintah agar kita sebagai, hamba-hamba-Nya agar bertaubat kepada-Nya dengan maksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." 



Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang memiliki iman masih tidak terlepas daripada perbuatan dosa. Nabi saw mengiktiraf keterlanjuran manusia dalam sabda Baginda yang bermaksud: "Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik daripada orang yang berbuat kesalahan adalah (mereka) yang bertaubat." (HR At-Tarmizi, Ibnu Majah dan Ad-Darimi).



Dalam hadis ini, digunakan istilah khatta' yang bererti mereka yang banyak melakukan dosa, dan istilah tawwab pula bermaksud orang yang kerap bertaubat daripada dosa-dosanya. Ia menggambarkan betapa kita sering melakukan dosa, dan cara yang terbaik di antara mereka adalah dengan sering bertaubat.



Kedudukan orang yang bertaubat



Orang yang bertaubat bererti dia kembali mentaati Allah swt dari perbuatan maksiat yang telah lalu. Dia memenuhi segala syarat taubat iaitu dengan mengiktiraf perbuatan dosanya, mengikhlaskan diri dalam bertaubat, dan berazam kuat agar tidak mengulangi perbuatannya.



Allah swt menegaskan agar hamba-Nya tidak berputus asa dan berharap belas kasihan dari-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."



Maka, taubat seseorang menandakan dia masih menaruh harapan terhadap rahmat-Nya. Harapan itu lebih teguh apabila dia memahami luasnya rahmat Allah swt dan mempercayai pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa di kandung badan. Taubat hanya tidak akan diterima Allah swt jika ianya dilakukan pada saat menghadapi kematian atau di ketika matahari terbit dari barat, dan ini jelas menandakan ketibaan Hari Kiamat.



Perubahan diri orang yang bertaubat



Perubahan diri bagi orang yang benar-benar bertaubat amatlah mulia. Firman Allah swt yang bermaksud: "Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."



Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa terdapat dua pandangan tentang kejahatan yang digantikan dengan kebaikan di dalam ayat tersebut.



Pendapat yang pertama berpandangan bahawa Allah swt menggantikan amalannya, daripada perbuatan dosa kepada amal kebaikan. Contohnya, orang yang bertaubat dahulunya dia berbuat salah dengan orang lain, dan sekarang dia melakukan kebajikan terhadap masyarakat.



Pandangan yang kedua pula mengatakan bahawa ia adalah orang yang memeluk agama Islam, maka digantikan dosanya dengan pahala.



Dengan ini, janganlah kita cepat menghukum orang yang pernah melakukan kesalahan yang sangat terhina dengan mengatakan mereka akan ditempatkan ke dalam neraka atau sebagainya. Ini adalah kerana kita tidak tahu kedudukan terakhir penghayatan mereka. Dan kita juga tidak tahu perubahan diri seorang yang kita amat benci kejahatannya kerana, mungkin pada suatu hari dia menjadi seorang hamba Allah yang lebih mulia daripada kita, di sisi Allah swt.



Wajib menutupi aib orang, apatah lagi jika sudah bertaubat



Pastinya, ramai mengetahui kelemahan diri orang-orang yang rapat dari kalangan ahli keluarga, atau teman-teman karib, yang mana ia melibatkan perbuatan dosa. Pada dasarnya, kita wajib menjaga aib orang lain, dan haram menyebarkannya kepada umum kerana ia termasuk dalam hukum ghibah atau umpat. Ini dapat membantu lebih-lebih lagi jika seseorang itu telah berubah atau bertaubat. Sekiranya kita rasa keberatan untuk menutupi kelemahan orang, tanyalah pada diri sendiri: bukankah kita sendiri mempunyai banyak kelemahan dan kita mahu ianya tidak diketahui orang lain?



Agama hanya memberi pengecualian untuk kita mengkhabarkan aib orang jika terdapat maslahat yang diterima syarak.



Contohnya, apabila ia melibatkan perbicaraan di mahkamah untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan. Agama juga mengizinkan memberitahu aib orang jika ia berkemungkinan besar akan menjejaskan orang lain seperti penipuan yang menggelapkan harta.



Orang yang mengulangi kesalahan dan adab kita terhadapnya



Tidak mustahil orang yang telah bertaubat akan mengulangi perbuatan dosanya, hatta dengan bilangan yang tidak terkira.



Pengulangan perbuatan dosa seseorang tidak bererti taubatnya yang lalu ditolak Allah swt. Selagi mana syarat-syarat taubat ditepati, selagi itu ianya diterima Allah swt.



Sebagai manusia, kita akur bahawa tidak semua yang dapat menerima seseorang yang selalu mengulangi kesalahan, walaupun dia bertaubat setiap kali berbuat salah. Maka ini seharusnya mengingatkan kita akan hakikat kedudukan orang yang disebut tawwab, iaitu yang kerap bertaubat; betapa Allah swt. At-Tawwab (Yang Maha Penerima Taubat) menerima taubatnya.



Ini menunjukan bahawa rahmat Allah swt jauh melebihi belas kasihan manusia. Maka ada baiknya kita mendidik diri bagaimana kita dapat menerima orang yang kerap mengulangi kesalahan namun mempunyai keikhlasan untuk berubah.



Pada masa yang sama, kita berusaha memperbaiki keadaannya secara bertahap-tahap, mencari cara-cara yang berkesan hinggalah kesalahannya tidak diulanginya lagi. Usaha ini sangatlah mencabar.



Mudah-mudahan Allah swt mengurniakan kita kekuatan untuk membantu diri sendiri dan orang lain agar menjadi hamba-hamba-Nya yang terpuji dan bersih daripada segala sifat yang keji dan mungkar.




 • Penulis merupakan Ketua di Pejabat Imam di Masjid Al-Ansar




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >