Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Perkasa puasa sunat dengan sabar, iman, ilmu

Jul 19, 2019 | 05:30 AM



BERPUASA sunat mampu menjadi satu amalan yang sangat istimewa dalam mendekatkan diri kepada Allah swt.



Apatah lagi puasa sunat boleh dilaksanakan pada bila-bila waktu jika seseorang itu berkemampuan, kecuali pada hari diharamkan atau makruh berpuasa.



Ustaz Muhammad Afdal Abdul Hamid, dalam ceramahnya di Masjid Al-Khair baru-baru ini menekankan akan perlunya memperkasakan puasa dengan kesabaran, keimanan dan ilmu pengetahuan.



JENIS-JENIS PUASA SUNAT



Ustaz Muhammad Afdal menjelaskan, terdapat beberapa jenis puasa sunat yang boleh dilaksanakan oleh orang Islam pada setiap tahun. Antaranya ialah:



Puasa hari Arafah



Pada 9 Zulhijah, umat Islam digalakkan berpuasa.



Daripada Abu Qatadah dalam riwayat Muslim, Rasulullah saw pernah ditanya mengenai kebaikan berpuasa pada hari Arafah. Kemudian Baginda menjawab:



"Allah akan ampunkan dosa kita yang lalu dan akan datang."



Puasa Hari Asyura dan Hari Tasu'a



Puasa hari Tasu'a dilaksanakan pada 9 Muharam.



Sejarah puasa Tasu'a bermula ketika nabi menunaikan puasa Asyura pada 10 Muharam.



Sebahagian sahabat menyampaikan bahawa orang Yahudi turut mengagungkan hari itu bahkan mereka pun berpuasa.



Lalu, Rasulullah saw bersabda:



"Sekiranya aku hidup pada tahun berikutnya, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9 Muharam juga."



Nabi Muhammad saw wafat sebelum sampai tahun berikutnya.



Tetapi, perintah menunaikan puasa sunat pada 9 dan 10 Muharam tetap ada.



Rasulullah saw ditanya mengenai puasa hari Asyura, maka Baginda menjawab, "dapat menghapus dosa setahun sebelumnya." (Hadis Riwayat (HR) Muslim)



Puasa Isnin dan Khamis



Menurut Ustaz Muhammad Afdal, Rasullullah saw sering berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis.



Melalui Abu Hurairah ra, Rasulullah saw pernah bersabda:



"Setiap amalan seseorang itu diangkat pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa." (HR Tarmizi)



Beliau menjelaskan lagi, jika puasa pada Isnin, kita perlu berniat puasa hari Isnin.



Begitu juga puasa pada Khamis, kita berniat khususnya iaitu niat puasa pada Khamis.



Puasa Hari Putih



Puasa ini berkaitan dengan puasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah. Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh. Jadi, cahaya bulan menerangi alam dan hari itu dinamakan 'Hari Putih'.



Sabda Nabi saw, maksudnya:



"Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Tirmizi)



Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah saw pernah bersabda iaitu:



"Berpuasa pada setiap bulan, tiga hari kerana satu kebajikan digandakan 10 kali ganda. Yang demikian itu, seumpama kita berpuasa setahun." (HR Bukhari, Muslim)



MEMBATALKAN PUASA SUNAT DAN GANTI



Seseorang Muslim yang ingin membatalkan puasa sunat diharuskan sekiranya ada sebab- sebab tertentu dan dia tidak diwajibkan mengganti puasa tersebut.



Bagaimanapun, hukumnya makruh dan Allah tidak suka akan perkara-perkara makruh.



Berbeza pula daripada orang yang sedang menggantikan puasa (qada').



Sebaik-baiknya, jangan batalkan puasa ganti kerana keadaannya yang sedang menggantikan puasa telah mewajibkan dia menyempurnakannya.



Sekiranya berlaku keadaan yang mengancam nyawa dan tidak membenarkannya meneruskan puasa, maka berpuasalah pada hari yang lain.



HARI DIHARAMKAN DAN MAKRUH BERPUASA



Antara hari yang dimakruhkan berpuasa ialah Jumaat secara khusus; Sabtu sahaja; Ahad sahaja (hari orang Nasrani); berpuasa sepanjang tahun dan hari Arafah bagi orang yang mengerjakan haji.



Antara hari yang diharamkan berpuasa ialah:



  • Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal.

  • Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah.

  • Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijah.

  • Puasa sunat seorang isteri tanpa keizinan suami.

  • Puasa wanita kedatangan haid dan nifas.

Ustaz Muhammad Afdal Abdul Hamid berusia 35 tahun dan mempunyai kelulusan dalam bidang Syariah daripada Universiti Islam Madinah.




Hendaklah sabar ketika berpuasa sunat



PUASA sepatutnya menjadi kebaikan dengan menjadikan ia amalan dan segala keburukan dijadikan sempadan.



Maka bersabarlah dalam mengerjakan ibadah puasa sunat ini.



JENIS-JENIS SABAR



Kesabaran dalam ketaatan



Jika kita menjalani kehidupan dan ibadah dengan ketidakselesaan, kita perlu menempuh ujian tersebut dan melaksanakannya dengan penuh kesabaran.



Kesabaran dalam kemaksiatan



Apa sahaja yang membawa kita kepada lembah dosa, kita perlu sabar dan perlu menahan diri daripada melakukannnya.



Dosa yang paling senang adalah melalui lisan. Jadi, umat Islam perlu mencegah dosa yang sering diperoleh secara tidak sedar dengan mengumpat, marah, menghina, mengutuk dan sebagainya.



Nabi Muhammad saw pernah bersabda, "orang yang paling kuat ialah orang yang mampu menahan kemarahannya".



Jangan sampai kemarahan kita pada asalnya merupakan kemarahan yang baik, bertukar menjadi kemarahan yang tidak baik.



Kesabaran dalam musibah



Jika kita menghadapi kehilangan seperti insan tersayang, harta, tempat tinggal dan lain-lain kehilangan, maka ucaplah Innalillahiwainnailaihirojiun atau berdoalah dengan bacaan Allahumma jurni fi musibati wa akhluf li khairan minha yang bermaksud:



"Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibah ini, dan gantikanlah bagiku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya."



Oleh itu, kita perlu memperkasakan puasa dengan kesabaran, keimanan dan ilmu pengetahuan.




ANDA ADA KEMUSYKILAN AGAMA?



Berita Harian akan menyediakan ruangan bagi pembaca membuat pertanyaan mengenai kemusykilan dalam hal ehwal agama yang merangkumi persoalan ibadah, muamalat dan sebagainya.



Pemohon perlu menghantar pertanyaan kepada alamat e-mel berikut: bhnews@sph.com.sg Subjek e-mel: Kemusykilan Agama




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >