Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Perlu berbaik dengan jiran tanpa kira agama, bangsa

Jul 12, 2019 | 05:30 AM



JIRAN merupakan golongan yang paling dekat dengan kita.



Islam turut menganjurkan umatnya supaya berbuat baik dengan jiran, tidak mengira apa pegangan agama atau bangsa mereka.



"Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan, menghormati jirannya,'' demikian hadis Bukhari dan Muslim yang dipetik Ustaz Abdul Manaf Rahmat.



Beliau menyentuh topik mengeratkan hubungan jiran dalam syarahan sempena acara Canberra Muhibah - Majlis Syarahan Dan Perjumpaan Penduduk anjuran Masjid Assyafaah dan juga kerjasama dari Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Canberra baru-baru ini.



Ustaz Abdul Manaf berpendapat walaupun dahulu masyarakat tinggal di kampung dan kini di rumah flat, lantas proses pembandaran merubah suasana di Singapura ini, kita masih boleh menerapkan nilai yang diajarkan agama Islam.



Katanya, dalam Surah An-Nisa ayat 36, Allah swt berfirman, yang bermaksud:



"Sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan Allah dengan sesuatu dan terhadap kedua ibu bapa hendaklah kamu berlaku ihsan (yakni melakukan kebaikan terhadap mereka) dan juga kaum kerabat (maknanya saudara-mara yang terdekat), anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga dan jiran yang jauh."



JIRAN DALAM KONTEKS S'PURA



Ustaz Abdul Manaf menerangkan jiran yang dekat ialah kaum kerabat sanak saudara kita.



Manakala jiran yang jauh ialah jiran yang tidak masuk dalam kaum kerabat tetapi saudara Islam yang lain.



Dalam konteks Singapura, jiran kita ada yang berbangsa Cina, ada yang berbangsa India dan ada berbangsa serani.



Ini juga termasuk di dalam kategori jiran yang jauh.



"Jiran ini bukan perkara yang aneh dalam Islam. Ayat tadi, Allah menegaskan kita menjaga, memelihara dan memuliakan serta menghormati jiran kita," jelasnya lagi.



HAK JIRAN DAN IMAN



Menurut Ustaz Abdul Manaf, kalau kita tidak buat begitu, maknanya iman kita mungkin berkurang.



Maka kita kena kukuhkan dengan menjaga jiran kita dan memberikan hak jiran seperti mana diajar Allah swt dan Nabi saw.



Ustaz Abdul Manaf menjelaskan hak mereka terhadap kita ialah :



- Pertama, daripada panduan Baginda, apabila jiran kita dalam musibah kita harus menjenguk beliau. Kita ke rumahnya dan memberikan beliau kegembiraan dan ketenangan.



- Kedua, apabila mereka dalam keadaan susah dan memerlukan bantuan, kita perlu berikan sokongan atau bantuan. Contohnya, dari segi material atau moral walaupun bukan orang Islam.



Dalam hadis tadi, jiran yang dimaksudkan adalah secara umum.



Jiran itu orang Islam atau bukan Islam.



Ustaz menceritakan bagaimana Nabi saw bangun apabila ada jenazah orang Yahudi sebagai penghormatan.



Mereka juga manusia walaupun bukan Islam.



Demi menghidupkan sunah Nabi kita pergi melawat orang yang meninggal dunia tidak kira agama.



CONTOH BAIK



Dalam kita berjiran mungkin ada salah faham.



Ustaz Abdul Manaf menasihati, kita sebagai orang Islam harus menunjukkan teladan yang baik serta contoh yang baik.



"Tunjukkan sifat tolak ansur, berikan kemaafan dan pertolongan dan sebagainya. Jangan kita biarkan mereka terbiar begitu saja tanpa kita mengeratkan perhubungan yang ada," ujarnya.



Beliau menambah contoh teladan kita dapat menarik orang yang bukan Islam dan menambah minat mereka agar mengetahui lebih dalam tentang agama ini.



Kita perlu juga bertimbang rasa seperti tidak membuka suara radio dengan kuat.



Ustaz Abdul Manaf memetik sebuah hadis (Riwayat Muslim):



"Tidak akan masuk syurga mereka yang jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya."



Menerangkan maksudnya, beliau berkata:



"Orang yang membawa sesuatu yang boleh menimbulkan keresahan kepada jiran, kata nabi, beliau tidak mencium syurga.



"Apatah lagi kejahatan itu termasuk apabila kita menyakit hati jiran kita, tidak kira agama."



Ustaz Abdul Manaf mengingatkan supaya menjadi jiran yang baik dengan memenuhi hak jiran  dan kita menjauhi perkara yang boleh merosakkan perhubungan sesama jiran.



Antaranya sifat tidak bertimbang rasa yang boleh menimbulkan rasa tidak aman terhadap jiran kita.




BIODATA



Nama: Ustaz Abdul Manaf Rahmat



Jawatan:



- Pegawai Agama Kanan merangkap Ketua Jabatan Imarah Lembaga Pentadbir Masjid Kassim

- Mantan Pengerusi Eksekutif Masjid Muhajirin

- Mantan Pengerusi Dakwah dan Mendampingi Masyarakat Masjid An-Nur



Pendidikan:



- Diploma Pengajian Islam dan Bahasa Arab Kulliyatul Mu'allimin Al-Islamiyah, Indonesia

- Diploma dalam Kaunseling Psikologi Kolej Komuniti Lee




Bersikap proaktif dan 5 'S'



BAGAIMANA kita boleh mengusahakan sesuatu melalui inisiatif agar hubungan kita sesama Islam sama kukuh dan dengan bukan Islam semakin teguh?



Menurut Ustaz Abdul Manaf Rahmat, antara yang boleh dilakukan adalah:



- Menjalankan program mudah yang tidak membebankan. Seperti sesama orang Islam kita memberi salam dan bertegur sapa.



Beliau menganjurkan 5 'S' iaitu:



1) Beri Salam

2) Sapa

3) Senyum

4) Sopan (sopan dari budi pekertinya).

5) Santun (dari tutur katanya)



- Jika biasanya kita menziarah waktu Hari Raya. Mungkin kita adakan acara pertemuan bulanan atau dwibulanan atau tiga bulan sekali.

- Kalau ada kematian atau sakit, kita ziarah. Kita lawatnya dan ringankan bebanan beliau. Mesti ada rasa peduli terhadap jiran kita

- Adakan program wisata atau rombongan. Kalau kita sering bertemu, kita akan kenal lebih mendalam.



Ustaz Abdul Manaf turut mengingatkan, kita juga harus menjaga daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan perhubungan sesama jiran seperti:



- Jangan sakitkan hati jiran kita.

- Jangan sampai perbuatan atau perkataan kita menyinggung hati mereka. Kita kena pastikan jiran berasa aman dengan keberadaan kita bersama mereka.



"Kita sebagai manusia tidak dapat hidup bersendirian. Kita adalah makhluk bermasyarakat. Marilah kita penuhi hak mereka. Kita jalankan kewajipan kita sebaik mungkin. Mudah-mudahan iman kita semakin kuat. Dan hubungan kita dengan jiran kita semakin baik dan kukuh," nasihat Ustaz Abdul Manaf di akhir syarahan.




ANDA ADA KEMUSYKILAN AGAMA



BERITA Harian akan menyediakan ruangan untuk membuat pertanyaan mengenai kemusykilan dalam hal ehwal agama yang merangkumi persoalan ibadah, muamalat dan sebagainya.



Pemohon perlu menghantar pertanyaan kepada alamat e-mel berikut: bhnews@sph.com.sg



Subjek e-mel: Kemusykilan Agama




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >